39 Program Baru Astro Sempena Aidilfitri

17 Sep

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

SITI NURHALIZA dan Faizal menghiburkan tetamu.

Detik meraikan kedatangan Syawal bermula Sabtu ini ketika umat Islam sibuk buat persiapan lebaran

SEBANYAK 39 program baru sempena Aidilfitri pelbagai genre bakal disiarkan stesen televisyen berbayar Astro menerusi lima saluran utama iaitu Ria, Oasis, Citra dan Warna bermula Sabtu ini.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah berkata, peningkatan sebanyak 25 peratus program raya setiap tahun berbanding tahun sebelumnya adalah sebagai tanda penghargaan buat pelanggan Astro.

“Setiap tahun kita akan merancang awal untuk menyediakan semua program khas sempena Aidilfitri. Tahun ini kita mula merancang sejak Februari lalu untuk menyediakan 39 program baru termasuk filem baru yang akan disiarkan menerusi Astro.

“Tahun ini juga kita menggabungkan lima saluran utama kita bertujuan membahagi-bahagikan program raya mengikut semua lapisan usia. Usaha ini juga agar dapat memberi ruang kepada penonton memilih mana-mana saluran yang menepati cita rasanya memandangkan setiap saluran berbeza dari segi pengisiannya,” katanya yang ditemui pada majlis Berbuka Puasa bersama Rumah Anak-Anak Yatim dari Rumah Sentuhan Budi, Sentul Kuala Lumpur.

Menurut Zainir, antara program menarik yang akan disajikan sepanjang sembilan hari berturut-turut adalah drama yang dilakonkan pasangan pengantin popular Mawi dan Ekin berjudul Rumah Baru, Bini Baru, Baru Raya yang akan disiarkan pada 21 September ini menerusi Astro Prima jam 12 tengah hari.


MAWI mewakili Astro menyampaikan sumbangan kepada kanak- kanak pada majlis berbuka puasa, baru-baru ini.

“Selain itu, saya memberi jaminan yang penonton tidak akan kering gusi menyaksikan telatah Juara Raja Lawak 3, Sepah bersama tiga anggotanya dalam Lemang Si Bujang Sepang yang akan disiarkan pada 20 September menerusi Astro Prima bermula jam 12 tengah hari,” katanya.

Program dari pelbagai genre seperti telefilem, komedi romantik, muzikal, konsert, majalah, hiburan dan pelbagai lagi bakal menemui penonton bermula malam raya.

“Kami menyusun strategi untuk memastikan kelima-lima saluran ini menayangkan program yang sesuai untuk kumpulan sasaran masing-masing. Buat masa ini, dua saluran utama iaitu Ria dan Prima akan mendahului senarai terbanyak menyajikan program raya. Di Ria kita mempunyai 18 program raya, Prima (12), Oasis (3), Citra (3) dan Warna (3).

“Memandangkan Astro menyiarkan siaran 24 jam, kesemua program raya ini juga akan diulang siar dalam tempoh masa tertentu,” katanya.

Antara segmen Istimewa Tayangan Raya seperti Mega Raya Astro, Lemang Si Bujang Sepah, Habibi Mawi Aidilfitri, Rumah Baru Bini Baru Raya, Lantera Aidilfitri Datuk Siti, Cinta Meriam Buluh, Duyung dan Glamor Raya.

Selain itu, program telefilem yang akan disiarkan seperti Takbirratulihram, Riuh Sebelum Raya, Takbir Terakhir, Mencari Katarsis, Baju Raya Mona, Pelita Terang Tang Tang, Doa Ibu, Pak Ngah 4D, Mawi Oh Mawi dan banyak lagi.

Tiga filem baru bakal menemui penonton melalui Astro Citra iaitu Senario The Movie: Episod 1, Los dan Faun serta Apa Kata Hati.

Majlis berbuka puasa yang dirancang diadakan di atas padang di Rumah Malaysia Taman Bukit Jalil, bagaimanapun terpaksa diubah di atas pondok berhampiran yang mampu memuatkan 150 orang disebabkan cuaca yang tidak mengizinkan.

Biarpun terpaksa berbuka puasa di dalam keadaan yang berasak dan kurang selesa namun tetamu yang hadir turut memperoleh hikmahnya.

“Tidak semua yang dirancang akan menjadi. Begitu juga dengan majlis hari ini kerana kita hanya merancang dan Tuhan yang akan menentukan. Tetamu yang ingin diraikan adalah anak yatim dari Rumah Sentuhan Budi, Sentul dan hujan yang turun ini adalah rahmat untuk menyatukan anak yatim bersama artis Astro.

“Dalam keadaan macam ini dilihat hubungan mereka lebih mesra apabila dapat berbuka puasa sambil bersila bersama beramai-ramai,” kata Zainir.

Antara rakan artis yang hadir bagi memeriahkan majlis itu seperti Datuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Mawi, Ekin, Ain, Faizal Tahir, Akhil Hayy, Farid Kamil, Masha, Fikhree Bakar dan ramai lagi. Anak yatim turut dihiburkan dengan nyanyian Siti, Faizal Tahir, Mawi dan Akhil Hayy.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: