Estranged Julang Indie

20 Apr

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

KEJAYAAN lagu Itu Kamu yang diangkat sebagai Lagu Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) dua tahun lalu masih meninggalkan kenangan manis bagi kumpulan Estranged.

Sebelum diumumkan juara AJL22, mereka menang kategori Pop Rock mengalahkan dua pesaing kuat iaitu Datuk Siti Nurhaliza yang mempertaruhkan Destinasi Cinta dan Mawi menerusi Angan Dan Sedar.

Di sebalik kemenangan tercipta, kumpulan ini dikatakan pencetus pada kebangkitan band indie atau bebas yang mula menarik perhatian khalayak. Kemunculan band indie sebenarnya bukan baru dalam persada hiburan tempatan kerana sebelum ini, kumpulan seperti OAG dan Butterfingers sudah bertapak. Namun, dari aspek kemenangan menerusi pertandingan anugerah seperti AJL22, Estranged terlebih dulu membuka dimensi baru pada fokus peminat muzik semasa.

Jika kumpulan legenda rock Search pernah mencetuskan fenomena apabila menang pertandingan sama pada 1989 menerusi Isabella, Estranged juga mampu berbangga dengan pencapaian yang diraih. Bagi empat anggota kumpulan ini iaitu Rich selaku vokalis, Andy (dram), Hanafi (gitar) dan Din (gitar), mereka tidak terlalu mendabik dada dengan status sebagai kumpulan popular.

Kata Andy, segala kejayaan dan pujian yang diterima menjadi galakan pada anggota kumpulan ini untuk berusaha lebih gigih. Sungguhpun kemunculan banyak band indie lain yang mula mencipta nama antaranya Meet Uncle Hussain (MUH), Bunkface dan Hujan, mereka menganggap ia satu perkembangan positif untuk muzik tempatan.

“Sambutan peminat pada kami masih kuat dan kami bersyukur kerana muzik kami masih diminati ramai. Walaupun segelintir peminat menganggap kami popular tetapi kami tidak mahu terlalu bangga dengan apa yang dikecapi. Hingga kini, kami tetap bersemangat untuk menghasilkan lagu baru dan terus mengadakan persembahan untuk peminat yang tidak jemu memberi sokongan.

“Walaupun kami tewas pada kumpulan MUH untuk kategori Duo/Berkumpulan Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2008) yang lalu tetapi kami tidak berasa kecil hati. Kami turut akui MUH adalah kumpulan popular yang mempunyai ramai peminat.

“Soal menang atau kalah, ia adat pertandingan dan kami terima keputusan itu dengan terbuka. Untuk aktiviti baru, kami masih meneruskan promosi album kedua kami, Remain Unknown yang sudah berada di pasaran sejak Oktober tahun lalu.

“Selepas single Yang Pernah dan Aurora, kami bercadang promosikan lagu baru Inggeris, In No Time. Apa yang kami harapkan lagu kami terus diterima positif peminat. Dalam pada itu, kami masih mencari penaja untuk mengadakan promosi secara jelajah.

“Bagi kami, sepatutnya kumpulan indie diberi peluang untuk terbabit dalam promosi jelajah kerana ia dapat memperkenalkan kumpulan berkenaan dengan lebih dekat bersama peminat. Buat masa ini, album kedua kami mendapat sambutan positif. Biarpun jualan album tidak memberangsangkan tetapi untuk pasaran digital seperti nada dering, ia juga memberikan pendapatan yang menguntungkan,” katanya.

 

 

Bagi Rich pula yang pernah popular menerusi program realiti, Akademi Fantasia 4, dia dianggap ‘watak utama’ pada perjalanan kumpulan ini. Malah, jika ketiadaan Rich dalam agenda promosi kumpulan ini, ia dikatakan menjejaskan sambutan peminat.

Berbanding anggota lain, hanya Rich yang sudah berkahwin pada 5 Disember lalu dan komitmennya pada isteri, Velvet Lawrence Aduk secara tidak langsung mempengaruhi fokus kumpulan ini.

Rich berpendapat, ia bukan isu yang merenggangkan hubungan antara anggota kumpulan. Katanya, dia tetap beri sepenuh komitmen pada kumpulan dan bersikap bijak membahagikan masa antara peribadi dan karier seni.

“Komitmen pada karier tidak boleh kurang kerana ia punca pendapatan saya dan anggota kumpulan lain. Sepatutnya, saya perlu kerja lebih gigih untuk menanggung diri dan isteri. Pada saya, bidang hiburan kita masih memerlukan artis tempatan bekerja keras untuk mencipta kejayaan.

“Selalunya apabila tiada persembahan, kami semua memberi fokus pada latihan dan mencipta lagu. Ada ketika, kami duduk berbincang bersama mencari lagu baru yang sesuai untuk album akan datang. Ada juga lagu baru yang dicipta secara individu tetapi kami tetap berbincang bersama apabila berjumpa.

“Dalam soal mencipta lagu, kami memberi kebebasan pada setiap anggota untuk menggunakan imaginasi dan idea mereka sendiri. Bagi kami, mencipta lagu memberi kepuasan pada diri, apatah lagi kami menyanyi lagu sendiri ketika persembahan yang turut memberi kepuasan pada peminat,” katanya.

Kekecewaan di ABPBH2008 hanya sementara, sebaliknya Estranged mampu berbangga apabila mereka mendapat lapan pencalonan untuk Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) pada tahun ini.

Kata Hanafi pula, pencalonan besar ini adalah penghargaan pada perjuangan mereka dalam bidang muzik sejak 2001, khusus pencapaian peribadi album kedua.

Mereka berjaya mencalonkan empat lagu daripada album kedua iaitu Yang Pernah, Aurora, Dances Of The Spirit dan In No Time untuk AIM16 menerusi kategori Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Lagu Rock Terbaik (untuk lagu Aurora dan Yang Pernah), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (untuk lagu Dances Of The Spirit dan In No Time), Album Inggeris Tempatan Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (menerusi lagu Aurora).

“Kami tidak terfikir hasilkan album semata-mata untuk menang anugerah. Bagi kami, kepuasan sendiri dan peminat diutamakan. Malah, kami menceburi bidang muzik kerana minat yang mendalam.

“Berdasarkan pengalaman dalam muzik, kami merasakan tekanan tetap ada untuk kami berikan terbaik. Bukan mudah untuk kami tampilkan lagu baru yang memberi perbezaan daripada lagu sebelumnya. Seperti peminat, kami juga tidak mahu lagu seperti Aurora sama seperti Itu Kamu.

“Dalam berkarya, kami tidak terlalu memikirkan tekanan yang hadir. Ia suatu yang lumrah apabila ada peminat yang suka dan tidak suka dengan sesebuah lagu. Bagaimanapun, kami tetap berikan yang terbaik untuk peminat,” katanya.

Untuk perancangan selepas ini, Estranged mempunyai impian mengadakan persembahan di luar negara.

Kata Andy lagi, mereka pernah terbabit dengan persembahan untuk acara Sound Revaline, Julai tahun lalu. Ketika itu, mereka turut berpeluang berkunjung ke Pekan Baru dan Medan, Indonesia.

“Kami melihat sambutan peminat muzik di sana juga tertarik untuk mengetahui lebih lanjut artis baru seperti kumpulan indie dari Malaysia. Apabila kami berkesempatan berbual ketika itu, mereka sebenarnya menantikan artis kita ke sana kerana sebelum ini, mereka hanya kenal artis seperti kumpulan Search dan Siti Nurhaliza.

“Atas respons itu, kami percaya muzik kita mempunyai peluang untuk ke sana. Selepas ini, kami berharap mendapat peluang lain untuk persembahan di luar negara. Mungkin suatu hari nanti, kami berpeluang membuat persembahan di Eropah seperti London.

“Bagaimanapun, memikirkan keadaan ekonomi yang gawat, agak sukar untuk kami merealisasikan impian ini tetapi tidak salah untuk kami menyimpan impian,” katanya.

PROFIL

RICH
NAMA: Richael Lawrence Gimbang
NAMA KOMERSIAL: Rich
ASAL: Kota Kinabalu, Sabah
UMUR: 27
PENCAPAIAN SENI: Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia 4

ANDY
NAMA: Azwin Andy
NAMA KOMERSIAL: Andy
ASAL: Petaling Jaya, Selangor
UMUR: 26
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, Kolej Universiti Help, Kuala Lumpur

HANAFI
NAMA: Nor Hanafi Noor Hadi
NAMA KOMERSIAL: Hanafi
ASAL: Ampang, Selangor
UMUR: 27
PENDIDIKAN: Tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Susunan Muzik, Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM), Kuala Lumpur

DIN
NAMA: Solihuddin Hormat
NAMA KOMERSIAL: Din
ASAL: Kuala Lumpur
UMUR: 25

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: