Si Kecil Berbakat Besar

2 Oct

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap
JIKA sebelum ini, Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dikatakan lebih membuka ruang buat pemuzik luar negara untuk mempersembahkan bakat, kini sudah tiba masanya giliran anak tempatan.

Siapa sangka, ia ‘tuah’ buat kanak-kanak berusia 11 tahun.

Meminati irama muzik klasik, Tengku Ahmad Irfan Tengku Ahmad Shahrizal dalam usia begitu muda cukup berbakat bermain piano.

Justeru, bersandarkan bakat itu termasuk selepas mengikuti Program Pendidikan dan Luaran MPO tahun lalu, si kecil ini akhirnya berjaya.

Sehubungan itu, pada Konsert Gala Sabtu ini, Tengku Ahmad Irfan bersama MPO akan bergandingan menghiburkan tetamu jemputan pada jam 8.30 malam dan untuk orang awam pula, pada Ahad 4 Oktober, jam 3 petang di Dewan Filharmonik Petronas KLCC.

Di bawah pimpinan Pengarah Muzik MPO, Claus Peter Flor ini nanti, Tengku Ahmad Irfan bersama MPO akan mempersembahkan program simfoni ciptaan pemuzik tersohor antarabangsa, Beethoven iaitu Overture, Coriolan dan ‘masterpiece’ Symphony No 5.

Pada majlis sesi ramah mesra bersama bintang kecil itu di Hotel Treaders, Kuala Lumpur kelmarin, pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, Petaling Jaya ini berkata dia sedikit gementar untuk menjayakan persembahan julung kalinya bersama MPO.

“Bagaimanapun, saya sudah bersedia menyahut cabaran besar itu. Ini kerana, setiap hari saya pasti berlatih bermain piano selama dua jam pada Isnin hingga Jumaat, manakala hujung minggu pula kira-kira empat jam. Ia penting untuk memantapkan pengetahuan.

“Sekiranya saya tertinggal sehari membuat latihan, prestasi akan merosot. Saya tidak mahu ia jadi begitu dan harus giat berlatih.

“Apapun, bagi menjayakan persembahan ini sesi latihan saya bermula semalam (Khamis) dan pasti melakukannya dengan baik,” katanya.

 

 

Ditanya mengenai minatnya terhadap alat muzik lain, tanpa teragak-agak Tengku Ahmad Irfan memaklumkan selepas piano, dia memilih untuk belajar bermain violin. Namun, katanya dia tetap suka pada semua alat muzik dan mendengar pelbagai genre lagu.

Mengulas mengenai kehidupan hariannya, anak sulung daripada tiga beradik ini mengakui dia tetap menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa.

Masih suka menonton kartun dan hobinya pula bermain badminton, komputer dan mencipta lagu.

“Setakat ini, saya sudah mencipta kira-kira 20 lagu. Namun, jika mendapat tepukan gemuruh pada malam persembahan nanti mungkin saya akan mempersembahkannya.

“Bagaimanapun, ia bergantung pada situasi persembahan berkenaan,” katanya.

Menjawab persoalan mengenai prestasi pelajaran akademiknya, Tengku Ahmad Irfan berkata minat mendalam pada muzik nyata tidak menyebabkan pendidikannya terabai.

Menurut anak berbakat besar ini, dia masih lagi mampu mencatat keputusan yang baik dalam pelajaran.

Menyentuh mengenai persediaannya untuk beraksi di pentas antarabangsa pula, abang kepada Tengku Nana Shafikah, 9, dan Tengku Iman Safiyah, 4, ini berkata dia sudah bersedia. Menurutnya dia tidak gentar untuk menonjolkan bakat dimiliki.

Menyorot pencapaian Tengku Ahmad Irfan sebagai pemain piano, anak kecil ini menunjukkan bakat semula jadinya dalam bidang muzik seawal usia tujuh tahun.

Dalam tempoh dua tahun, dia dianugerahkan sijil cemerlang dari Trinity Guildhall untuk piano solo gred 5 sebelum menerima kepujian gred 8.

Bahkan, pada permulaan pembabitannya dalam seni, Tengku Ahmad Irfan pernah mempersembahkan alunan muzik hebat walaupun tiada bimbingan khusus.

Sejak itu, dia mula menjadi perhatian dan diundang menjayakan persembahan di televisyen.

Pernah mendapat bimbingan ‘materclass’ di bawah Proffesor Dr Arbo Valdma dan kini dibimbing pula Proffesor Snezana Panovska, anak kepada pasangan doktor, Tengku Ahmad Shahrizal, 41, dan peguam, Katijah Ismail ini sudah mencipta simfoni piano sonata berdurasi panjang ketika usianya enam tahun.

Apapun, bagi memeriahkan suasana konsert yang mempersembahkan Piano Concert in E flat karya Beethoven dengan tiketnya berharga RM20, RM40, RM65 dan RM85 pada hujung minggu ini, Tengku Ahmad Irfan turut mempersembahkan cadenza piano ciptaannya.

Bapanya, Dr Tengku Ahmad Shahrizal berkata sekalipun dia dan isteri terbabit dalam karier hebat, tetapi mereka tidak menghalang apa minat anak-anak.

Berbakat bermain gitar, Tengku Ahmad Shahrizal mengakui selesa memberikan galakan.

“Saya melihat pada kecenderungan yang ditunjukkan mereka. Tidak kisah sama ada bidang muzik atau sukan, yang penting minat. Sebagai ketua keluarga, saya dan isteri hanya memberi sokongan dan tahu bidang diceburi itu mempunyai masa depan.

“Semua ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak mereka. Oleh itu, apabila melihat Tengku Ahmad Irfan berminat dengan muzik dan piano, saya cuba membantu dengan mendapatkan platform serta pendedahan lebih khusus untuknya.

“Pertama, saya belikan dia keyboard untuk kesan minat sebenarnya dan berlatih di rumah. Bila melihat bakat ditonjolkan, kemudian saya rakam dan menghantarkannya kepada pihak MPO untuk menilai. Syukur, akhirnya dia berjaya,” katanya.

Menurut Tengku Ahmad Shahrizal lagi, keluarga sebelah ibunya memang berbakat dalam muzik. Mungkin atas sebab itu, ia diwarisi anaknya Tengku Ahmad Irfan. Bukan itu saja, Tengku Ahmad Shahrizal juga berpengalaman mengiringi persembahan penyanyi terkenal tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Jaclyn Victor.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: