Gemilang Bersama Bintang

19 Oct

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Kehadiran artis, personaliti popular meriahkan majlis rumah terbuka Aidilfitri NSTP Khamis lalu

KEHADIRAN bintang popular, lama dan baru, nyata memeriahkan lagi acara rumah terbuka NSTP yang berlangsung di Hotel Hilton Kuala Lumpur, 15 Oktober lalu.

Nama besar dalam dunia hiburan tanah air seperti Datuk Sharifah Aini, Anita Sarawak, Datuk Siti Nurhaliza, Rosyam Noor, Erra Fazira, Datin Seri Tiara Jacquelina, Linda Onn, Azean Irdawaty, Mawi, Anuar Zain, Aznil Nawawi, Farid Kamil dan Datuk Yusof Haslam tidak menghampakan undangan penganjur untuk sama-sama menceriakan majlis.

Kemunculan mereka semestinya mendapat perhatian ramai sehingga setiap langkah yang disusun menuju ke dewan utama, tempat berlangsungnya acara, sering terhenti dek permintaan peminat yang ingin bertanya khabar dan bergambar.

Sudah tentu permintaan sebegitu tidak pernah dihampakan artis pujaan ramai termasuk Anita dan suami, Mahathir Abdullah, yang tidak jemu-jemu melayan peminat. Begitu jugalah Siti dan Sharifah Aini, dengan senyuman manis sentiasa terukir di bibir. Maklum saja, bukan selalu bintang ini ‘turun padang’ bertemu peminat.

Peminat pada kali ini pula bukan dari kalangan kebiasaan apabila kebanyakannya adalah pelanggan korporat NSTP. Majlis terbabit diadakan khusus untuk meraikan golongan pelanggan yang banyak membantu kumpulan akhbar New Straits Times Press untuk kekal antara akhbar utama negara.

Selain penyanyi dan pelakon yang sudah mencipta nama, kelihatan sama pada majlis penuh keceriaan itu ialah angkatan baru termasuk Scha Alyahya, Marsha, Ummi Nazeera, Lufya, Lisa Surihani, Fazli Zainal, Iqram Dinzly, Fouziah Gous, Irma Hasmie, Awal Ashaari, Diddy, Mila, Aizat, Sheila Abdul, Nubhan, Dafi, Riz dan ramai lagi.

Turut hadir ialah produser gigih, David Teo serta beberapa nama baru yang bernaung di bawah syarikat MIG seperti Mas Muharni, Chloe Majinbon, Adline dan Tania Hudson.

Keberkatan Syawal lebih terpancar apabila orang kuat KRU Studios, Norman Abdul Halim juga meluangkan waktu untuk berkunjung ke majlis berkenaan.

Lalu, buat pertama kali selepas episod ‘filem siapa lebih laku’ pada awal Aidilfitri lalu, kedua-dua penggerak industri seni tanah air itu terus bersalaman dan mengaku, dunia perfileman negara amat kecil dan cukup merugikan jika drama ‘pertikaman lidah’ seperti itu terus berlaku. Tentunya, insiden ‘hangat’ antara mereka kini padam selepas masing-masing sempat bersua muka. Mereka yang berada di sekeliling turut tersenyum bangga menyaksikan sikap profesional kedua-duanya.

Sebelum majlis berakhir, sebuah lagi episod menarik turut tercipta apabila dua wanita jelita yang pernah dikaitkan dengan aktor dan pengacara Fahrin Ahmad, Linda dan Scha, dilihat bersalaman sesama mereka. Sikap terpuji dua selebriti ini harus dicontohi. Tidak kira bagaimana hebat mereka ‘dilagakan’ peminat serta media, kedua-duanya tidak lupa pada adat dan agama, untuk mengeratkan silaturahim pada bulan yang mulia.

Nyata, majlis berkenaan tak ubah sebuah pertemuan yang mengetepikan perselisihan peribadi, lalu terserlah keharmonian di antara selebriti terbabit. Bak kata orang tua, buang yang keruh, ambillah yang jernih.

Di satu sudut lain, Khir Rahman yang baru saja diumumkan sebagai pengarah filem …Dalam Botol terbitan Raja Azmi, dilihat sempat berbual-bual bersama beberapa aktres popular. Khabarnya, Khir masih mencari pelakon wanita dikenali ramai untuk ditampilkan dalam filem sulung arahannya. Mungkin ia rezeki untuk sebahagian artis yang hadir pada majlis terbabit.

Majlis yang berlangsung dari jam 4 petang sehingga 11 malam itu sememangnya menyaksikan pelbagai peristiwa. Pastinya, lebih banyak cerita gembira terjadi pada hari itu, apabila masing-masing berpeluang untuk bertemu muka bersama teman seperjuangan, lalu mencuri kesempatan untuk bertanya khabar serta bertukar cerita.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: