Cincin Semangat Daripada Abah

22 Sep

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

SEJAK 10 tahun lalu, dia tidak pernah menanggalkan cincin emas putih bertatahkan mutiara yang dipakai jari tengah tangan kanan.

Walaupun dengan kemasyhuran dan kekayaan dimilikinya, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin (Siti), 30, mampu memiliki barang kemas yang lebih hebat dan mahal harganya, namun cincin mutiara putih itu tetap menjadi idaman hatinya.

Hinggakan, pernah tercetus kontroversi sedikit masa lalu kononnya Siti dilamar seseorang gara-gara memakai cincin pemberian ayah tersayang, Taruddin Ismail.

“Saya masih memakainya sampai sekarang. Cincin ini pemberian abah masa mula-mula jadi artis dulu.

“Kata abah mutiara itu simbolik buat saya dan dengan memakai cincin ini seolah-olah semangat abah saya bawa bersama,” katanya.

Akui Siti, sambutan Aidilfitri tahun ini bagaikan ada kekurangan dan hilang serinya.

Masakan tidak, tahun ini pengalaman pertama Siti menyambut lebaran tanpa abah tersayang yang menghadap Ilahi pada 15 Februari lalu akibat serangan jantung, komplikasi buah pinggang dan kencing manis.

Tarudin, menghembuskan nafas terakhir pada usia 67 tahun di Hospital Pakar Ampang Puteri, kira-kira jam 11.50 pagi.

“Suasana lebaran tahun ini sangat berbeza dan sebelum menjelang Ramadan lagi, hampir setiap malam saya menangis mengenangkan arwah abah.

“Terbayang-bayang wajah abah yang setia menemani emak dan kami bersahur walaupun dia sebenarnya tidak bersahur. Ada saja cerita lucu dan yang boleh dijadikan teladan diceritakan pada kami,” katanya.

 

 

Mengenangkan lebaran kali ini amat memilukan, Siti dan adik-beradik lain sepakat beraya dengan ibunya, Salmah Bachik, 57.

Siti akan pulang ke kampungnya di Kuala Lipis sebaik pulang daripada menunaikan umrah pada 20 September ini.

Secekal manapun insan bernama Siti ini mengharungi kehidupan anak seni yang penuh pancaroba, dia tetap manusia biasa yang ada masanya diselubungi pelbagai perasaan.

Lebih-lebih lagi berbicara mengenai arwah bapanya, nada suara Siti mula kedengaran tidak stabil, mata berkaca-kaca dan akhirnya tumpas menyembah bumi.

“Tidak dinafikan walaupun mempunyai tujuh beradik dan abah sayangkan semua anaknya sama rata, saya antara yang paling rapat dengannya kerana sejak kecil lagi sering mengekor abah ke hulu ke hilir membuat persembahan.

“Abah mentor saya dan insan yang paling banyak memberi semangat dan dorongan kepada saya sehingga menjadi seperti hari ini. Dia tidak pernah jemu mengasah bakat saya.

“Arwah selalu kata ‘Siti adalah abah sebab abah adalah Siti’. Mungkin benar, kerana saya sendiri sedar banyak sifatnya yang diwarisi saya terutama kekuatan dan semangatnya.

“Pemergian abah buat saya terasa bagaikan burung patah sayapnya,” katanya.

Ingin membalas jasa abah dan ibu tersayang, Salmah Bachik, 57, dengan nada rendah diri, Siti akui, kemewahan sekalipun belum tentu mampu menilai erti pengorbanan ibu bapanya.

Justeru, selagi terdaya, dia berjanji membahagiakan dan menunaikan apa saja impian abah.

“Sebelum abah meninggal, dia minta saya dan suami membantunya membuka sebuah syarikat berasaskan pertanian di Kuala Lipis. Syarikat yang diberi Saldin (singkatan Salmah dan Tarudin), kini sedang diusahakan,

“Insya-Allah kami anak-anak juga ingin menunaikan haji untuk abah bagi memenuhi impiannya yang tidak berkesempatan melakukannya,” katanya.

Allahyarham Taruddin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyang, Kuala Lipis.

Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh anak (tiga perempuan, empat lelaki).

Empat daripada mereka bergiat dalam seni, Saiful Bahri, Siti Nurhaliza, Siti Norsaida dan Siti Nursairah. Tiga lagi ialah Saifullizan, Mohd Ali dan Mohd Hafiz.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: