Resipi Kekal Bertahan

24 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

BAKAL bersatu dengan diva Indonesia, Kris Dayanti untuk album khas yang menyatukan dua nama terkenal di dua negara.

Datuk Siti Nurhaliza reda dugaan yang mendatang

HARGA sebuah kebebasan yang barangkali dulu berbaki sekelumit cuma namun sesungguhnya Tuhan itu Maha Adil kerana membalas segala nikmat yang tidak dimiliki itu dengan anugerah rezeki yang tidak pernah putus.

Meskipun kini kecintaan itu perlu dibahagikan antara suami serta rumah tangga dan peminat yang menyanjung perjuangannya, nama Datuk Siti Nurhaliza terus utuh – kekal berada pada tangga teratas di hati pemujanya.

Merentas tahun ke-14 sebagai anak seni, bentangkan apa yang tidak pernah dirasai anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini. Dalam suka dan tawa, ada air mata yang tersimpan.

Ketika bibir menguntum senyum, hati yang terluka hiba tiada siapa yang tahu dan laluan 14 tahun itu memperkasakan jiwa Siti Nurhaliza untuk bebas daripada hasad dan iri.

“Untuk bertahan, Siti reda menerima apa saja dugaan yang datang. Cerita baik dan buruk tidak akan pernah berhenti bertandang namun Siti tidak pernah menjadikan semua itu sebagai satu masalah.

“Selagi berada di tempat yang benar mengapa perlu Siti tunduk kepada tekanan. Setiap dugaan menguji kekuatan Siti untuk menangani hidup dengan bijak,” kata penyanyi bersuara lunak itu tatkala disuakan pertanyaan bagaimana dia bertahan untuk terus relevan dalam industri yang kian mencabar.

Dua belas kali menggenggam trofi Penyanyi Wanita Popular termasuk terbaru menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Siti berkata, kejayaan tidak datang bergolek di depan mata.

Pengiktirafan menuntut kerja keras dan menerusi tawaran persembahan, Siti memanfaatkan ruang yang ada untuk memperbaiki kelemahan serta mempertingkatkan kualiti dirinya sebagai penghibur.

“Selebihnya Siti menyerahkan kepada peminat kerana mereka yang menentukan jatuh bangun Siti. Jika masih diterima Siti bersyukur dan andai sebaliknya, mungkin sudah tiba masanya Siti memikirkan haluan baru untuk mencari rezeki,” katanya.

Lebih dua tahun mengulit kebahagiaan bersama usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, tohmahan dan fitnah tidak pernah berhenti menguji kekuatan cinta mereka.

Juga suara sumbang yang sentiasa mempertikai tindak tanduk mereka membuatkan Siti menyerahkan kepada kebijaksanaan suaminya supaya antara mereka tiada hati yang terhiris.

Disebabkan itu kata Siti, dia tidak terkilan apabila suaminya tidak dapat bersama pada persembahan sempena Minggu Setiausaha anjuran Quality Hotel City Centre Kuala Lumpur di Pusat Pameran dan Konvensyen Martarade, Jalan Duta, Kuala Lumpur, 22 April lalu.

“Suami pun ada ketika serba salah namun Siti serahkan kepadanya untuk membuat keputusan. Kebetulan kebanyakan teman baik dia tidak dapat bersama, jadi suami tidak datang walaupun kebanyakan anggota keluarga menyaksikan persembahan ini.

“Suami Siti ialah pengkritik yang jujur tetapi Siti akur dia juga mempunyai sisi lain apabila membabitkan kerjayanya sebagai seorang ahli perniagaan.

“Disebabkan itu, Siti tidak pernah memaksa untuk dia datang menyaksikan semua persembahan yang dijayakan,” katanya mengulas ketiadaan suaminya dalam beberapa persembahan kebelakangan ini.

Pada pertemuan itu, Siti juga mengambil kesempatan untuk menjelaskan pertemuannya dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak dipolitikkan.

Siti berkata, pemergiannya ke negeri itu membawa niat untuk menziarahi tokoh agama yang dihormatinya tanpa ada maksud lain.

“Jangan campur adukkan antara politik dan kerjaya seni kerana dua perkara itu jauh berbeza. Siti ke Kelantan hanya untuk menziarahi Tok Guru kerana menghormati ketokohannya dalam hal agama. Tiada salahnya kerana Siti juga manusia,” katanya.

Puas berdiri sendiri

DUA tahun berehat daripada menjayakan persembahan sempena Minggu Setiausaha, kerinduan untuk beraksi dalam acara besar itu terubat menerusi tawaran yang diberikan Quality Hotel.

Cahaya kepuasan jelas tergaris di wajahnya kerana kata Siti, sudah lama dia tidak menjayakan persembahan panjang seperti itu apatah lagi ia dibuat pada waktu petang.

“Rindu kerana mood nyanyian itu berbeza. Biasanya persembahan berlangsung pada waktu malam tetapi untuk kali ini dari awal pagi Siti perlu membuat persiapan.

“Ada kala takut juga kerana terpaksa menyanyi ketika suara belum begitu ‘panas’. Alhamdulillah, tiada masalah besar dan semuanya berjalan baik tadi,” katanya.

Dengan pengisian santai, tempoh sejam nyanyian mungkin tidak membekas kepuasan sepenuhnya kepada tetamu yang membayar harga lumayan.

Bagaimanapun kata Siti, dia mengadun persembahan yang beragam untuk memudahkannya mengatur perjalanan nyanyiannya.

“Sebahagian besar lagu yang dibawa dipilih berdasarkan perbincangan dengan peminat untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai lagu yang ingin didengar.

“Disebabkan itu Siti membawakan segmen lagu malar segar dan medley dengan pilihan lagu seperti Jikalau Abang Merindu, Asmara dan Kan Ku Jelang.

“Ada di antara lagu itu belum pernah Siti bawakan dalam persembahan sebelum ini dan Siti cuba penuhi kehendak tetamu menerusi pilihan lagu daripada album terdahulu hingga terkini,” katanya yang anggun dalam rekaan Amir Luqman ketika menghiburkan lebih 1000 tetamu pada acara yang berakhir pada jam 4 petang itu.

Ditemani barisan pemuzik yang diketuai Jenny Chin, Siti mengalunkan variasi lagu seperti Pada Cintanya, Ku Mahu, Bukan Cinta Biasa, Ketahuan, Wanita, Cinta Ini, Biarlah Rahsia dan Di Taman Teman selain berduet dengan vokalis Coda, Fahmi menerusi lagu Lucky.

Siti mengakui puas kerana dapat berdiri sendiri serta merencana keseluruhan perjalanan persembahannya kerana sebelum ini kemunculannya dibantu artis komedi popular, Saiful Apek.

Sedikit mengenai perancangan terbarunya, Siti akan tampil dalam sebuah album duet bersama penyanyi Indonesia, Krisdayanti namun enggan mengulas lanjut selagi belum ada perjanjian rasmi mengenainya.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: