Kad Raya Aizat Paling Unik

5 Oct

Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my

Rap
SETIAP kali menjelang Aidilfitri, tidak lengkap tanpa pemberian kad raya.

Ketika inilah kehadiran posmen paling dinantikan, kalau-kalau ada kad raya dilayangkan ke rumah.

Perasaan gembira tatkala menerima apatah lagi membaca isi kandungannya sebagai tanda diri masih diingati pasti mengujakan.

Justeru, bagi menyemarakkan lagi kemeriahan Syawal, artis popular tanah air dan juga yang baru mengukir nama dalam persada hiburan tidak ketinggalan menghulurkan kad ucapan buat peminat dan media.

Malah, ramai juga sanggup berbelanja lebih dengan menghasilkan kad khas menampilkan wajah merera.

Antara kad hari raya yang tiba di Unit Hiburan Harian Metro ialah daripada Datuk Siti Nurhaliza, Aizat, Amy Mastura, Betty Banafe, finalis One In A Million (OIAM) musim kedua, Iz serta Mimi Rahzia Tamin dan naib juara Akademi Fantasia musim keenam, Riz. Setiap mereka tampil dengan keunikan kad tersendiri.

Bagi yang mempunyai bajet lebih turut dikirimkan dengan kuih raya.

Sekiranya ramai tertumpu menghantar kad raya dengan wajah sendiri, berlainan pula dengan Aizat.

Ingin memberi satu pembaharuan, Aizat, 20, menempah kad raya peribadi yang memaparkan perbezaan saiz bajunya serta adik-beradiknya pada 2007 berbanding 2009 untuk dikirim kepada peminat dan kenalan.

Sekiranya dulu ukuran baju Aizat bersaiz XL kini dia tampil dengan perubahan ketara bersaiz M.

 

 

Sangat unik, kreatif dan menarik. Usaha Aizat menghargai mereka yang banyak membantu kerjayanya tidak terhenti di situ, malah mencetak pula sampul duit raya dengan gambarnya.

Aizat atau nama sebenarnya, Muhammad Aizat Amdan menganggap kejayaannya ketika ini adalah sama sekali pertolongan dari media.

Aizat yang mencuba nasib dalam program realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5), mampu berbangga dengan kelahiran album sulungnya dengan beberapa lagu popular, Hanya Kau Yang Mampu, Kau Pergi, Lagu Kita serta Kau dan Aku.

Katanya, tanpa wartawan dan editor, kerjayanya tidak akan sampai ke tahap hari ini.

Akui Aizat, besar sekali pengorbanan mereka dan disebabkan itu tidak kisah membelanjakan wang untuk menghargai media.

“Bukan bermaksud membodek media, tetapi ini adalah tanda ingatan dan terima kasih dari saya. Berkaitan konsep, saya dan keluarga tentukan.

“Apabila bersungguh-sungguh melakukan sesuatu, itu tandanya kita ikhlas menghargai media,” katanya.

Penyanyi popular negara, Datuk Siti Nurhaliza, 30, turut tidak ketinggalan menghantar kad ucapannya menerusi Siti Nurhaliza Productions (SNP) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jika sebelum ini, kad Siti menampilkan hanya gambarnya seorang, tetapi dua tahun kebelakangan ini artis di bawah SNP, Saida, Sairah dan Coda turut serta memeriahkan lagi suasana Aidilfitri.

“Setiap tahun kami akan peruntukkan antara 4,000 hingga 5,000 kad raya untuk dihantar kepada media, pelanggan dan juga peminat.

“Bagi saya, pemberian kad raya mempunyai nostalgia tersendiri berbanding penghantaran kad raya digital.

“Internet kadang-kadang boleh terkena serangan virus. Lagipun, pemberian kad raya adalah budaya kita. Kalau bukan kita yang teruskan tradisi ini, siapa lagi? Bukankah menerima kad raya dari seseorang adalah satu detik yang menggembirakan?

“Saya tidak pernah lupa beri kad raya kepada media dan peminat sebagai tanda ingatan,” kata Siti.

Berlainan pula dengan Amy Mastura, 38, apabila bertuah mendapat tajaan pihak korporat mencetak kad raya peribadinya.

Amy yang jarang membawa keluarganya ke majlis tertentu dihadiri media, mengirimkan kad raya merah jambu.

Istimewanya, ia turut diserikan gambar suami, Alvin dan dua anak perempuan mereka, Adriana dan Adalia.

“Sudah lapan tahun saya amalkan tradisi menghantar kad raya peribadi kepada media, keluarga, kawan-kawan dan peminat.

“Alhamdulillah, tahun ini sudah dua kali Cracker Oat sudi menaja,” kata Amy yang tetap akan meneruskan tradisi menghantar kad raya setiap tahun.

Wanita berwajah Arab, Melayu, Jawa, Betty Banafe turut tidak ketinggalan menghantar kad raya kepada mereka yang banyak menyokong kerjayanya selama ini.

Kata Betty, artis dan media perlu mempunyai hubungan baik kerana masing-masing saling memerlukan antara satu sama lain.

“Sebelum ini, kad raya dihantar berbentuk poskad. Alhamdulillah, tahun ini rezeki lebih jadi dapatlah buat cantik sikit. Tiap-tiap tahun saya memang cetak 1,000 keping untuk dihantar kepada media, pelanggan dan keluarga.

“Memang tidak lengkap rasanya tanpa pemberian kad raya. Kalau orang lain selesa dengan khidmat pesanan ringkas (SMS), biarlah. Masing-masing ada pilihan sendiri, tetapi cara ingatan tulus ikhlas saya hanya menerusi kad raya,” kata selebriti yang cukup berahsia soal umur ini.

Pendatang baru finalis OIAM musim kedua, Iz, 26, mencetak sebanyak 300 keping kad raya peribadi untuk dihantar kepada media.

Berkonsepkan moden dan tradisional, beritahu Iz atau nama sebenarnya Ezuan Sulaini, kad raya secara tidak langsung dapat menunjukkan personaliti seseorang.

Apapun, terima kasih pada artis yang menghantar kad raya. Kepada semua, rasanya tidak terlambat diucapkan Selamat hari raya Aidilfitri daripada kami di Harian Metro.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: