Baru Atau Lama, Semuanya Bagus

14 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

GAMBAR kiri, Farah Asyikin tampil diiringi penari ketika membawa persembahan Hello. Gambar kanan, aksi Anita Sarawak tetap lincah walaupun pada usia 57 tahun.

Kemunculan mereka pada malam kemuncak ABPBH 2008 buktikan kita belum ketandusan bakat pelapis

SORAKAN gemuruh sebaik penghibur berpengalaman, Anita Sarawak membuka tirai persembahan acara kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 meniup aura positif yang membuktikan persada seni Melayu masih gah biarpun dihimpit pelbagai kemelut yang seakan-akan tiada kesudahan.

Pada usia 57 tahun, tiada apa yang membataskan pergerakan anak kelahiran Singapura untuk terus beraksi lincah dan penuh bertenaga.

Usia bagi Anita cuma sekadar angka. Mengenali Anita, tiada perkara lebih penting selain menyajikan persembahan terbaik untuk dihadiahkan kepada penonton yang selama ini terus setia menyokong perjuangannya.

Apatah lagi diberi penghormatan untuk membuka tirai ABPBH 2008 menerusi lagu popularnya, Akhirnya Kini Pasti, penghibur tersohor itu seakan membawa peminat mengimbas semula era kegemilangannya dengan gerak tari lincah dan mengesankan.

Kelincahan Anita di pentas tidak pernah membuatkan peminat jemu dan biarpun seketika, Anita berjaya memanaskan dewan yang dipenuhi lebih 6,000 peminat industri hiburan tempatan.


Gambar kiri, persembahan Siti Nurhaliza cukup menarik. Gambar kanan, Kristal menyanyikan lagu pop yeh yeh bersama A Rahman Hassan.

Bahang kehangatan yang dicetuskan Anita diteruskan bakat muda yang meraih pengiktirafan Artis Baru Wanita Popular, Stacy menerusi Gagap. Ditemani sekumpulan penari yang kreatif merencana koreografi, Stacy sekali lagi membuktikan kecemerlangannya dengan persembahan hebat tanpa dihalangi cela.

Muncul selepas Anita, keampuhan aksi Stacy tidak goyah sebaliknya menyuntik kekuatan untuk dia membuktikan kelebihan yang ada pada tubuh kecilnya. Anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu ialah antara pelapis industri muzik yang wajar diberi perhatian kerana memiliki kekuatan bakat luar biasa.

Menelusuri senarai persembahan ABPBH 2008 yang berlangsung selama lebih dua jam setengah di Arena Of Stars, Genting Highlands memberikan petunjuk negara tidak pernah ketandusan bakat muda untuk diketengahkan.

Barangkali laluan mereka tidak semudah generasi terdahulu, namun keutuhan semangat mereka untuk membawa industri hiburan ke tahap membanggakan wajar diberi galakan dan pujian.


JAMAL Abdillah sayu mendendangkan lagu Nasib Diriku, bagaikan ada kaitan dengan sejarah hidupnya.

ABPBH 2008 turut memberikan peluang kepada bekas bintang Akademi Fantasia musim kelima, Aizat yang terus cemerlang selepas menghasilkan album pertama. Membawakan lagu yang melonjakkan namanya di pentas hiburan, Hanya Kau Yang Mampu, tiada siapa dapat menafikan akan kepelbagaian bakat yang ada dalam diri anak muda ini.

Beraksi solo cuma ditemani gitar diiringi orkestra di bawah pimpinan pengarah muzik terkenal, Ramli MS namun kesederhanaan itu tidak menghapus karisma dirinya di pentas.

ABPBH 2008 turut mengangkat kembali nama Farah Asyikin yang agak menyepi biarpun lagu nyanyiannya, Hello masih hangat mendapat putaran meluas di corong radio. Barangkali publisiti untuk diri penyanyi muda ini tidak sehangat ketika dia tampil bersama album pertama, sekali gus meletakkan namanya dalam senarai Artis Baru Wanita Popular, ABPBH 2007.

Kesungguhan Farah yang ditemani lapan penari berjaya memberikan sebuah persembahan bertenaga dan tersendiri cuma dia perlu menggali di mana lagi kelebihannya untuk terus menawan hati peminat.

Vokal Jamal cukup dramatik

Cabaran untuk memastikan momentum ABPBH 2008 tidak goyah cukup menguji dan ternyata idea menggandingkan kumpulan rock muda, Kristal dengan tiga penyanyi era 60-an menggamatkan suasana dewan.

Tanpa perlu ucapan atau kata-kata, Arena Of Stars dengan sendirinya bergema dengan rangkaian lagu popular era itu yang turut dialunkan bersama penonton yang membanjiri dewan.

Karisma Kristal di pentas cukup mempesonakan, membuatkan lagu Ayahku Kahwin Lagi, Kenanganku dan Tak Mengapa yang dibawakan bersama penyanyi asal iaitu L Ramlie, Jefrydin dan Datuk A Rahman Hassan menerima ‘standing ovation’.

Ramai memuji usaha menyatukan penyanyi dari era berbeza yang berjaya menyuntik nuansa baru kepada lagu malar segar itu.

Turut memberikan persembahan bertenaga ialah kumpulan Hujan yang membawakan lagu popular mereka, Dugaanku selain penampilan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu irama kreatif, Di Taman Teman.

Nama yang begitu sinonim dengan ABPBH ini hadir dengan vokal memukau, dilengkapi persembahan yang sentiasa membawakan kelainan dan mungkin kerana itu, Siti terus berada di atas tanpa dicabar.

Segmen penghargaan yang diberikan kepada penyanyi bersuara emas, Jamal Abdillah turut membuatkan penyanyi muda, Ayu berdebar.

Bagaimanapun, tanggungjawab itu dilunaskan dengan baik oleh penyanyi kelahiran Sabah yang membawakan secara solo lagu, Perjalananku.

Kembali bersatu dengan Jamal untuk Kehebatan Cinta, Ayu dilihat seolah-olah belum untuk mampu berdiri setanding tanpa dibayangi akan kehebatan vokal penyanyi lelaki berpengalaman itu.

Segmen itu juga dijayakan Diddy dan Siti Sarah Raissuddin. Persembahan Jamal beraksi solo membawakan Nasib Diriku memang cukup dramatik. Bagaikan ada kaitan dengan sejarah hidupnya, lagu Nasib Diriku jelas membuktikan kehebatan vokal Jamal yang garau dan padu.

Tirai ABPBH 2008 ditinggalkan penuh kenangan menerusi lagu terbaru, Faizal Tahirl, Bencinta sebelum tetamu pulang membawa bersama momen manis untuk disemat dalam ingatan sepanjang musim 2008.

Sekalung penghargaan juga diberikan kepada pengacara, Sharifah Shahira dan Adlin Aman Ramli yang membantu melicinkan perjalanan ABPBH 2008 dengan jenaka spontan mereka.

Istimewa kepada peminat yang memenuhi Arena Of Stars, kemunculan juara Bintang Idola Berita Harian (BIBH), Nazatul Farahin Mohd Hussin membawa lagu Anggapanmu berjaya memukau hadirin dengan kelantangan vokal yang dikawal baik.

Siapa tahu menerusi platform ABPBH 2008, gadis dari Sungai Petani, Kedah ini akan muncul mewarnai persada hiburan dan mencipta pengaruhnya tersendiri. Hanya masa menentukannya.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: