Serasi Bersama

29 Sep

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Nora Danish dan Ryzal makin bersefahaman sejak digandingkan dalam Sumpah Bunian

SESI fotografi membabitkan dua pelakon, Ryzal dan Nora Danish, berlangsung dalam suasana cukup ceria. Kedua-duanya bukan saja mudah memberikan kerjasama, sebaliknya mereka sendiri begitu akrab. Keadaan itu membolehkan situasi lebih spontan dapat dirakam.

Kononnya, dalam drama sebabak mereka petang itu, Nora teringin sekali menikmati suasana Aidilfitri di kampung pada tahun ini. Menyedari impian Nora, Ryzal yang berasal dari Alor Star, Kedah, tanpa ragu-ragu mengundang rakannya beraya bersama keluarganya di sana.

Pelakon drama bersiri Puteri itu juga terpikat dengan jemputan berkenaan, lalu bersiap sedia untuk berangkat dengan keretanya ke kampung halaman Ryzal.

Pada hakikatnya, Nora hanyalah menyambut 1 Syawal lalu bersama keluarga serta anak lelakinya, Putera Raiqal Ramli di Kuala Lumpur.

“Sebenarnya raya ini, saya tidak ke mana-mana. Kami anak-beranak duduk di rumah saja. Apatah lagi inilah kali pertama kami beraya bersama Raiqal. Dia cucu pertama keluarga bekas suami. Jadi, masing-masing hendak meluangkan masa bersamanya nanti,” kata Nora tersenyum.

Sambung wanita berusia 27 tahun itu, lagipun, ketika ini wabak H1N1 masih lagi berleluasa. Justeru, dia berasakan lebih baik mereka beraya di rumah.

Begitupun, akui Nora, Aidilfitri tahun ini tentu paling menyeronokkan apabila kehadiran Raiqal membawa sejuta kebahagiaan kepada dirinya sekeluarga. Kata Nora, dia insan yang amat beruntung apabila dikurniakan oleh Tuhan seorang anak lelaki yang begitu disayangi ramai.

“Paling tidak, sepanjang Hari Raya, tidak syak lagi Raiqal orang yang mempunyai paling banyak baju raya kerana semua orang berebut-rebut membelikan pakaian baru untuknya,” cerita Nora yang rapat dengan keluarga sebelah bekas mentua.

Keseronokan serupa turut dirasa Ryzal apabila dia pulang beraya di Alor Star kerana pada tahun ini, bilangan anggota keluarganya bertambah iaitu dengan kehadiran cahaya mata adik lelakinya. Bayi berkenaan juga muncul anak saudara pertama Ryzal.

“Tahun ini kali keempat saya beraya sebagai artis. Namun, ia lebih bermakna apabila pada Syawal tahun ini kami beraya bersama anak saudara pertama dalam keluarga. Jadi, suasananya tentulah sedikit berbeza dengan kehadiran si kecil yang menjadi penyeri Aidilfitri ini. Apatah lagi apabila kami juga beriya-iya menyediakan pakaian raya yang comel untuknya.

Sebagai anak sulung, Ryzal sememangnya tidak lupa membelikan persalinan baru untuk kedua-dua ibu bapa, selain sudah menyediakan sedikit peruntukan untuk meraikan Aidilfitri bersama-sama keluarganya.

Nora seronok jadi wanita bunian

BERMULA 29 September ini, peminat akan dapat menonton siri lakonan Ryzal dan Nora dalam siri berjudul Sumpah Bunian. Drama itu turut dibintangi Elly Mazlein, Dian P Ramlee, Qazem Nor, Mubarak Majid dan Mahmud Ali Basah.

Antara lain, drama arahan Adam Hamid itu mengisahkan Hawa (Nora) seorang gadis bunian yang sejak dari kecil mencintai Adam (Ryzal). Namun, mereka terpisah apabila Adam berpindah ke Kuala Lumpur. Hanya selepas 18 tahun, kedua-duanya bertemu semula.

Bagaimanapun, tidak seperti mana Hawa yang dapat melihatnya, Adam pula sebaliknya tidak boleh melihat gadis bunian berkenaan.

Lalu, apabila Hawa tiba-tiba bertemu semula lelaki impiannya, dia sanggup mengejar lelaki itu walaupun akhirnya terpaksa melupakan keluarga sendiri. Namun begitu, Hawa mula sedar, apabila dia memasuki alam manusia, dunia yang disangkanya indah bukanlah seperti yang diimpikan. Kehidupan Hawa di alam nyata mula berubah wajah.

“Inilah pengalaman pertama bergandingan dengan Nora. Bekerja dengannya amat menyeronokkan. Namun, ketika menjayakan drama ini tidak terlepas daripada cabaran. Kami baru saja menamatkan penggambaran yang mengambil masa lebih dua bulan lebih.

“Apabila penggambaran sebanyak 19 episod ini memasuki bulan puasa, cabarannya makin hebat. Lebih-lebih lagi, watak yang saya bawa itu agak berat. Pada satu aksi, saya dikehendaki melakonkan babak menangis,” cerita Ryzal sambil memberitahu, dalam siri berkenaan, watak Adam lakonannya mempunyai dua isteri apabila isteri pertama gagal melahirkan zuriat.

Nora pula memberitahu, sebagai Hawa, dia diperlukan untuk memakai tudung dalam drama yang bersiaran selama sejam setiap minggu itu.

“Saya memang suka watak bertudung kerana ia lebih memudahkan. Iyalah, paling tidak, banyak masa boleh dijimatkan kerana saya tidak perlu mendandan rambut,” katanya yang mendapat tajaan butik Ratu bagi koleksi tudung dipakainya dalam drama berkenaan.

Selain fesyen tudung serkup pelbagai warna yang mudah digayakan, Nora juga turut memakai tudung ala Datuk Siti Nurhaliza dalam drama terbabit.

Selain mulai kembali sibuk di lokasi penggambaran, Nora kini turut bergelar pengacara apabila dilamar mengendalikan program Bolly 10 untuk saluran Astro B4U. Episod pertama rancangan berkenaan ditayangkan pada musim perayaan ini.

“Program berbentuk carta lagu popular Hindustan ini muncul pengalaman pertama saya sebagai hos. Nasib baiklah saya memang peminat lagu Hindi. Cuma, lagu terkini saja kurang saya ikuti, berbanding lagu malar hijau mereka daripada tahun-tahun terdahulu. Jadi, peluang ini membolehkan saya kembali mendekati irama popular dari negara berkenaan,” ujar Nora yang mendakwa, tugas sebagai pengacara agak mencabar buat orang baru sepertinya.

Selain Sumpah Bunian, Nora juga membintangi telefilem Bila Mama Pakai Celana untuk TV3 dan siri Tiga Serumah tayangan Astro Mustika, selepas kembali aktif di bidang lakonan.

INFO: Ryzal
Nama: Mohd Shahrizal Jaafar
Tarikh Lahir: 2 Januari 1982
Tempat Lahir: Alor Star, Kedah
Pendidikan: Diploma Komunikasi Visual dari MIIM
Profesion: Pelakon, Pengacara, Model
Drama: Jelatang, Dunia Baru, Sumpah Bunian, Platun Satria, Issandra, Bara Yang Ku Genggam
Filem: CE1

INFO: Nora Danish
Nama: Nora Danish Mohd Hanif
Tarikh Lahir: 7 Mac 1982
Tempat Lahir: Kuala Terengganu, Terengganu
Pendidikan: SPM (Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Kajang)
Profesion: Pelakon, Pengacara, Model
Drama: Puteri, Pendekar 5, Ejen 016, Gadis Cuci, Bila Mama Pakai Celana, Tiga Serumah
Filem: Gila-Gila Pengantin Popular, Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: