Nahas Rapatkan Anak Den Wahad

2 Oct

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

MALANG tidak berbau. Di kala umat Islam masih bergembira meraikan Aidilfitri yang mulia, anak bongsu pelakon Den Wahab, 46, Haziq Ikram, 6, ditimpa kemalangan jalan raya ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan balik ke pusat peranginan milik mereka di Janda Baik selepas bercuti di Kuantan, Pahang.

Kejadian itu berlaku pada raya kelima lalu, lebih kurang jam 1 tengah hari.

Den atau nama sebenar, Zaharudin Abdul Wahab yang terkenal sebagai tukang jahit baju Melayu berkata, mereka sekeluarga bertolak balik ke Janda Baik pada raya kelima dan jalan dari Kuantan ke sana agak agak berliku.

Katanya, tiba di Janda Baik, pembantu rumahnya beritahu hendak muntah dan dia berhenti kereta di tepi jalan. Ketika itu Haziq duduk bersama pembantu rumah di kerusi belakang yang tergesa-gesa turun dari kereta untuk ke seberang jalan dan terlupa menutup pintu menyebabkan Haziq meluru keluar mengikutnya.

“Sebaik Haziq keluar sebuah motosikal tiba dan terus melanggarnya. Kejadian itu berlaku begitu pantas dan ia macam kemalangan yang biasa ditonton dalam televisyen. “Saya dan isteri (Norashikin Bustamam, 36, atau Nora), tergamam dan panik melihat Haziq terpelanting beberapa kali di jalan raya sebelum tertiarap menyebabkan kepala dan mukanya cedera.

“Saya, Nora dan empat lagi anak kami semua keluar dari kereta mendapatkan Haziq yang sudah tidak bergerak. “Nora terus mengangkat dan memangkunya dan pada waktu itu kepala dan bajunya sudah berlumuran darah.

“Kami semua memanggilnya kerana tidak mahu dia pengsan dan terus terlena kerana selepas dilanggar dia tidak menangis.

“Saya dah tak tahu hendak buat apa kerana terlalu panik. “Penunggang motosikal itu juga berkali-kali minta maaf dengan kami, tetapi kami tidak menyalahkannya kerana Haziq yang meluru keluar.

“Dia sendiri buat laporan polis dan mencadangkan kami membawa Haziq ke Hospital Bentong.

“Tetapi saya nekad membawa Haziq mendapatkan rawatan segera di Hospital Ampang Puteri dan dalam masa setengah jam, kami tiba di sana. S

 

 

“Sebaik tiba di hospital, doktor terus memberi rawatan dan kepala Haziq dijahit 15 jahitan. Dahi dan mukanya bengkak serta kaki cedera sedikit.

“Mujur tidak berlaku kecederaan dalaman. Haziq terpaksa tinggal di wad selama tiga hari dua malam. Nampaknya kami meneruskan sambutan hari raya di hospital dan saya terkejut ramai datang melawat.

“Ingatkan balik dari Kuantan hendak beraya ke rumah saudara mara, tetapi nampaknya tak sempat dan kami semua berkumpul di hospital.

“Melihatkan kemalangan yang berlaku dan kecederaan dialami Haziq, doktor hairan kerana keadaan Haziq tidaklah begitu teruk. Oleh kerana Haziq masih kanak-kanak, saya percaya malaikat melindunginya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Damai Puspa, Alam Damai, Cheras.

Sementara itu, Nora berkata, dia nampak Haziq mengikut pembantu rumah keluar kereta, tetapi dia tidak sempat menghalang kerana duduk di depan dan kejadian itu pula berlaku dalam sekelip mata.

“Selalunya jika kami berjalan sekitar Kuala Lumpur, Haziq duduk bersama saya di depan. Tetapi apabila membabitkan perjalanan jauh, Haziq akan duduk bersama bibik (pembantu rumah) di belakang.

“Bibik rasa bersalah teramat sangat, tetapi apa yang berlaku kerana kecuaian kami juga.

“Jadi kami tidak mahu menyalahkan sesiapa. Pasti ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Nasib baik tiada kenderaan lain yang lalu waktu itu. Saya tengok penunggang motosikal itu budak baik dan bukan jenis merempit. Dia memang tidak dapat mengelak kerana Haziq tiba-tiba menerpa keluar.

“Penunggang motosikal itu beritahu, mulanya dia hendak bawa kereta, tetapi tak jadi kerana minyak habis. Jadi dia dalam perjalanan hendak membeli minyak kereta. Saya tak boleh bayangkan macam mana keadaan Haziq jika dilanggar kereta atau kenderaan lain yang lebih besar.

“Melihatkan Den dah panik, saya terpaksa menjadi kuat mengawal situasi. Dalam kereta sambil memangku Haziq dan menutup kepalanya dengan jaket, saya terus memanggilnya kerana selepas kemalangan itu Haziq tidak menangis dan terus diam. Saya tengok matanya separuh terbuka.

“Den memandu dengan laju sehingga anak yang lain menjerit ‘abah, jangan bawa lagu, kami tak mahu mati.’

“Dalam perjalanan itu juga, Den asyik berkata, ‘kenapalah dia yang tidak kena kemalangan itu.’ Sebagai anak bongsu, Haziq sangat manja dan keletahnya menghiburkan hati,” katanya.

Tambah Nora akibat kemalangan itu mereka sekeluarga trauma kerana kemalangan itu berlaku depan mata. Paling trauma, anak nombor empat, Danish Haikal yang tua setahun daripada Haziq. Mereka rapat dan setiap kali dia melihat wajah Haziq yang masih bengkak, mesti dia menangis mahukan wajah adiknya yang dulu.

“Ketika Datuk Zahid Hamidi dan isterinya melawat Haziq di hospital, dia beri kami sekeluarga minum air penawar untuk mengurangkan trauma. Hikmah daripada tragedi itu, saya tengok mereka lima beradik sangat rapat.

“Kak longnya (Nur Zahira Natasha, 15), sanggup membelanjakan duit rayanya membeli permainan untuk Haziq.

“Selama ini saya selalu tengok mereka suka bergaduh dan mengusik antara satu sama lain. Tak sangka akibat tragedi itu saya melihat sisi lain dalam diri mereka.

“Jika Haziq menangis, kak longnya akan segera memujuknya. Sekarang ni Haziq banyak merengek agaknya baru terasa sakit kesan jahitan di kepala dan beberapa luka kecil lain,” katanya.

Tambah Nora, selama ini dia sangat menjaga Haziq dan anaknya yang lain sehingga dia dilarang berbasikal di luar rumah kerana bimbang kereta lalu lalang depan rumah.

“Adik Datuk Siti Nurhaliza, Saida tinggal berhampiran rumah kami. Haziq selalu bermain dengan anak Saida, tetapi saya tidak pernah membiarkan Haziq pergi seorang. Tetapi itulah, jika perkara itu hendak terjadi, ia akan berlaku juga walau macam mana kita menjaganya. Hanya Allah yang tahu rahsianya,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: