Nabil Menyinar, Siti Bertahan

14 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

BARU setahun jagung dalam industri, tetapi Ahmad Nabil Ahmad, 26, yang dicungkil bakatnya menerusi program Raja Lawak musim kedua mencatat kejayaan besar pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang berlangsung gilang-gemilang di Arena of Stars, Genting Highlands malam kelmarin.

Nabil bukan saja menang Artis Baru Lelaki Popular dan juga Pelakon Komedi Lelaki Popular malah anak muda dari Mambau, Negeri Sembilan ini mengalahkan nama besar dalam industri untuk Bintang Paling Popular sekali gus mengetepikan Raja SMS, Asmawi Ani atau Mawi yang mengunggulinya tiga tahun berturut-turut sejak 2005 dan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Bagi Nabil, anugerah itu cukup bermakna kerana ia pengitirafan paling besar dalam kerjayanya sebagai anak seni. Sepanjang pembabitannya, Nabil membintangi tujuh filem iaitu Sifu dan Tongga, Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Kecoh Betul, Notti, Pisau Cukur, Momok The Movie dan Eee…Hantu.

Selain itu, dia juga menjadi pengacara dalam program Lu Pikirlah Sendiri dan gandingannya dengan Raja Azura dalam Ewah-Ewah.

“Saya sedar kejayaan ini mendadak sekali kerana dalam tempoh setahun saya dapat tiga trofi sekali gus.

Justeru, sama ada saya mampu mempertahankan trofi Bintang Paling Popular ini pada penganjuran akan datang, semuanya saya serahkan 100 peratus kepada peminat.

“Sebagai artis, saya hanya pastikan sentiasa memberikan yang terbaik dalam apa saya lakukan,” katanya.

Katanya, kejayaan itu khusus buat keluarga, teman istimewa, Irma Hasmie dan peminat yang menyokongnya.

“Ia menyuntik semangat kepada saya untuk bekerja lebih keras dalam memantapkan prestasi lakonan dan pengacaraan dari semasa ke semasa.

“Kejayaan itu tidak sekali-kali menjadikan saya lupa diri dengan populariti dikecapinya. Saya masih Nabil yang dulu. Saya juga tidak akan ‘demand’ atau menaikkan harga untuk tawaran mengacara atau berlakon semata-mata sebab sudah menang anugerah.

 

 

“Dalam krisis ekonomi sekarang, sebenarnya, saya masih boleh pertimbangkan dengan bayaran mengacara serendah RM1,000 atau RM2,000 dalam satu persembahan,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Nabil yang mengagumi pelawak ‘stand up comedian’ seperti Harith Iskander dan Afdlin Shauki berkata, dia bercita-cita menempa nama sebagai pelawak di peringkat antarabangsa.

“Jika Datuk Siti berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang nyanyian di Royal Albert Hall, London pada 2005, saya juga bercita-cita mengharumkan nama negara sepertinya tetapi sebagai pelawak. Cuba bayangkan, orang asing yang tidak tahu bahasa dan budaya kita mendengar lawak jenaka saya.

“Selain itu, saya juga ingin mengembangkan cabang lakonan sedia dalam misi menjadi pelakon versatil pada masa depan. Malah, saya bercadang mengikuti kelas bahasa Inggeris untuk meningkatkan tahap penguasaan sedia ada,” katanya.

Jika Nabil menyinar dalam tempoh setahun jagung, Siti yang meraikan ulang tahun ke-14 dalam dunia seni April ini, belum mampu digugat sesiapa untuk Penyanyi Wanita Popular.

Dalam majlis yang disiarkan secara langsung di TV3 jam 9 malam itu, penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang pada 11 Januari 1979 ini mempertahankan gelaran buat kali ke-12 sejak 1996.

Ternyata kontroversi dikaitkan dengan Siti dan status isteri tidak menggugat populariti pasangan kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini sampai sekarang.

Bagi Siti yang anggun dengan busana dari pereka terkenal, Iszal Ismail dan Rizman Ruzaini pada malam itu, dia mampu mempertahankan trofi itu sekian lama kerana kepercayaan peminat.

“Kejayaan ini kerana kerja keras peminat setia yang tidak pernah berbelah bagi menyokong kerjaya seni dari belakang. Sekalipun format pengundian ABPBH sudah berubah tahun ini, nampaknya peminat terutama ahli kelab peminat, CT Zone tetap setia mengundi saban tahun.

“Sebagai penyanyi, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membaiki aspek persembahan dari semasa ke semasa untuk kepuasan diri dan peminat. Pada masa sama, saya pastikan peningkatan dari segi kualiti album yang dihasilkan saban tahun.

“Contohnya, bingkisan album terbaru, Lentera Timur mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sejak menjengah pasaran dan fokus saya untuk mempromosikan album ini dengan lebih giat lagi dengan teknologi terkini sedia ada menerusi syarikat sendiri,” katanya.

Siti juga sebak ketika menerima anugerah pada malam itu mengenangkan arwah bapanya, Tarudin Ismail yang meninggal dunia pada usia 67 tahun pada 15 Februari lalu.

Mengenai kejayaan Nabil yang mengungguli trofi Bintang Paling Popular ABPBH08, Siti berkata, Nabil berhak mendapat anugerah itu kerana kerja kerasnya sejak setahun lalu.

“Nabil banyak berlakon filem dan banyak buat program sejak tahun lalu. Saya juga menonton program lawak yang dikendalikannya dan menyukai lawak jenakanya,” katanya.

Pada malam anugerah itu menyaksikan kejutan bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular kerana menyaksikan kemenangan berpihak pada pelakon Que Haidar apabila menewaskan sifunya dalam bidang lakonan, Rosyam Nor yang mengungguli gelaran itu selama tujuh kali sejak 1997. Mungkin tuah pengantin baru dan bakal bergelar ayah.

Bagi kategori Artis Komedi Wanita Popular, pelakon Norkhiriah berjaya mengambil alih trofi yang dipertahankan pelakon Sheila Rusly sejak 2003, tetapi tahun ini Sheila tidak masuk dalam senarai Top 5 sebaliknya menyaksikan saingan dengan Amyza Adnan, Sheila Mambo, Ruminah Sidek dan Kencaha Dewi.

Bagaimanapun, Norkhiriah yang memikat peminat melalui siri Pepaya, tidak hadir untuk menerima trofi dimenangi begitu juga Dynas yang menang Pelakon TV Wanita Popular untuk dua tahun berturut-turut.

Kategori lain tidak banyak berubah iaitu Mawi mempertahankan trofi Penyanyi Lelaki Popular buat kali keempat sejak 2005, Rosyam (Pelakon TV Lelaki Popular) sejak 2004, Aznil Nawawi (Pengacara TV Lelaki Popular) buat kali keenam sejak 2003 dan Fara Fauzana (Penyampai Radio Wanita Popular), (Pengacara TV Wanita Popular) dan Rabbani (Penyanyi Nasyid Popular) tujuh kali sejak 2001.

Kategori Pelakon Filem Wanita Popular pula menyaksikan kemenangan berpihak kepada Maya Karin yang pernah memenanginya pada 2005 manakala Faizal Ismail dua kali berturut-turut menang Penyampai Radio Lelaki Popular. Kategori lain, Artis Baru Wanita Popular (Stacy) dan Penyanyi Duo/Berkumpulan Popular (Meet Uncle Hussain).

Penyanyi Jamal Abdilah menerima anugerah khas, Anugerah Sepanjang Hayat kerana kecemerlangannya sebagai penyanyi sejak menjuarai Bintang RTM 1979.

Secara keseluruhannya, majlis dikendalikan dua pengacara popular, Sharifah Shahirah dan Adlin Aman Ramlie dengan tema Sentuhan Tenun itu menghiburkan. Antara yang menarik ialah persembahan Siti dengan lagu dari album Lentera Timur, Di Taman Teman.

Kumpulan Kristal berkolaborasi dengan artis Pop Yeh Yeh, Datuk A Rahman Hassan dengan lagu Tak mengapa, L Ramlie (Ayahku Kahwin Lagi) dan Datuk Jeffrydin (Kenanganku).

Selain itu, persembahan segmen khas untuk Jamal melalui Siti Sarah (Kekasih Awal dan Akhir), Diddy (Azura) dan Ayu OIAM (Perjalananku). Sarah dan Ayu juga berduet dengan Jamal menerusi Sandarkan Pada Kenangan (Sarah) dan Kehebatan Cinta (Ayu). Tidak ketinggalan, persembahan penutup Faizal Tahir dengan lagu Bencinta. Persembahan lain, Diva Anita Sarawak dengan lagu Akhirnya Kini Pasti, Stacy (Gagap), Aizat (Hanya Kau Yang Mampu), Farah Asykin (Hello) dan Hujan (Dugaanku).

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: