Dakwah Cara David Teoh

13 Oct

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

ANTARA pelakon yang hadir pada acara pelancaran drama Cinta Tikar Sejadah.

Cinta Tikar Sejadah terbitan MIG buat pertama kalinya mengisi slot di saluran Astro Oasis

KETIKA artikel ini ditulis lima karya terbitan produksi MIG sedang giat menjalani penggambaran untuk memasuki slot stesen TV termasuk RTM dan Astro. Drama yang dimaksudkan ialah Jangan Tegur, Jangan Pandang Belakang musim kedua, Mama Murai, Mertua VS Menantu 2 dan Cinta Tikar Sejadah.

Buat julung kalinya juga, MIG diberi kesempatan berharga untuk mengisi saluran Astro Oasis dan menjadi pertaruhan pertama syarikat milik David Teo, drama Cinta Tikar Sejadah sebanyak 13 episod menjadi pilihan. Azhari Zain dipertanggungjawab mengarah drama itu yang menggandingkan Farid Kamil dan Fida Ibrahim bermula 9 Oktober lalu.

Bersesuaian dan menepati konsep saluran itu, Cinta Tikar Sejadah menggunakan genre yang sama seperti filem Syurga Cinta yang pernah dihasilkan MIG sebelum ini. Beliau berhasrat untuk menerbitkan sekurang-kurangnya enam lagi drama dengan tema yang sama dalam tempoh setahun.

“Saya berasakan sesuai dengan masanya apatah lagi gejala dan permasalahan sosial yang dialami sekarang, genre ini perlu dihasilkan dengan lebih meluas pada masa mendatang sebagai sajian stesen TV yang berbeza. Begitu juga dengan medium filem, tema yang sama akan dihasilkan paling kurang satu dalam setahun.

“Jika tiada aral melintang, berkemungkinan besar satu lagi filem berkonsepkan romantik komedi berlandaskan keagamaan seperti Syurga Cinta akan dihasilkan Januari depan. Tetapi masih terlalu awal untuk membicarakannya. Penghasilan entiti seni, boleh dianggap sebagai cara mendidik masyarakat untuk kembali ke landasan yang betul. Cara ringan sambil berhibur,” kata David yang ditemui Hip minggu lalu ketika majlis pelancaran dan doa kesyukuran drama Cinta Tikar Sejadah di pejabat MIG di Subang Jaya.

Selain mengekalkan wajah popular, David seperti dalam karya terbitannya sebelum ini turut memperkenalkan beberapa wajah baru seperti Fida Ibrahim dan CT Zie yang mula menaungi MIG. Bersesuaian dengan imej bertudung, Fida diberi mandat sebagai heroin buat julung kalinya bergandingan dengan Farid Kamil.

Dalam usaha MIG mewarnai persada seni dengan pelakon baru yang dianggap sebagai pelapis, David sendiri mengakui industri tempatan sebenarnya ketandusan hero berbanding heroin. Malah sebelum bermimpi untuk ke peringkat antarabangsa, penerbitan tempatan seboleh-bolehnya perlu ditonton dulu setiap bangsa yang ada.

“Saya harus akui, kita memang sudah tidak ramai hero pelapis. Balik-balik muka yang sama saja. MIG sendiri cuba membina jenama baru bagi hero pelapis untuk mereka mencipta nama. Kalau ada bakat baru yang datang dengan pakej hebat termasuk berbadan sasa dan bersikap ‘jantan’ bolehlah mencuba nasib untuk digilap sebagai hero.

“Bukan saja hero, aspek lain dari segi pekerja belakang tabir seperti penulis skrip dan pengarah baru juga sentiasa terbuka pintu mereka untuk menyertai MIG. Industri penerbitan juga perlu berubah kerana jika masih pada takuk lama, kita akan terus ketinggalan zaman. Kita mahu karya yang berkualiti dan boleh mencapai rating yang tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, David turut memberitahu mengenai projek yang bakal mengikut giliran penerbitan syarikat miliknya. Filem Syurga Cinta akan tampil dalam versi drama tidak lagi.

“Sekuel filem Jangan Pandang Belakang Congkak juga akan memulakan penggambaran mulai 15 November depan. Beberapa pelakon asal filem ini akan dikekalkan termasuk Lisa Surihani dan kumpulan Senario. MIG sudah mendapatkan tarikh lapang kumpulan Senario untuk filem ini dan Senario Episod 3 (penggambaran bermula Januari).

“Kedua-dua filem itu akan diarahkan Ahmad Idham, malah sebuah lagi filem bergenre drama yang menggunakan tajuk sementara, 8 Jam akan diarahkannya. Filem ini dijangka memulakan penggambaran pada hujung tahun. Filem Alam Maya yang sepatutnya diarahkan Norliana Shamsudin masih belum dapat diteruskan lagi penggambarannya. Lagipun, dia (Norliana) sibuk berlakon,” katanya.

Teruja berkongsi skrin bersama Farid Kamil

SEMENTARA itu, Fida yang baru setahun aktif berlakon melihat peluang memegang watak utama sebagai Siti Zulaikha sebagai satu amanah yang harus dipikul sebaik mungkin demi memastikan kepercayaan MIG terhadapnya terus utuh. Fida menyertai MIG sejak April lalu dan sudah berlakon lima drama termasuk Cinta Tikar Sejadah.

Memilih untuk bergelar artis sepenuh masa, Fida, 23, baru saja selesai menjalani penggambaran filem Adik Manja The Returns. Fida yang juga juara pertandingan Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene 2007 tidak menyangka peluang dan rezekinya terbentang luas selepas itu sehingga dilamar MIG.

“Tak sangka Fida dapat bergandingan dengan Farid yang lebih dulu menerjah persada seni di samping pelakon lain yang berpengalaman. Dalam seronok Fida menerima peluang, hati Fida tak dapat menyembunyikan rasa gementar untuk terus memastikan kelancaran penggambaran drama ini.

“Dapat saja skrip sejak seminggu lalu, Fida meneliti skrip dari mula hingga habis. Fokus Fida lebih kepada watak Siti Zulaikha. Insya-Allah dengan kerjasama dan bimbingan rakan pelakon dan pengarah, Fida akan cuba melakukan sehabis baik demi mempamerkan lakonan yang diingini,” kata pelakon berasal dari Kuala Lumpur itu yang mula bertudung di usia 20 tahun.

Selain berlakon, Fida juga berkebolehan dalam bidang pengacaraan dan peragaan. Malah, Fida juga menaruh harapan tinggi untuk bergelar penyanyi di bawah bimbingan MIG. Bagaimanapun, akui Fida, dia tidak mahu terburu-buru mengejar impian dan biarlah setiap kerja itu dilakukan satu persatu.

“Kalau boleh memang Fida nak buktikan kepada diri sendiri bahawa Fida juga boleh menjadi penyanyi. Perkara ini pernah Fida bawa berbincang dengan David dan beliau sendiri mahu memberi ruang itu. Fida mungkin lebih terarah kepada genre muzik pop. Fida juga pernah mengikuti uji bakat pertandingan Akademi Fantasia musim keenam dan ketujuh.

“Dalam pada itu, Fida juga berhasrat mahu menyambung pengajian di dalam bidang veterinari kerana Fida cukup menyayangi haiwan terutama kucing. Di rumah saja, Fida ada membela tujuh ekor kucing. Itu belum lagi kira kucing yang berkeliaran di luar dan memerlukan bantuan, nescaya Fida akan menolong seadanya,” kata Fida.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: