Anuar Zain Paling Eksklusif

13 Oct

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Anuar Zain

Tiket Eksklusif Syawal bersama penyanyi itu laris walaupun lebih mahal daripada Beyonce Knowles

ANDAI melihat nilai harga tiket yang dikenakan untuk menyaksikan persembahan Eksklusif Syawal bersama Anuar Zain yang berlangsung di Golden Chersonese Mediahall, Maju Junction, baru-baru ini, tentu ramai yang terkejut kerana harga yang dikenakan boleh dikatakan setaraf dengan harga tiket untuk menyaksikan konsert artis bertaraf antarabangsa.

Bayangkan, untuk menyaksikan pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini beraksi, tetamu perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM800 (VIP), RM700 (Premier) dan RM600 (Eksekutif).

Malah, harga tiket ini jauh lebih tinggi dari nilai harga tiket konsert penyanyi Beyonce di mana untuk harga VIP, jumlahnya hanyalah sebanyak RM583. Dan apa yang membanggakan, tiket yang hanya terhad kepada 300 tetamu itu habis dijual. Siapa sangka di saat ekonomi yang tidak menentu ketika ini, masih ada peminat yang sanggup mengangkat martabat artis tempatan setaraf penyanyi luar negara.

Bukan calang-calang peminat yang sanggup mengeluarkan belanja sebulan gaji hanya untuk menyaksikan artis kesayangannya menyanyi dan Anuar nyata cukup bertuah kerana mempunyai peminat yang sanggup berbuat apa saja kerananya.

Bersesuaian dengan nama acara yang dijayakannya itu, tidak keterlaluan andai dikatakan Anuar antara penyanyi yang cukup eksklusif dan termahal apabila mengambil risiko mengenakan harga tiket sebanyak itu. Bagaimanapun perkara ini disangkal Anuar sambil menyatakan dia juga terkejut apabila mendapat tahu harga tiketnya mencecah hampir RM1000.

“Apabila pihak penganjur memberitahu saya harga tiket yang dikenakan sebanyak RM800, saya sendiri terkejut kerana perancangan awalnya, harga yang diletakkan adalah RM400. Saya bimbang majlis ini tidak mendapat sambutan memandangkan harga yang dikenakannya cukup mahal. Iyalah, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, siapa yang sanggup mengeluarkan belanja sebanyak itu.

“Tapi, apabila dimaklumkan yang semua tiket habis dijual, saya bersyukur sangat-sangat kerana ia masih mendapat sambutan,” ujar Anuar dalam nada teruja.

Kata Anuar, dalam hal ini, dia tidak melihat dirinya sebagai artis paling eksklusif di Malaysia hanya kerana persembahannya yang mahal itu. Baginya sesiapapun artis itu dan jika dia mempunyai album, dia tetap eksklusif di mata peminatnya. Dan kata Anuar, dia beruntung kerana mempunyai peminat yang cukup setia kepadanya dan akan sentiasa menyaksikan persembahannya walau di mana jua dia berada.

“Ada di antara mereka saya memang kenal kerana sering menyaksikan persembahan saya. Dan ada yang datang sejauh dari Singapura hanya untuk menyaksikan persembahan saya. Mereka ini ada menyediakan tabung khas untuk menonton konsert saya. Inilah yang membuatkan saya terharu dan rasa dihargai.

“Justeru, sebagai penyanyi, saya akan cuba menghiburkan mereka sebaik mungkin kerana mereka amat penting dalam kehidupan saya. Bagi saya, interaksi amat penting dan saya akan cuba merenung mata mereka jika sedang berkata-kata dengan mereka kerana itu akan membuatkan mereka rasa lebih dihargai.

“Walaupun saya dalam kesusahan tapi apabila berada di atas pentas, saya akan pastikan yang saya seorang saja yang merasakan kesusahan itu. Naik saja pentas, secara automatik masalah kena letak ketepi dan kita kena fokus pada persembahan kerana tugas kita adalah untuk menghiburkan mereka,” ujar anak jati Merlimau, Melaka ini.

Terlanjur bercerita mengenai konsert, tentu ada yang tertanya-tanya, apa lagi yang perlu dibuktikan penyanyi ini bagi memastikan impiannya untuk mengadakan konsert solo bertaraf mega menjadi kenyataan? Jika gusar apakah akan ada peminat yang sanggup mengeluarkan wang untuk menyaksikan konsert Anuar, persembahan Eksklusif Syawal bersama Anuar Zain jelas membuktikan segala-galanya,

Andai persembahannya sewaktu konsert Lelaki Ini di Istana Budaya beberapa bulan lalu boleh dijadikan penanda aras, tidak dinafikan sudah tiba masanya untuk penyanyi terkenal itu mengikut jejak langkah Anita Sarawak, Datuk Sharifah Aini, Datuk Siti Nurhaliza yang sudah pun mempunyai konsert solo sendiri yang berskala besar.

Namun, sehingga kini, impian hanya tinggal impian. Pun begitu, walaupun terpaksa menunggu lama namun Anuar tidak pernah kisah akan hal itu kerana dia begitu memahami.

“Saya akui, sejak menghasilkan konsert solo di Istana Budaya …….. lalu, tiada tawaran lain yang saya terima. Tapi tak mengapa, saya faham, dalam keadaan sekarang ini, siapa yang berani nak keluarkan duit untuk menaja konsert saya. Mungkin mereka merasakan kurang berbaloi untuk menaja konsert saya menyebabkan sehingga kini tiada tawaran yang saya terima,” kata Anuar yang mempunyai keinginan untuk mengadakan persembahan di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Malaysia.

Biarpun kelibat Anuar jarang kelihatan dan hanya muncul untuk acara tertentu namun itu tidak bermakna dia melupakan peminatnya yang berada di ceruk desa.

“Walaupun saya kerap membuat persembahan di bandar namun saya ada juga turun membuat persembahan di kampung. Sebelum ini saya terbabit dengan aktiviti Astro iaitu Gempak Desa dan pernah membuat persembahan di Kuantan, Pahang dan terbaru pada 17 Oktober ini, saya akan ke Kluang, Johor untuk bertemu peminat di sana. Saya akui seronok dapat bertemu dengan mereka dan memang menjadi impian saya sebelum ini untuk melawat kampung dan bermesra dengan peminat saya di sana,” ujar Anuar sambil mengukir senyuman.

Teruskan legasi lagu Melayu Asli

DIA mungkin kelihatan urban bagi sesetengah pihak. Apatah lagi muzik yang diketengahkan dalam setiap albumnya berkonsepkan pop bernuansakan R&B. Malah penampilannya yang sering bergaya dengan pakaian berjenama membuatkan ramai yang tidak mengetahui bahawa semangat kemelayuan Anuar begitu menebal dalam jiwanya. Siapa sangka, dalam diam Anuar menyimpan hasrat untuk merakamkan lagu Melayu Asli.

Bukan sekadar ingin menunaikan impian sendiri tetapi menurut Anuar dia merasa bertanggungjawab untuk menghasilkan album kerana tidak mahu warisan bangsa itu terus pupus ditelan zaman.

“Kalau kita lihat remaja sekarang, andai ditanya mengenai lagu Melayu asli, masing-masing akan mencebik dan memperlekehkannya walhal kalau bukan mereka yang mengambil berat, memelihara siapa lagi. Mungkin mereka ini kurang pendedahan terhadap lagu sebegini dan untuk itu, saya merasa terpanggil untuk merakamkan album berkonsepkan Asli supaya warisan bangsa ini akan terus bertahan sampai bila-bila,” ujar Anuar.

Ditanya apakah dia akan merakamkan lagu Asli sama seperti yang pernah dilakukan penyanyi lain, Anuar menegaskan konsep dan pemilihan lagu nanti sedikit berbeza dari yang sedia ada.

“Cara nyanyian tetap tidak berubah cuma dari segi pemilihan lagu saya akan rakamkan lagu yang jarang orang dengar seperti Burung Putih, Timang Burung. Kalau kita lihat di radio misalnya, balik-balik lagu yang sama diputarkan. Jadi apa salahnya jika kita rakam lagu yang orang tidak pernah dengar supaya boleh popular,” kata Anuar sambil menyanyikan sebaris lirik lagu itu.

Bertemu adik kepada penyanyi Ziana Zain ini tidak lengkap rasanya jika tidak dikemukakan persoalan jodoh. Mengulas pertanyaan itu, Anuar berkata soal itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya buat masa ini.

“Saya kasihankan wanita yang bakal menjadi isteri saya sebab saya terlalu sibuk dengan kerja. Mungkin bila saya berhenti menyanyi nanti baru saya akan berkahwin,” ujarnya ringkas.

Pada majlis itu, Anuar menyanyikan 15 buah lagu termasuk lagu yang pernah dipopularkan oleh Datuk Sharifah Aini iaitu Tiada Maaf Bagimu, Hanya Milikmu, Lelaki ini, Sesuci Cintamu, Ketulusan Hati serta lagu raya iaitu Bersabarlah Sayang dan Suasana Hari Raya, lagu duet popularnya bersama Ellina.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: