Semangat Sirah Junjungan

15 Sep

Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my

Rap
JARANG sekali kedengaran artis yang memperjuangkan irama pop, rock, balada tampil dengan sebuah album bermesejkan kerohanian. Malah, dengan fenomena berkenaan ramai menganggap lagu bergenre sedemikian hanya sesuai dinyanyikan kumpulan nasyid.

Justeru, buat pertama kali dalam karier penyanyi popular negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 30, tampil memperkenalkan album terbaru berbentuk kerohanian berjudul Tahajjud Cinta.

Berada di pasaran sejak 9 September lalu, Siti yang berpegang kepada prinsip artis sering dijadikan ikon atau idola, berharap album ini akan memberi seribu satu kebaikan buat peminatnya.

Mengambil keberkatan melancarkan Tahajjud Cinta sempena Ramadan, album ini memuatkan empat lagu baru iaitu Asma Ul Husna, Tahajjud Cinta, Ku Percaya Ada Cinta dan Batasku Asaku. Sementara empat lagu lain iaitu Ya Rasulullah pernah didendangkan dalam teater Muzikal Sirah Junjungan, Ketika Cinta, adalah lagu asal penyanyi dakwah Indonesia, Opick yang dirakam semula dengan susunan muzik baru serta menjadi lagu tema filem Indonesia, Perempuan Berkalung Sorban.

Selain itu, lagu Pintu Rindu berasal daripada lagu Arab yang ditukar lirik kepada bahasa Melayu manakala Selawat juga dimuatkan dalam album ini.

Namun, di kala keseronokan terhasil Tahajjud Cinta, kedengaran pula suara sinis mempertikaikan kewajaran Siti tampil dengan album berbentuk kerohanian berdasarkan cara pemakaian tudungnya. Apatah lagi, selepas Siti mengadakan konsert Eksklusif Satu di Istana Budaya Jun lalu, ada segelintir pihak tidak menyenangi penampilannya malah menganggap penyanyi Ku Mahu ini seolah-olah mempersendakan hukum Islam.

Tambah menguatkan lagi persepsi, apabila kulit album kerohanian itu Siti tidak mengenakan tudung litup. Tenang berdepan dengan komen yang dilemparkan, kelihatan Siti bersikap terbuka dan sudah menjangkakan soalan itu akan terus diungkit menerusi penghasilan Tahajjud Cinta.

“Biarlah orang hendak kata mengenai penampilan saya dalam ‘cover’ album Tahajjud Cinta. Lagipun, susah dan senangnya, saya sendiri yang lalui dan lebih tahu berbanding yang lain. Setiap orang mempunyai pandangan tersendiri yang berbeza.

“Bagi saya, pemakaian tudung litup bukanlah disebabkan atas gesaan peminat atau semata-mata ingin menjaga hati sesiapa. Biarlah ia datang secara ‘natural’, lahir dari hati yang tulus ikhlas. Walaupun tidak bertudung litup, tidak semestinya seseorang itu tidak boleh menyanyikan lagu kerohanian,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan pelancaran album Tahajjud Cinta di Teeq Brasserie, Lot 10, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama di majlis itu ialah Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani dan pemilik Suria Records, Tan Su Loke.

Mengambil masa selepas 13 tahun lamanya usia pembabitan dalam bidang seni suara untuk baru tampil dengan album kerohanian, beritahu Siti, semuanya bermula apabila dia terbabit dalam teater Muzikal Islam Sirah Junjungan II arahan Eirma Fatima yang dipentaskan di Istana Budaya Mac lalu.

 

 

“Sebelum ini, pernah terlintas untuk muncul dengan album kerohanian, tetapi tidak kesempatan. Apabila terbabit dengan Sirah Junjungan, saya menjadi lebih bersemangat menyanyikan lagu kerohanian. Cabaran yang agak sukar, ketika menyanyikan lagu Asma Ul Husna kerana perlu menyebut 99 nama Allah dengan tajwid yang betul.

“Tetapi durasinya agak lama iaitu enam minit, jadi sukar untuk diputarkan di stesen radio tempatan melainkan radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim). Disebabkan itu, saya memilih lagu Ku Percaya Ada Cinta sebagai single pertama yang akan diputarkan di radio dalam masa terdekat ini.

“Berkaitan sasaran jualan album, saya juga tidak kisah sekiranya terjual sedikit atau banyak. Yang penting, adalah nawaitu dan saya ikhlas lakukan kerana Allah. Mengenai pasaran ke Indonesia, ada syarikat dari sana, Trinity Optima Production meminta ‘master copy’ album ini. Sekiranya berpeluang, insya-Allah album ini akan dipasarkan di sana,” katanya.

Menurut Siti, menyanyi lagu kerohanian berbanding balada mempunyai kelainan tersendiri merangkumi cara penjiwaan dan penghayatan seseorang penyanyi. Katanya, jiwa perlu tetap kerana ia berunsurkan pujian ke atas kebesaran Allah Taala. Berlainan pula dengan genre balada kerana penyanyi akan ‘feeling’ lebih kerana tumpu kepada manusia.

Bertemu dengan Siti, kiranya tidak lengkap tanpa menjengah persoalan mengenai perceraian rakan baiknya, Krisdayanti dengan Anang Hermansyah baru-baru ini. Apatah lagi, sebelum ini ada berita mengenai kerjasama mereka berdua menghasilkan album duet. Dengan senario berkenaan, adakah ia memungkinkan album duet itu terpaksa ditangguhkan dahulu berdasarkan situasi Krisdayanti ketika ini?

“Album duet itu akan tetap diteruskan dan kami akan mula merakam suara bermula hujung tahun ini. Walaupun saya boleh dikira antara rakan baiknya, tetapi tidak bermaksud boleh mencampuri hal mereka. Saya tidak mahu komen banyak mengenai perkara ini kerana itu antara mereka dan Tuhan saja yang lebih mengetahui berbanding orang luar.

“Sebagai rakan, saya akan sentiasa pastikan bersama dia walaupun ketika ini ramai menghentamnya atas apa yang berlaku. Apabila mengetahui mengenai perkara itu, saya terus menghantar SMS kepadanya untuk mengetahui kesahihan berita.

“Saya juga ada menghantar SMS kepadanya agar banyak bersabar, beristighfar, tabah dan berdoa untuk mendapat kekuatan dalam menghadapi keadaan sukar itu,” katanya.

Siti bersama suaminya Datuk K berada di Tanah Suci mulai hari ini (14 September) hingga 19 September ini untuk mengerjakan umrah. Hari raya pertama, Siti akan menyambut di kampungnya di Kuala Lipis, Pahang.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: