Di Mana Artis Popular Beraya?

18 Sep

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Hip bertanya pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 mengenai sambutan Syawal

BERBULAN-bulan di kota menunaikan tanggungjawab pada kerja, setahun sekali anak rantau akan pulang ke desa meraikan lebaran. Desa yang sunyi sepi, kembali bercahaya dengan kepulangan anak rantau.

Dua hari saja lagi Ramadan bakal melabuhkan tirainya, setelah sebulan berjuang menahan lapar dan dahaga, tiba masanya meraikan kemenangan di samping sanak saudara tercinta. Suasana desa kian melambai-lambai menantikan kepulangan anak rantau.

Yang bujang tentunya tiada masalah mengatur jadual perjalanan mereka, sementara yang sudah berumah tangga harus mengamalkan sistem giliran supaya tidak timbul perbalahan di hari nan mulia ini.

Selebriti pujaan ramai juga tentunya tidak ketinggalan meraikan lebaran mereka di kampung halaman sama seperti insan biasa yang lain. Hendak tahu di mana pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008) seperti Nabil, Datuk Siti Nurhaliza, Mawi, Aznil dan ramai lagi meraikan lebaran tahun ini? Di sini Hip lampirkan perancangan artis popular tanah air sempena Aidilfitri ini.

Nabil – Bintang Paling Popular, Artis Komedi Lelaki Popular dan Artis Baru Lelaki Popular

“MALAM raya saya akan menjayakan program Sampaikan Salam di TV3, manakala pada sebelah pagi saya terbabit dengan program Apa Apa Aje di Shah Alam dan seterusnya di Putrajaya untuk majlis rumah terbuka Perdana Menteri. Mungkin pada sebelah petang barulah saya dapat pulang ke kampung saya iaitu Kampung Masjid di Mambau, saya akan meluangkan masa antara dua hingga tiga hari bersama keluarga tercinta di sama.

“Kemungkinan besar pada hari raya keempat, saya dan keluarga akan berkunjung ke rumah keluarga Irma Hasmie pula. Sementara Irma pula dijangka datang ke rumah saya pada hari raya kedua,” kata Nabil.

Datuk Siti Nurhaliza – Penyanyi Wanita Popular

“MEMANDANGKAN Siti akan tiba dari Makkah pada pagi raya, jadi Siti dan suami akan pulang ke Bukit Antarabangsa terlebih dulu. Pada hari raya kedua barulah Siti akan pulang ke Kuala Lipis untuk meraikan Aidilfitri bersama emak dan adik beradik yang lain.

“Kemungkinan pada hari raya ketiga, Siti dan suami akan berangkat pulang ke kampung suami di Kedah untuk bersama ibu mentua. Sepanjang berada di sana, kami akan meluangkan masa mengunjungi sanak saudara suami di situ,” katanya.

Aznil Nawawi – Pengacara TV Lelaki Popular

“HARI raya tahun ini adik beradik saya seramai tujuh orang akan berkumpul di rumah saya kerana emak tinggal bersama dengan saya. Memang menjadi kewajipan kami ketujuh-tujuh beradik berhimpun di hari raya. Saya akan berada di Kuala Lumpur sehingga hari raya kedua, selepas itu kami akan bergerak ke Pulau Pinang beramai-ramai untuk bercuti.

“Anak-anak saya pula akan meraikan hari raya dengan ibu mereka terlebih dulu kemudian mereka akan menyertai kami di Pulau Pinang. Memang menjadi kelaziman kami adik beradik untuk berkumpul terlebih dulu dan kemudian bercuti beramai-ramai kerana jadual kerja saya yang terlalu ketat. Jadi hanya pada kesempatan ini saja saya dapat meluangkan masa bersama mereka kerana saya akan bercuti dari 19 Oktober sehingga 5 September,” katanya.

Rosyam Nor – Pelakon TV Lelaki Popular

“SEPERTI biasa saya sekeluarga akan meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur kerana ibu mentua saya tinggal di Pantai Dalam dan ibu saya pula di Kampung Melayu Subang. Jadi tidak timbul masalah untuk pulang beraya. Malam raya saya dan keluarga akan berada di rumah sendiri tetapi mungkin kami akan cuba lari kedua-dua buah rumah untuk meninjau orang tua kedua-dua belah pihak.

“Kemudian pagi raya saya akan berjalan ke rumah ibu dan ibu mentua. Memanglah nak diikutkan beraya di Kuala Lumpur jauh beza dengan di kampung tetapi anak-anak pun sudah biasa. Biasanya pada hari raya keempat atau kelima kami akan menziarah sanak saudara isteri di Masjid Tanah, Melaka. Kami akan berada di sana sehari suntuk dan pulang semula ke Kuala Lumpur pada hari sama,” katanya.

Noorkhiriah – Artis Komedi Wanita Popular

“SELEPAS selesai menunaikan solat tarawih pada hari Jumaat, saya dan suami akan bertolak ke Pulau Pinang untuk bersama-sama dengan keluarga sebelah suami. Hari raya kedua barulah saya akan balik ke rumah keluarga di Raub, Pahang. Ini juga tahun kedua saya meraikan hari raya di rumah keluarga suami terlebih dulu. Lagipun emak tak kisah saya beraya di sebelah suami terlebih dulu kerana adik beradik saya hanya akan berkumpul di Pahang pada hari raya kedua.

“Kemungkinan besar saya akan berada di Raub hingga raya keempat iaitu selepas salah seorang saudara saya meraikan perkahwinan. Suami saya pula hanya akan mula bekerja pada hari Isnin nanti,” katanya.

Que Haidar – Pelakon Filem Lelaki Popular: Que Haidar

“SEBELUM balik ke kampung di Felda Taib Andak, Kulai, saya dan isteri akan berjumpa doktor terlebih dulu untuk mengetahui sama ada Linda boleh berjalan jauh atau tidak. Jika tidak, nampaknya tahun ini saya beraya di Kuala Lumpur saja. Bagaimanapun sekiranya doktor mengizinkan, kami akan pulang ke Johor selama enam hari. Saya akan balik ke sana dua hari sebelum umat Islam beraya untuk berbuka puasa dengan mak.

“Saya akan balik semula ke Kuala Lumpur pada hari raya keempat. Memang tak saya nafikan, hari raya tahun ini lebih bermakna kerana buat pertama kali saya beraya bersama isteri dan anak. Seperti biasa hari raya saya tidak dapat ke mana-mana kerana sibuk melayan peminat. Tahun lalu saya dapat juga berkunjung ke rumah Mawi, tahun ini harap-harap Mawi pula berkunjung ke rumah saya memandangkan isteri sudah sarat,” katanya.

Mawi – Penyanyi Lelaki Popular

“SAYA tiada masalah pasal balik raya kerana saya dan Ekin dua-dua berasal dari Johor. Bagaimanapun saya akan pulang ke rumah keluarga Ekin dua hari sebelum raya. Selepas sembahyang raya nanti barulah saya akan pulang ke rumah keluarga di Felda Taib Andak.

“Setakat ini saya tak pasti lagi apakah perancangan di hari raya, memandangkan saya akan bercuti selama seminggu, mungkin cuti itu akan saya habiskan dengan berkunjung ke rumah sanak saudara kedua belah pihak,” katanya.

Faizal Ismail – Penyampai Radio Lelaki Popular

“HARI Jumaat sebaik lepas sahur, saya akan bergerak untuk pulang ke kampung halaman saya di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Oleh kerana dapat cuti panjang, saya pulang dulu ke rumah orang tua saya dan kemudian barulah kami akan ke rumah keluarga isteri di Sungai Choh, Rawang. Saya mula bercuti pada 14 Oktober dan kembali bekerja pada raya keempat, jadi saya akan berulang alik dari Sungai Choh saja.

“Setiap tahun memang kami amalkan sistem giliran tetapi ada kalanya bergantung kepada cuti saya juga. Dan pada raya keempat nanti barulah saya dan isteri akan menziarah ke pusara anak saya,” katanya.

Dynas – Pelakon TV Wanita Popular

“TAHUN ini adalah tahun kedua saya berasa bersama suami. Memandangkan tahun lalu kami berhari raya di rumah keluarga saya di Shah Alam, jadi tahun ini kami terlebih dulu beraya di rumah kami sendiri di Hartamas, kemudian saya akan ke rumah mentua di Pantai Hill Park. Pada hari sama juga kami akan bertolak ke Bentong, menziarah keluarga sebelah bapa mentua dan akan balik ke Shah Alam untuk bersama dengan keluarga saya pula.

“Keesokan harinya iaitu pada hari raya kedua, kami sekeluarga akan bertolak pula ke rumah nenek di Tapah dan berada di sana hingga raya ketiga. Saya tak rasa penat walaupun berada di dua hingga tiga tempat sehari kerana inilah keseronokannya setahun sekali berhari raya,” katanya.

Fara Fauzana – Penyampai Radio Wanita Popular & Pengacara TV Wanita Popular

“SEKALI lagi tahun ini saya perlu bertugas di pagi raya sehinggalah raya ketiga. Selepas habis tugas di konti, saya akan terus pulang ke rumah keluarga di Shah Alam saja. Di situlah adik beradik saya dan ibu akan berkumpul sejak ketiadaan atuk dan nenek. Saudara mara biasanya akan datang ke rumah selepas jam 12 tengah hari kerana mereka sudah tahu jadual kerja saya.

“Selepas itu kami akan memulakan misi kunjung mengunjung ke rumah saudara mara yang lain di sekitar Kuala Lumpur kerana adik beradik ibu dan ayah kebanyakannya berada di sini. Saya hanya akan mula bercuti pada hari raya keempat hinggalah keenam dan setelah itu barulah kami sekeluarga akan berkunjung ke rumah saudara mara di Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya.

Maya Karin – Pelakon Filem Wanita Popular

“AIDILFITRI kali ini saya hanya akan menyambutnya bersama suami dan ibu tercinta saja. Tahun ini kami tidak pulang ke Pulau Pinang sebaliknya akan berada di Kuala Lumpur saja mengunjungi rumah sahabat handai serta memenuhi undangan rumah terbuka,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: