Buruan Lelaki VIP

13 Oct

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Penyanyi jelita dan bersuara lunak Noryn Aziz tepis gosip seorang lelaki berkedudukan berusaha untuk memenangi hatinya untuk dijadikan isteri

TANYALAH apa saja pada wanita ini, dia pasti akan menjawabnya dengan segala senang hati. Namun jika perbualan itu mula berkisar soal jodoh, pasti jawapan yang diterima hanyalah gelak tawa dari penyanyi bervokal mantap ini.

Entah mengapa, soal kehidupan sebagai janda, teman lelaki dan juga jodoh bukanlah satu topik yang digemarinya. Jangan silap faham, bukan kerana dia anti kepada institusi perkahwinan ataupun mahu terus membujang tetapi buat masa ini,dia lebih selesa hidup bersendirian.

Sedekad menjalani kehidupan tanpa seseorang bergelar suami, Noryn akui ketika ini dia memang selesa dengan keadaan itu. Bebas membuat keputusan sendiri serta tidak perlu bergantung hidup kepada lelaki membuatkan Noryn tekad untuk tidak tergesa-gesa mencari calon suami. Lagipun, tambah Noryn pengalaman masa lampau membuatkan dia begitu berhati-hati untuk memikirkan soal jodoh.

Sementelah dia sekarang begitu sibuk dengan kerjaya nyanyiannya membuatkan ada kala soal jodoh tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

“Noryn sebenarnya lebih selesa dengan keadaan sekarang. Bukannya Noryn serik apabila rumah tangga Noryn berkecai di pertengahan jalan. Cuma Noryn kini mengambil langkah untuk berhati-hati supaya pisang tidak berbuah dua kali. Tapi itu bukanlah bermakna Noryn membenci perkahwinan.

“Lagipun, kesibukan Noryn dengan dunia seni membuatkan Noryn terlupa soal jodoh. Lepas membuat persembahan, Noryn terus pulang ke rumah. Hendak kata sunyi, Noryn tak nafikan sesekali perasaan itu bertandang juga. Namun apabila bersama keluarga dan kebetulan Noryn juga mempunyai dua orang anak saudara yang masih kecil membuatkan perasaan sunyi itu hilang apabila bertemu mereka,” jelas pemilik nama penuh Norazmahwati Abdul Aziz ini.

Pun begitu, walaupun cuba mengelak apabila ditanyakan soal lelaki dalam kehidupannya, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Alam Maya dan Cerita Cinta ini tetap dilanda gosip panas apabila dikatakan menjadi buruan lelaki berkedudukan. Dan itu tidak mustahil kerana selain status, populariti serta rupa paras dan penampilan Noryn mampu membuatkan mana-mana lelaki gila bayang kepadanya.

Jika tidak masakan ada lelaki berkedudukan yang cukup terkenal dikatakan begitu meminati wanita ini. Malah, khabarnya lelaki berstatus VIP itu berusaha untuk memenangi hati Noryn untuk dijadikan suri hidupnya.

“Cerita itu tidak benar. Sebagai penyanyi, apabila diminati seseorang itu adalah lumrah. Dan bagi Noryn sendiri, kalau ada orang meminati Noryn kerana bakat, Noryn ucapkan terima kasih. Kalau hendak diikutkan, bukan saja golongan VIP tetapi peminat biasa pun ada yang meluahkan rasa cinta terutama di laman sosial Facebook milik Noryn.

“Tapi Noryn faham, biasalah peminat. Noryn layan sama rata semuanya. Dan mengenai gosip kononnya Noryn diburu lelaki VIP, sekali lagi Noryn menegaskan perkara itu tidak benar. Noryn mengenalinya sebagai peminat saja dan Noryn tidak pernah keluar berdua dengannya sebagaimana yang didakwa. Buat apa Noryn nak berselindung? Noryn memang tak ada apa-apa hubungan dengannya.

“Kalau Noryn keluar dengan sesiapapun, perkara itu tidak lebih sekadar urusan perniagaan dan biasanya Noryn ditemani pengurus, Sam,” tegasnya.

Jelas Noryn, seboleh mungkin dia cuba mengelak untuk terjerumus dalam gosip seperti ini kerana baginya hati keluarga dan peminat perlu dijaga. Begitu juga dalam soal memilih jodoh, seboleh mungkin wanita berusia 33 tahun ini cuba mengelakkan terjebak dengan lelaki yang sudah beristeri.

“Apabila timbul cerita seperti ini iaitu gosip membabitkan saya dengan lelaki itu dan ini, jauh di sudut hati, saya memang merasa gusar. Saya faham sebagai artis, gosip adalah lumrah tetapi pada masa yang sama, jika ia berterusan tersebar, saya bimbang ia akan membuat keluarga saya terasa hati dan melahirkan perasaan kurang senang pada peminat.

“Justeru, kalau sesuatu perkara itu benar, saya lebih suka berterus terang. Tak guna berselindung apa-apa. Begitu juga dengan gosip ini, sejujurnya antara saya dan dia memang tak ada apa-apa hubungan. Dia adalah peminat saya. Saya takkan akan berkahwin dengan lelaki yang sudah beristeri. Itu janji saya,” ujar Noryn mengharap pengertian

Bakal beraksi di pentas DFP

TAN Sri SM Salim pernah melakar sejarah di sana. Begitu juga dengan Datuk Khatijah Ibrahim. Datuk Siti Nurhaliza juga pernah beraksi di pentas berprestij itu walaupun sekadar menjadi penyanyi undangan kepada SM Salim. Dan terbaru, jika tiada aral melintang, Noryn juga bakal mengikut jejak langkah mereka apabila bakal membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) sempena persembahan DFP Spotlight Jazz.

“Noryn sendiri tidak sangka bakal membuat persembahan di pentas berprestij seperti itu. Noryn puas hati dan teruja kerana bukan mudah untuk penyanyi tempatan khususnya menjejakkan kaki di situ. Justeru, apabila ditawarkan untuk membuat persembahan secara solo di sana, Noryn tidak akan lepaskan peluang itu dan Noryn akan persembahkan yang terbaik buat peminat semua,” katanya yang akan beraksi untuk DFP Spotlight Jazz pada 12 Januari depan.

Katanya, kepada peminat yang ingin menyaksikan persembahannya itu boleh membuat tempahan tiket yang berharga RM40 di talian 03- 2051 7007 serta melalui internet iaitu http://www.dfp.com.my.

Ditanya mengenai projek album keduanya, Noryn berkata ia masih lagi dalam pembikinan.

“Ada lagu yang sudah dirakamkan dan kami juga sedang mencari material yang sesuai untuk album ini. Untuk album ini nanti genre muziknya akan mengalami sedikit perubahan.

“Muziknya akan lebih mesra radio kerana sebelum ini ramai yang mengadu susah nak dengar lagu Noryn di radio. Walaupun muziknya sedikit berubah tetapi sentuhan Noryn tetap ada. Cuma kali ini Noryn terpaksa berkompromi demi kepuasan peminat Noryn,” tutur Noryn.

INFO: Noryn

Nama sebenar: Norazmahwati Abdul Aziz.

Panggilan: Noryn Aziz.

Usia: 33 tahun.

Tarikh lahir: 26 November 1976.

Tempat lahir: Shah Alam, Selangor.

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM).

Album: Fantasi O Realiti dan Alam Maya.

Pencapaian:
– Artis Baru Terbaik Wanita di Anugerah Planet Muzik (2007)
– Mewakili Malaysia di Festival Muzik Antarabangsa Jazz di Indonesia, Singapura dan Vietnam
– Antara penyanyi Malaysia yang pertama menduduki (final top 3) dalam Seni Persembahan Dunia Ke-12 (WCOPA) di Hollywood (2008) yang membawa pulang empat pingat emas dan satu perak.

Tajaan Pakaian: Albert King (03-21459015).

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: