Tandus Wajah Selebriti Popular?

17 Oct

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Khairul Mizan Shagul mengakui pernah mengundang Datuk Siti Nurhaliza untuk menyertai program Sehati Berdansa tetapi ditolak

DARIPADA 30 pasangan selebriti yang diuji bakat, hanya sembilan pasangan saja yang berjaya tersenarai sebagai finalis program realiti berkonsepkan tarian dan kebajikan, Sehati Berdansa.

Pasangan suami isteri yang bakal memeriahkan lantai tari program popular terbitan Astro Ria ini adalah pelakon dan pengacara, Sazzy Falak dan Nazril, bekas pemain hoki kebangsaan, Mirnawan Nawawi dan Norah, pelakon Didie Alias dan Nor Isham, bekas anggota kumpulan Ruffedge, Sein dan Nana, penyanyi kumpulan Lips, Oshin dan Firdaus, bekas peserta AF7, Isma dan Zulkefli, pelakon Anita dan Ismadi, pelakon Dira Abu Zahar dan Ash serta pelakon komedi, Enot dan Zainul.

Melihat kepada senarai peserta yang terpilih untuk musim ketiga ini, tidak dinafikan masing-masing mempunyai kedudukan tersendiri dalam bidang yang mereka ceburi. Namun, satu hakikat yang tidak dapat disangkal apabila memperkatakan mengenai program ini, faktor populariti perlu diambil kira. Bukan untuk menafikan status selebriti yang ada pada mereka, namun berbanding musim sebelumnya, program kali ini ketandusan wajah selebriti popular.

Malah ada di antara mereka mungkin sudah dilupakan peminat kerana tidak lagi aktif dalam bidang seni. Apakah ini menandakan program Sehati Berdansa tidak ubah sebagai satu platform untuk segelintir golongan artis membuat kemunculan semula ataupun ia sebenarnya gagal memikat hati selebriti gred A di negara ini?

Pun begitu ketika diajukan pertanyaan ini kepada Ketua Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, dia menjelaskan dalam memilih peserta untuk program Sehati Berdansa, faktor popular walaupun penting tapi bukanlah perkara utama.

“Apa yang kami pentingkan adalah komitmen mereka. Kalau anda lihat showreel yang kami paparkan tadi, mereka perlu melakukan rakaman untuk promo, sesi fotografi. Semua itu perlu mereka lakukan pada bulan puasa lalu. Bukan itu saja, sepanjang menyertai program ini mereka juga perlu komited dengan persatuan kebajikan yang mereka wakili. Mereka perlu fokus dengan program ini termasuk mengenepikan segala tawaran seperti lakonan, nyanyian.

“Memang ramai yang mahu menyertai program ini tapi pada waktu sesi uji bakat, ada di antara tidak sanggup selepas mendengar syarat yang diberikan. Jadi, kami memerlukan peserta yang benar-benar komited dan ikhlas dalam program ini dan popular bukanlah sesuatu yang diambil kira,” tegas Khairul pada sidang media Pengumuman Peserta Sehati Berdansa musim ketiga yang diadakan di Bandar Sunway, Petaling Jaya petang kelmarin. Hadir sama pada majlis itu, Naib Presiden Kanan, Pemasaran Celcom Malaysia Zalman Aefendy Zainal Abidin. Celcom Prabayar Blue adalah penaja utama program ini.

Ironinya, walaupun Khairul mengatakan yang faktor populariti bukanlah perkara yang diutamakan ketika memilih peserta ini, jadi apa perlunya pihak produksi program ini menghubungi artis ternama untuk menyertai program ini.

Buktinya, pada sidang media itu, Khairul turut memberitahu bahawa pihaknya ada menghubungi penyanyi nombor satu, Datuk Siti Nurhaliza serta beberapa nama besar lain untuk sama-sama memeriahkan program itu.

“Kami ada bertanyakan pada Siti sama ada dia mahu menyertai program ini tetapi dia menolak kerana tidak mempunyai masa,” kata Khairul sambil memberitahu proses mencari peserta bermula April lalu.

Sekadar bertanya, rasanya, kalaulah Siti menyatakan persetujuannya untuk menyertai rancangan itu apakah soal komitmen masih menjadi kepentingan? Iyalah, sebagai penyanyi popular, tentunya pihak produksi sendiri sedia maklum mengenai jadual Siti yang sentiasa padat dengan pelbagai aktiviti termasuk tanggungjawabnya terhadap rumah tangga yang dibina sejak tiga tahun lalu.

Minta Fahrin-Scha bersikap profesional

BELUMPUN memulakan siarannya namun Sehati Berdansa sudah pun mencetuskan cerita sensasi apabila kisah cinta tiga segi membabitkan pengacaranya iaitu Fahrin Ahmad, Scha Alyahya dan Awal Ashaari dipaparkan media. Apabila ini berlaku, ramai yang tertanya-tanya apakah pendirian Astro berhubung perkara ini?

“Saya tidak anggap perkara ini sebagai kontroversi. Bagi kami apa yang berlaku adalah perkara peribadi mereka. Cuma kami ada menyatakan pada mereka supaya bersikap profesional dan saya lihat mereka memang profesional dalam melakukan tugas mereka,” ujarnya

Untuk musim ini, Sehati Berdansa juga menyuntik elemen pembaharuan apabila Debaran Sehati Berdansa yang lazimnya dikendalikan pengacara utama kini diserahkan kepada Awal.

“Bagi kami, ketiga-tiga mereka adalah pengacara utama program ini. Tidak ada perbezaan antara mereka. Apa yang kami lakukan adalah sekadar satu pembaharuan untuk rancangan ini,” ujar Khairul ringkas.

Ditanya mengapakah bilangan peserta tahun ini dikurangkan kepada sembilan berbanding sepuluh musim lalu, Khairul berkata selama ini mereka memang tidak pernah menetapkan bilangan peserta.

“Pihak produksi sendiri yang memutuskan untuk memilih hanya sembilan pasangan saja selepas mengambil kira tempoh berlangsungnya program ini,” katanya.

Mengenai hadiah yang ditawarkan kepada pemenang, Khairul berkata perkara itu akan diumumkan kemudian kerana ia masih dalam perbincangan.

Episod pengenalan, Kenali Sehati Berdansa akan bersiaran mulai jam 9 malam ini selain program mingguan Detik Sehati Berdansa, Di Sebalik Sehati Berdansa, Malam Sehati Berdansa di kaca TV.

Apa kata peserta…

Sazzy Falak

“Sebelum ini sudah dua kali kami menolak tawaran mereka untuk menyertai program ini. Malah untuk musim ini, kami turut menolak kerana kami berdua perlu menghadiri seminar perniagaan

di Singapura. Tapi selepas mendapat pandangan daripada juara musim pertama, Vanidah serta mengenangkan perkara ini juga ada kaitan dengan kebajikan, kami berdua pun bersetuju. Lagipun, suami saya yang beriya-iya mahu belajar menari dan dia yang lebih teruja.”

Mirnawan

“Saya anggap ini adalah satu cabaran buat saya kerana sebelum ini dunia saya hanya tertumpu dalam bidang suka.Saya akui memang sukar untuk melenturkan badan ini, memang kaku. Tapi saya akan berusaha untuk melembutkan badan ini.”

Norah (isteri Mirnawan Nawawi)

“Apabila dia mengajak saya menyertai program ini, saya memang tidak mahu. Berdasarkan apa yang berlaku sebelum ini, kebanyakan mereka yang menyertai program ini, semua kisah peribadi mereka menjadi tatapan umum. Pun begitu, apabila memikirkan yang kami memang jarang dapat bersama, jadi saya bersetuju dan berharap inilah masanya untuk kami menghabiskan masa berdua.”

Didie Alias

“Sebelum ini saya memang mengikuti program ini kerana menyokong kawan-kawan yang menyertainya seperti Amyza Aznan. Jadi apabila mereka menghubungi saya bulan lalu, saya terus bersetuju. Mungkin sebab mereka mahu saya huru-hara kan program ini dengan keletah saya.”

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: