Beraksi Di Pentas Dunia

7 Jun

Oleh ISMA ISMAIL
isma@hmetro.com.my

KENANGAN membuat persembahan di Festival Muzik Musim Bunga Shanghai 2009 baru-baru ini menjadi pengalaman sangat bernilai kepada sekumpulan anak muda yang menggelar diri mereka ‘Floor Fever’ dan memperjuangkan seni tari dinamakan Urban Dance.

Walaupun sudah biasa beraksi di pentas besar, kebanyakannya di dalam negara. Oleh itu, hadir di festival berkenaan memberi kelebihan kerana dapat bertemu ramai kaki seni bertaraf penghibur.

Kesempatan menjejakkan kaki ke festival itu yang berlangsung pada penghujung April lalu, anggota Floor Fever bergabung dengan Kuala Lumpur Drumline Corporation (KLDC) mengadakan persembahan selama tiga hari.

Presiden Floor Fever, Muhammad Nazir Fadzil, 25, atau Boojae, berkata mereka mengadakan persembahan pada majlis pembukaan di Stadium Jiangwan, karnival muzik di Stadium South, Universiti Fudan dan majlis penutup di Stadium Tertutup Zhengda.

 

 

Menurutnya, Floor Fever berangkat ke Shanghai di bawah nama KLDC selepas menerima jemputan untuk mengadakan persembahan sempena karnival selama tiga hari itu.

“Ia karnival bagi persembahan orkestra seperti marching band, kumpulan muzik tradisional yang disertai pemuzik dari beberapa negara termasuk Korea, Sepanyol dan beberapa kumpulan muzik beberapa wilayah di China.

“Kami sempat berkongsi tips untuk persembahan dan mendapat banyak idea untuk diadaptasikan dalam persembahan kami pada masa akan datang,” katanya.

Floor Fever yang diasaskan pada 2000 berpaksikan tarian Urban Dance yang menggabungkan hip-hop, bboying, jazz, moden, kontemporari, muzikal teater dengan sedikit sentuhan gaya street dance.

Selain Boojae, anggota lain kumpulan itu ialah Idzwan Alfie Irfan (Booney), Hazmi Khalib (Flip), Sharil Shamsudin (Boochux), Saiful Nizam (Suicide4), Nadiha Mohammad (Nadiha), Nadiah Farehan (Na), Faizal Rashidi (Dome) dan Dennis Yin (Dennis) yang masih berusia belasan tahun dan awal 20-an.

Sebenarnya, Floor Fever bukan nama asing dalam dunia muzik tempatan dalam negara kerana mereka sering mengiringi persembahan artis ternama tanah air.

Antara artis yang pernah mereka iringi adalah Siti Nurhaliza, Shazzy, Ning Baizura, Nabil (Mentor), Dina (One in Million), Nita (Malaysian Idol), Joe Flizzow, Plowtron, Ruffedge, VE, Hazami, Cheryl Samad, Too Phat, KRU, Ahli Fiqir, Pop Shuvit dan The Fabulous Cats.

Bakat mereka turut ditampilkan melalui persembahan dalam teater muzikal seperti Impak Maksima The Musical, iklan dan klip video.

Namun, kegemilangan yang mereka kecapi kini bukan datang bergolek kerana pernah dianggap sebagai sampah masyarakat apabila menjadikan kaki lima sebagai gelanggang mempamerkan bakat, selain dilemparkan pelbagai tohmahan kerana didakwa terlalu mengikut budaya Barat.

“Semua tuduhan itu tidak melemahkan semangat, malah kami semakin kental untuk membuktikan keupayaan sehingga sampai ke tahap ini,” kata Boojae.

Kini, kegigihan Floor Fever tidak sia-sia apabila bakat mereka diiktiraf. Dari kaki lima dan lorong belakang, kumpulan anak muda ini kini mampu beraksi di pentas dunia.

Lebih membanggakan, Jabatan Belia dan Sukan melalui Rakan Muda ‘mengambil’ Floor Fever dan diberi ruang dan kemudahan secukup untuk anak muda yang berminat berlatih secara lebih sistematik supaya tidak lagi menjadi bahan tohmahan.

Dengan adanya ruang yang disediakan di Kompleks Sukan Rakan Muda Wilayah Persekutuan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, mereka tidak lagi dipandang serong, malah bakat dan kemahiran terbukti berkemampuan diketengahkan.

Studio yang disediakan di kompleks berkenaan juga membuatkan mereka lebih ‘profesional’ untuk mengasah bakat masing-masing untuk merealisasikan bahawa aksi mereka di kaki lima sebelum ini tidak sia-sia dan kini boleh dijadikan kerjaya serta mampu memberi pendapatan.

Boojae berkata, sokongan Jabatan Belia dan Sukan itu sungguh bermakna kerana ia sekali gus membuktikan Foor Fever ‘bersih’ atau tidak terbabit dengan gejala tidak sihat sebagaimana ditohmah segelintir pihak.

“Kami sentiasa mengelak terjebak dengan perkara tidak sihat, malah gerak tari kami juga bukan 100 peratus diceduk dari Barat.

“Pakaian juga kami sesuaikan dengan budaya Timur kerana tidak mahu jati diri sebagai anak Malaysia terhakis walaupun berkecimpung dalam seni budaya yang dibawa dari Barat,” katanya.

Info

ANTARA PERSEMBAHAN
> D’Pentas Concert Karnival Jom Heboh 2005
> Ambang 2006 Dataran Merdeka Kuala Lumpur
> Anugerah Industri Muzik (AIM) 2006
> Ikon Malaysia Astro
> TM Urban Live Sunway Pyramid & One Utama
> Anugerah Bintang Popular 2006
> Anugerah Juara Lagu 2006
> Anugerah Planet Muzik (APM) 2006 di Singapura
> MTV Asia Award
> Krisdayanti Show Jakarta
> Agnes Monica Concert Surabaya
> Hip Hop Underground Gig Taiwan
> Hip Hop Fest Singapore
> Adidas Show Zouk Kuala Lumpur
> Nike Show Bukit Bintang Kuala Lumpur
> Indonesia Tour bersama Joe Flizzow (Jakarta, Bali, Malang, Medan, Surabaya, Bandung, Marang dan Aceh)

PROGRAM TV/ Komersial / Video Klip
> Adam (Joget Lambak)
> Nabil (Hey Emma)
> Phlowtron (Adikku Pandai Menari)
> Nikki (Caramu)
> Ruffedge (Da Bomb dan Lemas)
> Poetic Ammo (Show Me The Money)
> Hotlink Push-To-Talk, Singapura
> X-Pax Celcom
> Adidas

PENCAPAIAN
> National Hip Hop Challenge (Juara)
> Malaysian Breakdance Championship (Ketiga)
> KL International Dance Championship (Kedua)
> Battle Of The Year Malaysia (Ketiga)

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: