ABPBH Catat 4.22 Juta Penonton

14 Apr

KUALA LUMPUR: Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang berlangsung kelmarin di Arena Of Stars, Genting Highlands terus mengekalkan status program hiburan popular apabila berjaya mencatat 4.22 juta penonton untuk program yang bersiaran selama dua jam setengah itu.

Angka yang dikeluarkan AGB Nielsen Media Research itu mewakili 66.2 peratus daripada keseluruhan penonton siaran televisyen yang ke udara ketika itu.

Kejayaan itu sekali gus menjadikan ABPBH yang kini memasuki edisi ke-22 penganjurannya menjadi antara program hiburan yang mencatatkan kadar penonton tertinggi untuk setengah tahun pertama 2009.

Mengulas pencapaian itu, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun, berkata kejayaan itu hasil kreativiti dan kredibiliti dimiliki program dari segi penganjuran dan pengisiannya.

“Saban tahun kami menyajikan kelainan dalam acara ini dan penonton sudah maklum perkara itu. Justeru, tidak hairanlah jika mereka terus setia menyaksikan program ini. Kejayaan ini juga adalah satu cabaran buat kami supaya terus menampilkan yang terbaik untuk acara akan datang.

“Lebih membanggakan, selain mengekalkan jumlah penonton yang tinggi ABPBH juga mendahului acara anugerah lain yang pernah disiarkan secara langsung sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin berkata kejayaan itu takkan dicapai andai tiada kerjasama kedua-dua belah pihak iaitu produksi TV3 serta akhbar Berita Harian.

“Saya teruja dan bangga dengan hasil kerja produksi TV3 dan Berita Harian. Saya difahamkan perancangan untuk penganjuran ABPBH 2008 ini mengambil masa selama lapan bulan. Ternyata, penat lelah mereka yang terbabit membuahkan hasil, tahniah kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

ABPBH 2008 menyaksikan sebanyak 16 kategori dipertandingkan. Kejutan turut berlaku apabila juara program realiti Raja Lawak, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil berjaya merampas gelaran Bintang Paling Popular dari tangan penyandang untuk tiga tahun berturut-turut iaitu Mawi.

Berikutan kemenangan itu, Nabil membawa pulang hadiah utama kereta Nissan Sylphy 2.0L berharga RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, barang kemas Rafflesia bernilai RM150,000 tajaan Rafflesia The Pearl Centre serta pakej penginapan bernilai RM8,000 tajaan Palace of the Golden Horses, perabot tajaan Empire Classic Furniture selain trofi.

Selain anugerah utama, Nabil turut dipilih memenangi kategori Artis Baru Popular dan Pelakon Komedi Lelaki Popular. Turut berjaya membawa pulang trofi pada malam itu ialah Datuk Siti Nurhaliza bagi kategori Penyanyi Wanita Popular, Rosyam Nor (Pelakon TV Lelaki Popular).

Dynas sekali lagi mempertahankan anugerah kategori Pelakon TV Wanita Popular. Faizal Ismail dan Fara Fauzana daripada radio Hot FM pula mengungguli gelaran Penyampai Radio Lelaki dan Wanita Popular.

Maya Karin pula merampas gelaran Pelakon Filem Wanita Popular daripada Fasha Sandha. Que Haidar pula menang buat pertama kali kategori Pelakon Filem Lelaki Popular. Aznil Nawawi juga terus mengekalkan gelaran Pengacara TV Lelaki Popular, Rabbani (Penyanyi Nasyid Popular) dan Meet Uncle Hussain untuk Artis Berkumpulan/ Duo Popular.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: