Esther Bagaikan Besar Kepala?

17 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com,my

KRITIKAN Paul terhadap gaya nyanyian dan susunan muzik lagu Legenda nyanyian Esther menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada penyanyi dari Sabah.

Budaya menjawab pengkritik dalam One In A Million tidak sewajarnya berlaku

NAMPAKNYA budaya suka menjawab atau mencelah ketika pengkritik sedang memberikan komentar semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Walau apa pun alasannya, situasi seperti itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ia dilakukan seseorang yang masih hijau dalam bidang seni.

Kejadian yang berlaku sewaktu konsert kelapan One In A Million Jumaat lalu amat mengecewakan kerana ia menunjukkan seolah-olah peserta terbabit, Esther sudah mula besar kepala dan tidak boleh dikritik. Barangkali kerana dirinya sering menerima pujian pengkritik sebelum ini berbanding peserta lain membuatkan lidah Esther terlancar untuk menjawab balik komen yang dilemparkan. Biarpun apa yang diperkatakannya itu sekadar ingin memperbetulkan kenyataan keras yang dikeluarkan Paul Moss yang menganggapnya gaya nyanyian dan susunan muzik lagu Legenda nyanyian asal Datuk Sheila Majid yang didendangkannya malam itu sebagai tidak sedap, namun sebagai orang baru, perbuatan itu harus dielakkan supaya Esther tidak dianggap biadap.

Jika tidak berpuas hati pun, gadis ini seharusnya menyimpan saja apa yang terbuku di dadanya itu. Adalah tidak manis seorang pelajar menyanggah kenyataan gurunya apatah lagi ia disiarkan secara langsung dan disaksikan ramai penonton.

Namun, memandangkan program OIAM mengamalkan sifat terbuka, maka kedua-dua juri iaitu Paul dan Syafinaz tidak menganggap perbuatan Esther itu salah. Cuma, menurut Syafinaz asalkan perbuatan itu tidak dilakukan dalam cara yang kasar.

“Saya tak menyalahkan Esther dan saya galakkan mereka menjawab kembali komen yang dilemparkan sekiranya ada perkara yang mereka tak puas hati terhadap komen itu. Cuma dalam budaya kita, memang tidak manis apabila kita menyampuk apabila seseorang sedang bercakap,” katanya.


Esther nafi bersikap biadab apabila mencelah sewaktu Paul memberikan kritikan.

Mengulas insiden itu, Paul berkata, hal itu memang sudah dijangka kerana dia yakin satu hari nanti, pasti situasi seperti ini akan berlaku.

“Mungkin sebelum ini dia sering dipuji sehingga Esther merasakan begitu selesa. Tapi saya tahu satu hari nanti dia pasti akan membuat sesuatu yang di luar batas dan malam ini adalah harinya.

“Pada saya persembahannya itu tidak ada yang menarik. Dia tak nampak bersahaja dan susunan muzik dalam lagu Legenda itu terlalu banyak ditokok tambah sehingga menjadikannya tidak enak didengar. Terus terang saya tidak menyukai nyanyiannya itu.

“Bagaimanapun, saya tak ambil hati dengan perbuatan Esther itu kerana untuk berjaya, komunikasi tiga hala antara pengacara, peserta dan pengkritik adalah perlu,” kata Paul yang terkenal dengan kelancangannya itu.

Sementara itu, bagi si empunya diri, apabila dia mencelah dengan menyatakan susunan lagu itu adalah dibuat atas versinya sendiri, tujuan asalnya adalah untuk menjelaskan kekeliruan yang timbul dan bukannya untuk menunjuk pandai atau tidak boleh menerima kritikan seperti yang disangkakan ramai.

“Lagi pun ini bukan kali pertama saya ditegur. Saya bukannya biadap atau besar kepala apabila menyampuk komen yang dilemparkan Paul, cuma saya mahu perjelaskan kepadanya bahawa apa yang saya lakukan itu adalah untuk menguji kredibiliti dan kreativiti saya.

“Bagi saya, tak ada salahnya saya mengubah muzik lagu Legenda itu menjadi sedemikian rupa kerana saya sudah mendapat keizinan Sheila dan saya amat menyukai versi saya ini.

“Malangnya, usaha saya itu disalah anggap Paul dan sebab itulah saya mengambil peluang untuk memperjelaskan situasi sebenar. Mungkin Paul mengharapkan persembahan ‘nakal’ yang saya sering tampilkan sebelum ini,” ujar Esther yang mendapat ilham untuk menyusun muzik lagu itu berdasarkan lagu nyanyian Datuk Siti Nurhaliza.

Tegasnya, sebagai peserta dan masih baru dalam bidang ini, kritikan amat diperlukan supaya menjadi panduan dalam membina kejayaan pada masa akan datang.

“Cuma kalau ada yang saya tak berpuas hati dan merasakan saya berada di pihak yang benar, saya tak kisah meluahkan pendapat. Kalau kita diam, bermakna mereka betul,” ujar Esther mempertahankan pendiriannya.

Aweera nafi bermasalah

KALAU Anith dikatakan peserta bermulut celupar, apa bezanya dengan rocker dalam pembikinan program OIAM iaitu Aweera. Sejak menyertai pertandingan ini, banyak betul cerita kurang enak yang sampai ke telinga mengenai jejaka dari negeri Perlis, Indera Kayangan ini.

Kononnya peserta yang gemar menyanyikan lagu rock ini semakin besar kepala, ponteng kelas, tidak berdisiplin serta tidak boleh menerima teguran. Pendek kata, Aweera boleh dikategorikan sebagai peserta paling bermasalah dalam program realiti terbitan 8TV ini.

Saat diajukan pertanyaan ini kepada si empunya diri, Aweera mengakui dia mengalami kejutan budaya dan semua pengalaman yang dilalui adalah sesuatu yang baru buatnya.

“Saya tahu ramai yang mengatakan saya tidak boleh menerima teguran, tetapi pada saya itu semua tidak benar. Saya banyak belajar daripada teguran yang diberikan. Begitu juga dengan isu kononnya saya tiada peningkatan dan mempunyai masalah untuk memilih lagu kerana terlalu bergantung kepada rock kapak.

“Apa yang boleh saya katakan, semua ini adalah pengalaman baru buat saya. Berilah saya masa untuk memperbaiki keadaan. Biar saya belajar secara perlahan-lahan. Minggu depan saya akan pastikan yang persembahan saya nanti akan ada kejutan dan kelainan,” katanya.

Mengenai isu tidak hadir ke kelas, Aweera berkata dia mempunyai alasan kukuh dalam hal itu.

“Saya memang mudah jatuh sakit. Kalau kena hujan walau sedikit pun, mesti saya demam. Lagi pun saya ada surat pengesahan doktor yang saya memang mempunyai penyakit alahan.

“Di kesempatan ini saya ingin meminta maaf kepada peminat sekiranya mereka tak senang dengan apa yang berlaku. Apa yang penting, semua yang berlaku tidak ada kena- mengena dengan masalah disiplin,’ katanya.

Sementara itu, Simon yang terkeluar malam itu bercadang untuk meneruskan rakaman album pertamanya yang tertangguh.

“Selepas ini saya akan meneruskan proses rakaman album saya yang pertama. Muziknya nanti sama seperti yang saya nyanyikan sepanjang saya berada dalam pertandingan ini. Lebih kepada pop,” ujar Simon sambil mengakui sedih apabila terpaksa berpisah dengan rakan-rakan yang dikenalinya sejak Disember lalu.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: