'Apek Tetap Idola Saya'

18 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

SELANG sehari selepas meraih trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, bintang yang dicungkil menerusi program Raja Lawak musim kedua, Nabil atau nama sebenar Ahmad Nabil Ahmad, 26, menjadi tetamu dalam program bual bicara TV3, Malaysia Hari Ini (MHI).

Seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi, Nabil juga mempunyai auranya tersendiri. Justeru, tidak hairanlah dia juga sentiasa mencuri perhatian ramai termasuk diserbu 80 peminat kanak-kanak dari Tunas Budaya Sabah dan Pahang yang turut membuat persembahan untuk MHI pagi itu.

Sebenarnya kanak-kanak itu beraksi di pekarangan Sri Pentas, tetapi sebaik mengetahui Nabil diundang secara langsung, mereka menyerbu studio menjadikan suasana hiruk-pikuk dibuatnya.

Bagai dijangka, Nabil memberikan kerjasama yang baik dan melayan semua peminatnya sebaik mungkin terutama kanak-kanak yang mahu bergambar dengannya sebagai kenangan.

Secara peribadi, Nabil berkata, dia sendiri tidak menyangka mengalahkan nama besar seperti Siti Nurhaliza dan Mawi untuk merebut trofi Bintang Paling Popular, ABPBH 2008.

“Saya juga tidak sangka jumlah undi begitu tinggi dan meninggalkan saingan terdekat yang juga nama besar dalam industri hiburan kerana pembabitan saya masih baru dalam bidang seni.

“Malah, saya tidak mensasarkan sebarang anugerah pada malam itu kerana semua saingan hebat. Saya masih baru dan tidak berani membuat sebarang ramalan kerana undi peminat tidak dapat dijangka.

“Kalau orang tanya dari segi aura pula, saya hanya tampilkan diri yang sebenar dan ‘tidak plastik’. Apa yang anda lihat ini adalah diri saya sendiri,” katanya.

Baru setahun jagung bergelar anak seni, Nabil mengakui sudah berhadapan pelbagai ujian. Selepas insiden ‘terpeluk’ teman istimewanya, Irma Hasmie, Nabil juga terbabit dalam kemalangan jalan raya di Simpang Bukit Jelutong, Shah Alam, petang Selasa lalu.

“Saya bersyukur kerana hanya mengalami kecederaan ringan. Cuma, insiden saya ‘terpeluk’ Irma Hasmie itu masih diperkatakan orang. Saya minta maaf kerana terlalu teruja ketika itu. Apapun, saya sudah bersedia untuk berhadapan dengan apa saja cabaran dalam dunia seni.

 

 

“Saya juga menganggap Saiful Apek sebagai sifu kerana dia banyak membantu dalam kerjaya seni. Saya menang bukan bermaksud menewaskan Apek, tetapi ia kemenangan kami berdua. Dia tetap idola saya dalam industri seni dan saya cuma menyambung perjuangannya dalam dunia lawak,” katanya.

Terus terang, kata Nabil, dia sendiri tidak menyangka rezekinya dalam bidang seni semakin mencurah sekarang. Nabil percaya, rezeki akan datang jika betul-betul ikhlas dengan kerja dilakukan.

“Semoga saya tidak akan berubah atau lupa diri dengan tawaran berlakon, mengacara dan jurucakap produk yang mencurah ini kerana ada harga yang perlu dibayar atas semua itu,” katanya.

Nabil berkata demikian ketika ditemu bual pengacara Ahmad Fedtri Yahya berkaitan topik Analisis ABPBH 2008 yang disiarkan secara langsung menerusi MHI di Sri Pentas, baru-baru ini. Turut menjadi tamu undangan itu, Pengarang Hiburan Adam salleh.

Sementara itu, Adam berkata ABPBH boleh diibaratkan medan artis beraksi ala wakil rakyat untuk memancing undi. Justeru, selebriti atau artis popular, perlu bijak menambat hati peminat dan menjaga hubungan baik dengan media untuk terus bertahan.

“Selebriti popular tanah air yang mempunyai pengaruh yang besar dan terus mendapat kepercayaan pihak media dan peminat sampai hari ini ialah Datuk Siti Nurhaliza, Mawi, Aznil Nawawi dan Rabbani.

“Ia terbukti apabila masing-masing terus mempertahankan gelaran pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH 2008) baru-baru ini.

“Jika Siti terus mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular selama 12 tahun berturut-turut, Rabbani (Penyanyi Nasyid Popular lapan tahun berturut-turut) dan tidak ketinggalan, Aznil Nawawi (Pengacara TV Lelaki Popular selama enam tahun berturut-turut),” katanya.

Adam berkata, artis juga perlu mesra media kerana publisiti sangat penting buat mereka. Katanya, ada artis lama bergiat di bidang seni, tapi kurang mesra media dan wartawan tidak dapat menulis perkembangan karier mereka.

“Antara artis yang sangat mesra media ialah Siti Nurhaliza, Rosyam Nor, Rabbani dan Que Haidar. Hubungan artis dan wartawan perlu erat kerana mereka saling bekerjasama.

“Harus diingat di belakang penulisan seseorang wartawan itu, ada jutaan pembaca yang menatap kisah seseorang artis itu. Wartawan cuma perantaraan antara artis dengan peminatnya, ” katanya.

Adam berkata, artis perlu memasang pelbagai strategi untuk memancing undi peminatnya.

“Saya difahamkan ada artis yang dicalonkan pada peringkat awal ABPBH dulu buat majlis tahlil, melawat ke rumah anak yatim dan sebagainya untuk meraih undi peminat.

“Bagi saya, ia strategi mereka untuk mendapat publisiti dan ia sama seperti ahli politik yang bertanding dalam pilihan raya. Cuma ‘tempoh berkempen’ golongan artis lebih lama,” katanya.

Kata Adam lagi, artis perlu menganggap mereka sebagai produk untuk berjaya dalam bidang seni.

“Sebelum kemuncak ABPBH 2008, ramai wartawan membuat ramalan masing-masing. Saya sendiri meramalkan Nabil atau Aznil bakal menang trofi Bintang Paling Popular. Bagaimanapun, pada malam anugerah, saya lihat siapa yang menang lebih daripada satu anugerah, dia dapat membawa pulang trofi itu.

“Saya melihat Nabil sebagai contoh yang baik. Dia menguasai skrin televisyen ketika ini. Filem lakonannya juga berderet menanti masa untuk ditayangkan. Dia juga bijak mempromosi dan meletakkan dirinya pada tempat dan waktu yang sesuai.

“Pada masa sama, Nabil juga bebas daripada kontroversi yang boleh membunuh kariernya. Memasarkan diri dengan tepat dan pada masa sama tidak hanyut dengan populariti yang diraih,” katanya.

Kata Adam, ada artis yang berasa dirinya disanjung begitu tinggi dan ia juga boleh membahayakan mereka.

“Artis perlu ada mentor seperti rakan artis atau wartawan senior berpengalaman yang mampu berkongsi tip penting atau panduan untuk berada lebih lama dalam dunia hiburan supaya langkah tidak sumbang.

“Ramai artis yang datang dan pergi dalam dunia seni, tapi semuanya bergantung kepada cara mereka membawa diri,” katanya.

Mengenai masa depan pelawak pula, Adam berkata, sebelum kemenangan Apek, dia melihat pelawak atau artis komedi diletakkan pada kelas yang tidak begitu berprestij.

“Status atau imej mereka agak terasing berbanding penyanyi dan pelakon. Kemenangan Apek dan Nabil menunjukkan pelawak boleh diterima masyarakat. Ia senario yang baru dan bagus untuk masa depan dunia lawak kerana mereka sudah menaikkan prestij pelawak pada status lebih baik,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: