Nabil Bintang Paling Popular

12 Apr

GENTING HIGHLANDS: Bakat baru, Ahmad Nabil Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Nabil, dipilih sebagai Bintang Paling Popular pada majlis kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, yang berlangsung di sini, malam tadi.

Nabil, 26, yang meraih 127,524 undi, meraih gelaran itu selepas mengetepikan saingan empat artis lain yang mendapat undi tinggi iaitu Mawi yang menerima 55,080 undi, Datuk Siti Nurhaliza (29,676), Aznil Nawawi (18,864) dan kumpulan Meet Uncle Hussain (11,784).

Nabil memenangi hadiah utama kereta Nissan Sylphy 2.0L berharga RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, barang kemas Rafflesia bernilai RM150,000 tajaan Rafflesia The Pearl Centre serta pakej penginapan bernilai RM8,000 tajaan Palace of the Golden Horses, selain trofi.

Beliau yang baru setahun bergiat aktif dalam industri hiburan tempatan selepas muncul juara Raja Lawak Astro musim kedua tahun lalu turut meraih kemenangan dalam dua kategori lain iaitu Artis Komedi Lelaki Popular dan Artis Baru Lelaki Popular.

Trofi Bintang Paling Popular 2008 disampaikan Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun, pada majlis kemuncak ABPBH 2008 di Arena of Stars, di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail.

Majlis gilang gemilang itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio Hot FM. Lebih 5,000 penonton hadir mengikuti acara berkenaan bertemakan ‘Sentuhan Tenun’ yang berlangsung selama lebih dua setengah jam.

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah sebagai mengiktiraf sumbangan dan jasanya dalam bidang seni suara dan perfileman tanah air selama 30 tahun.

Sementara itu, Mawi yang sebelum ini pernah merangkul gelaran Bintang Paling Popular selama tiga tahun berturut-turut termasuk pada ABPBH musim lalu, mempertahankan gelaran Penyanyi Lelaki Popular.

Mawi mengekalkan kemenangan empat tahun berturut-turut dalam kategori itu dengan menewaskan saingan terdekatnya, Aizat, selain Nubhan, Amy Search dan Adam.

Siti Nurhaliza terus mengekalkan reputasinya sebagai Penyanyi Wanita Popular apabila berjaya memenangi gelaran kategori itu untuk kali ke-12 selepas mengetepikan Stacy, Mila, Elyana dan Jaclyn Victor.

Aktor Que Haidar buat pertama kalinya memenangi gelaran Pelakon Filem Lelaki Popular dengan menewaskan Rusdi Ramli, Rosyam Nor, Saiful Apek dan Farid Kamil, manakala Maya Karin merampas semula gelaran Pelakon Filem Wanita Popular sesudah musim lalu gelaran itu diraih Fasha Sandha.

Rosyam mempertahankan gelaran Pelakon TV Lelaki Popular, iaitu kali kelapan dimenanginya sejak ABPBH 2001, sementara Dynas mengekalkan kemenangannya dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular.

Kumpulan Meet Uncle Hussain dan kumpulan nasyid Rabbani masing-masing memenangi kategori Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular dan Artis Nasyid Popular, manakala juara Akademi Fantasia 6, Stacy menang gelaran Artis Baru Wanita Popular.

Pelakon drama, Norkhiriah membuat kejutan apabila kali pertama namanya dicalonkan pada ABPBH berjaya membawanya meraih hadiah Artis Komedi Wanita Popular.

Kategori Penyampai Radio Lelaki Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular, masing-masing dimenangi Faizal Ismail dan Fara Fauzana, kedua-duanya mewakili Hot FM. Fara turut berjaya mengekalkan kemenangannya sebagai Pengacara TV Wanita Popular.

Aznil turut berjaya mengekalkan gelaran Pengacara TV Lelaki Popular buat kali ketujuh.

ABPBH 2008 ialah edisi ke-22 penganjurannya oleh Berita Harian, iaitu acara yang menggabungkan pengiktirafan berdasarkan undian peminat untuk artis di negara ini dalam bidang perfileman, muzik dan penyiaran.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: