Nabil Ketepi Mentor

13 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmatro.com.my

SEDONDON...Nabil bersama teman wanitanya, Irma Hasmie.
SEDONDON…Nabil bersama teman wanitanya, Irma Hasmie.

GENTING HIGHLANDS: Juara Raja Lawak musim Ke-2, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil, 26, menerima pengiktirafan tertinggi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) apabila dinobatkan Bintang Paling Popular.

Anugerah itu secara rasminya menjadi milik Nabil sebaik namanya diumumkan penerima gelaran berkenaan, malam tadi, menerusi acara gilang-gemilang di Arena Of Stars, Genting Highlands.

Kejayaan pertama dilakar Nabil itu sekali gus mengenepikan Raja SMS, Mawi, yang mengungguli gelaran itu selama tiga tahun berturut-turut.

Nabil membawa pulang pelbagai hadiah lumayan termasuk kereta Nissan Sylphy 2.0L berharga RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.

 

 

Keputusan itu bukan sesuatu mengejutkan jika menyingkap sejarah pembabitannya dalam arena seni sejak bergelar Raja Lawak tahun lalu apabila terus laris dan menjadi rebutan produser filem serta stesen televisyen bagi mengendalikan program popular seperti Melodi dan Ewah-Ewah.

Malah, dalam tempoh setahun berkecimpung sebagai anak seni, pemuda ini sudah membintangi tujuh filem, Sifu dan Tongga, Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Kecoh Betul, Notti, Pisau Cukur, Momok The Movie dan Eee…hantu.

“Kemenangan ini tidak dijangkakan kerana saya masih baru dalam industri hiburan tanah air. Pembabitan saya baru mencecah satu tahun satu bulan…ini rezeki daripada Allah dan ia tidak mungkin saya peroleh tanpa usaha serta sokongan peminat dan keluarga.

“Mengenepikan mentor saya, Saiful Apek bukan bererti dia tewas sebaliknya saya sebagai penyambung kepada perjuangannya selama ini,” katanya.

Penyerahan anugerah tertinggi ABPBH2008 itu disempurnakan Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun sambil disaksikan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdaus Bujang.

Anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan ini juga berhadapan laluan mudah untuk mengetepikan artis kelahiran Akademi Fantasi (AF) seperti Nubhan dan Riz, serta Aiman dan Fizo dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular.

Selain itu, dia membolot anugerah Artis Komedi Popular yang membariskan nama besar dan jauh berpengalaman seperti AC Mizal, Afdlin Shauki, Saiful Apek dan Zizan Raja Lawak.

Penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza terus gah sebagai Penyanyi Wanita Popular yang dipegangnya selama 12 tahun berturut-turut tanpa sedikitpun goyah kepada pencabarnya Jaclyn Victor, Mila, Elyana dan Stacy.

Ini terbukti biduanita negara cukup dihormati itu tiada galang gantinya meskipun kini memegang status isteri serta dihambat pelbagai kontroversi berhubung kisah rumah tangganya.

“Kemenangan ini saya tujukan kepada peminat yang bertungkus-lumus mengundi saya sepanjang pembabitan dalam ABPBH. Saya terkilan kerana tidak dapat meraikan kemenangan ini dengan arwah abah, (Taruddin Ismail). Biasanya, jika abah tidak dapat datang dia akan menghubungi saya untuk mengucapkan tahniah,” katanya sebak.

Meskipun gagal meraih anugerah tertinggi, sekali gus mengekalkan gelaran sebagai Bintang Paling Popular, Mawi mempertahankan kedudukannya sebagai Penyanyi Lelaki Popular dengan menundukkan calon lain, Amy Search, Adam, Nubhan dan Aizat.

Bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular menyaksikan keputusan mengejutkan apabila Que Haidar yang bersaing dengan Rosyam Nor, Farid Kamil dan Rusdi Ramli mendominasi kategori itu.

Pelakon, Maya Karin kembali merampas anugerah Pelakon Filem Wanita Popular yang pernah dimenanginya pada 2005 sekali gus mengenepikan calon hebat seperti Erra Fazira, Vanidah Imran serta dua bintang muda, Liyana Jasmay dan Sharifah Amani.

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan, namun tidak dapat dinafikan Pelakon TV Lelaki dan Wanita Popular antara kategori yang menjadi perhatian ramai kerana menyaksikan kebangkitan pendatang baru.

Bagaimanapun, pemenang tahun lalu, Rosyam Nor yang juga satu-satunya pelakon senior terus mempertahankan kedudukannya bagi ketogeri lelaki menundukkan Aaron Aziz, Fahrin Ahmad, Ashraf Muslim dan Aqasha.

Bagi kategori wanita pula menyaksikan penguasaan yang lebih kurang sama apabila Dynas yang memenangi anugerah itu tahun lalu sekali lagi muncul sebagai pemenang.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: