Epilog: Undi Mawi Merosot Teruk, Empat Artis Menang Tipis

16 Apr

Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

SEJURUS selepas pengacara mengumumkan nama Nabil sebagai pemenang gelaran Bintang Paling Popular 2008, sorakan yang diberikan penonton dalam Arena Of Stars, Genting Highlands, pada malam Ahad lalu, begitu bergempita kerana ramai yang memang mahukan pelawak muda dari Seremban itu menang.

Dan memang pun ramai yang sudah mengagak Nabil mampu merampas gelaran itu daripada Mawi. Biarpun kemunculan Nabil dalam industri hiburan baru saja genap setahun sebulan, tetapi namanya cukup laris dan menjadi rebutan produser dan stesen untuk menjual aksi komedi serta jenakanya sama ada dalam program TV berupa game show, sitkom mahupun untuk muncul dalam filem cereka, selain dalam pertunjukan pentas dan persembahan makan malam agensi kerajaan mahupun korporat.

Dalam keadaan yang ramai menjangkakan Nabil mampu menang itu, ia cukup dirasai apabila Nabil yang sebelumnya pada majlis itu menang kategori Artis Baru Lelaki Popular, sorakan terhadap kemenangannya begitu kuat dalam arena berkenaan, kemudian apabila Nabil selagi lagi menang menerusi Artis Komedi Lelaki Popular, sorakan bertambah riuh. Malah, ketika senarai nama calon finalis diumumkan, sampai saja pada nama dan visual Nabil, penonton memberikan sorakan lebih kuat berbanding calon lain.

Nabil menang anugerah tertinggi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 itu bukan kerana memiliki aura macam Mawi yang pernah menang tiga kali termasuk pada ABPBH musim lalu, juga bukan kerana Nabil mempunyai vokal sedap dan lagu hebat macam Datuk Siti Nurhaliza yang pernah menang lima kali gelaran itu. Kemenangan Nabil kerana bakat lawak jenakanya yang cukup menyerlah dan dia boleh diibaratkan jelmaan Saiful Apek yang pernah muncul sebagai pelawak pertama menang Bintang Paling Popular, iaitu pada ABPBH 2003.

Agak menarik untuk dibincangkan mengenai keputusan pemenang gelaran tertinggi itu kerana maklum balas mendapati ramai suka Nabil menang kerana akhirnya beliau dapat merobohkan tembok kukuh yang selama ini dimonopoli Mawi dan ramai memang mahu melihat siapa artis yang boleh menewaskan Mawi. Akhirnya muncul Nabil, juara Raja Lawak Astro musim kedua. Bakatnya itu menyerlah kerana hasil daripada program realiti TV seperti mana Mawi yang menang Bintang Paling Popular kali pertama pada ABPBH 2005 selepas auranya mencetuskan fenomena dalam Akademi Fantasia musim ketiga (AF3).

Dalam sisi lain sebelum keputusan diumumkan, sebenarnya ramai juga yang was-was sama ada antara Nabil, Mawi dan Siti Nurhaliza masing-masing ada peluang untuk menang Bintang Paling Popular 2008. Sebenarnya juga ramai yang masih berasakan Mawi mampu lagi merangkul gelaran itu musim ini berikutan kisah mengenai peribadinya cukup panas sepanjang tahun lalu apatah lagi menjelang hujung tahun lalu dia mendirikan rumah tangga dan acara pernikahan, persandingan dan resepsi dirayakan secara besar-besaran hingga dibuat siaran langsung menerusi Astro.

Malah, Mawi masih ada aura dan dia juga masih laris dalam persembahan. Namun, Mawi tidak lagi selaris dulu dan auranya memang jelas merosot. Namun, keupayaan Mawi mengekalkan gelaran Penyanyi Lelaki Popular untuk kali keempat berturut-turut adalah satu pencapaian yang cukup baik kerana belum ada dalam rekod ABPBH, ada penyanyi mampu bertahan dengan rekod itu.

Kemerosotan Mawi dari segi populariti mungkin kerana aura pada dirinya kurang lagi menyerlah, Betul kata orang, aura selalunya tak akan bertahan lama. Aura itu ibarat seri sebab seri seseorang itu akan cepat luntur jika tidak dipelihara dan diperbaikid dari semasa ke semasa. Malah ada yang berseloroh, dulu Mawi menang juga disebabkan aura sebagai lelaki bujang tetapi sekarang aura dah tak ada kerana statusnya kini sebagai suami orang!

Dari segi lain, berdasarkan kualiti kerjaya seni, inilah kesan yang berlaku terhadap Mawi kerana aura dimilikinya sejak AF3 tidak mampu bertahan lama dan tidak nampak dia berusaha untuk menjadi penyanyi yang lebih baik, tiada ada lagi lagu baru yang sedap dan menarik perhatian ramai pendengar, mahupun dia mampu membuat transformasi pada persembahan, karisma dan kredibiliti sebagai seorang penghibur. Kemerosotan Mawi sudah dirasakan kerana biarpun memang Bintang Paling Popular pada ABPBH 2006 dan 2007 tetapi undinya semakin merosot.

Diteliti pada jumlah undi yang diterima Mawi pada ABPBH 2008, Mawi kalah kepada Nabil dengan majoriti yang besar. Bayangkan Nabil meraih sebanyak 127,524 undi, manakala Mawi cuma memperoleh 55,080 undi, diikuti tempat ketiga terbanyak ialah Datuk Siti Nurhaliza yang mendapat 29,676 undi. Tempat keempat ialah Aznil Nawawi dengan 18,864 undi dan kelima, kumpulan Meet Uncle Hussain menerusi 11,784 undi. Tempat keenam dan ketujuh masing-masing berpihak pada Rosyam Nor dan Saiful Apek.

Meneliti jumlah undian itu, ia bererti Mawi hilang banyak undi kali ini berbanding pada ABPBH musim lalu, dia meraih lebih 119,000 undi. Namun, bagi kemenangan Penyanyi Lelaki Popular, undi yang diperoleh Mawi begitu selesa biarpun mendapat saingan sengit daripada Aizat.

Jika dianalisis jumlah undian yang diterima bagi semua 16 kategori lain ABPBH 2008, didapati pemenang musim ini seimbang antara muka lama dan muka baru. Namun, berdasarkan pola undian, ada empat kategori yang pemenangnya meraih kejayaan menerusi majoriti tipis iaitu bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular yang disandang Que Haidar setelah mengetepikan Rosyam, begitu juga Pelakon Filem Wanita Popular, Maya Karin, yang bernasib baik kerana undinya meningkat pada minggu terakhir kiraan sekali gus dapat meninggalkan Liyana Jasmay.

Dua lagi artis yang turut menang tipis ialah Norkhiriah menerusi Artis Komedi Wanita Popular selepas berjaya memintas undian Kenchana Dewi, manakala Dynas juga bernasib baik kerana berjaya mendapat lebih undi untuk menang Pelakon TV Wanita Popular dengan mengetepikan saingan terdekatnya, Rita Rudaini. Pemenang kategori lain jelas mendapat undi cukup selesa sejak pengiraan undian di peringkat mula lagi. Syabas buat semua pemenang!

Kata orang, di mana periuk pecah, di situlah tembikar tinggal…

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: