Kegembiraan Berganda

22 Sep

Oleh Zaidi Mohamad
dim@bharian.com.my

Syawal tahun ini bermakna bagi Aizat kerana semua adik-beradiknya berkumpul

BUKAN senang Aizat dan ahli keluarganya dapat berkumpul dan beraya bersama. Kalau tahun sebelumnya, sekalipun dapat berkumpul pasti tak lengkap kerana ada saja adik beradik yang lain tak dapat bersama terutama dua abang Aizat, Amar dan Anas yang berada di luar negara.

Berbeza tahun ini, kegembiraan datang dalam pakej berganda kerana Aizat serta lima adik beradiknya, Amar, Anas, Amir, Alif dan kakaknya, Nur Ili Zuhair bersama ibu bapa tersayang menyambut lebaran bersama-sama. Hip sempat merakamkan momen indah saat Aidilfitri disambut.

Selain beraya di Ampang, Aizat sekeluarga beraya di Kampung Melayu pada hari raya pertama sebelum pulang ke Raub, Pahang. Kata Aizat, paling maksimum dia bercuti raya pun hanya dua hari.

“Bayangkan selepas empat tahun, kami tak dapat beraya bersama kerana komitmen dua abang Aizat di Australia. Ketika itu, Amar bekerja di Melbourne dan Anas pula masih belajar di Queensland. Alhamdulillah, kami dapat kembali beraya bersama.

“Insya-Allah, kami akan mempertimbangkan melakukan perkara simbolik sebagai meraikan kenangan beraya tahun ini. Tapi tak boleh cakap lagi, nanti tak jadi kejutan pula. Biarlah ia menjadi rahsia antara kami dulu. “Sebelum terlupa, Aizat nak ingatkan kepada yang meminati diri ini untuk menonton pelbagai program raya membabitkan Aizat seperti Akustika RayaTV3, Melodi Raya, Raya Santai TV9 termasuk konsert membabitkan Datuk Siti Nurhaliza,” katanya yang tampil dengan single Erti Hari Ini bercorak ketuhanan yang tidak dimainkan di radio.

Sebaliknya lagu Erti Hari Ini akan dimuatkan di dalam album keduanya, selepas album sulung, Percubaan Pertama. Lagu itu hanya diberikan kepada tetamu yang hadir dalam majlis berbuka puasa yang dianjurkan Aizat dan syarikat keluarganya, Kasi Gegar Entertainment (KGE) 3 September lalu.

Malah, sejak Ramadan lalu, Aizat rancak melunaskan rakaman lagu dan hingga kini sudah 30 peratus siap proses terbabit.

“Harapnya album kedua ini akan berada di pasaran hujung tahun ini atau sekurang-kurangnya awal 2010. Konsepnya sedikit berbeza dengan album sulung yang lebih cenderung ke arah pop bebas. Album ini juga diterbitkan sepenuhnya oleh KGE.

“Tidak timbul istilah syok sendiri terhadap album ini biarpun ia lahir daripada ilham rasa Aizat dan abang, Anas. Jika kita ada kebolehan kenapa tidak dimanfaatkan dan selagi boleh berkarya sendiri, keuntungan royalti dan muat turun lagu diterima sepenuhnya.

“Jalur muzik kali ini lebih terarah kepada pilihan cita rasa Aizat sendiri dengan Anas. Selain pop, turut diselit dalam album ini ialah genre rock, 60-an, joget dan banyak lagi. Insya-Allah, 10 buah lagu akan dimuatkan. Lagu Susun Silang Kata akan dipertaruhkan sebagai single pertama,” kata Aizat yang turut mencetak kad raya dan sampul raya edisi dirinya sendiri untuk Syawal kali ini.

Menurut Aizat, idea menghasilkan lagu Erti Hari Ini timbul ketika negara kita dikejutkan dengan peperangan di Semenanjung Gaza. Begitu juga dengan lagu Susun Silang Kata kerana Hip difahamkan lagu itu ditulis kerana ada kaitan kisahnya dengan Liyana Jasmay.

“Tak saya nafikan lagu Susun Silang Kata terhasil dek pengalaman yang saya lalui sendiri. Kalau meneliti liriknya, gadis yang hadir itu sebagai pelengkap hidupnya,” kata Aizat sambil cuba mengalih topik untuk tidak lagi membicarakan mengenai lagu itu.

Lagu Susun Silang Kata, mungkin boleh ditafsirkan sebagai isi hati Aizat terhadap insan yang begitu istimewa dalam hidupnya kini. Mungkin selepas lagu ini berkumandang kelak, anda di luar sana boleh menilai kesahihan hubungan Aizat dan Liyana Jasmay.

Terlanjur menyebut nama pelakon yang bergelar penyanyi itu, Aizat tidak menafikan akan cuba mencuri peluang untuk beraya bersama teman baiknya itu.

“LJ (Liyana Jasmay) pun kawan Aizat tapi rumah dia mungkin istimewa sikit daripada rumah kawan yang lain,” katanya yang memberitahu rakaman album kedua diadakan di The Ark Studio, Taman Tun Dr Ismail.

Diaju pertanyaan benarkah hubungan Aizat dan Liyana khabarnya tidak direstui keluarganya, Aizat menafikan perkara terbabit, malah memberitahu keluarganya bersikap terbuka dan tidak melarang dengan sesiapapun dirinya mahu berkawan.

“Aizat tahu cerita ini timbul apabila ada cerita kami mengelak untuk bergambar dan dilihat bersama dalam satu majlis. Sejujurnya kami tiada niat berbuat begitu, mungkin juga masing-masing sibuk dengan hal sendiri.

“Selagi Aizat kekal fokus dengan hala tuju dalam menerjah industri seni, keluarga tidak akan bersikap mengongkong terhadap sesiapapun kawan Aizat. Selagi Aizat tak lupa tanggungjawab kepada Tuhan, keluarga dan kerja, perkara ‘sampingan’ itu bukan satu masalah.

“Aizat pun masih muda, 20 tahun. Kalau ikutkan usikan bapa kandung Aizat (Datuk Amdan Mat Din), kami adik beradik yang lain kena kahwin di usia 30 tahun dengan alasan sudah matang. Sesiapapun jodoh Aizat di kemudian hari, biarlah dia akan terus dekat di hati dan jika bukan jodoh, jauhilah Aizat,” kata Aizat yang melakar kejayaan indah pada tahun ini kerana meraih kejayaan beberapa pertandingan seperti Anugerah Industri Muzik 16, Festival Muzik Pop Antarabangsa – Discovery 2009 dan Anugerah Planet Muzik 2009.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: