Nabil Mampu Gugat Mawi, Siti?

11 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
SIAPAKAH yang bakal mengungguli trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 bagi edisi ke-22 malam esok? Semua persoalan itu bakal terjawab pada malam kemuncak majlis gilang-gemilang ABPBH08 yang akan disiarkan secara langsung dari Arena of Stars, Genting Highlands di TV3, jam 9 malam.

Senarai penuh pencalonan akhir ABPBH08 juga menyaksikan bintang realiti TV dan band indie tempatan antara 28 muka baru yang mendominasi beberapa kategori tertentu daripada seramai 80 penyanyi, pelakon dan personaliti disenaraikan sekali gus bersaing dengan nama popular.

Kategori paling mencuri tumpuan sudah pasti gelaran Bintang Paling Popular yang bakal membawa pulang pelbagai hadiah lumayan termasuk kereta Nissan Sylphy 2.0L berharga RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.

Ramai menjangkakan malam kemuncak acara berprestij ini bakal menyaksikan kejutan kerana ada nama baru yang akan menang beberapa kategori utama dari 16 kategori dipertandingkan.

Calon kegemaran yang disebut-sebut memberi saingan sengit kepada Raja SMS, Asmawi Ani atau Mawi dan Datuk Siti Nurhaliza untuk membawa pulang trofi Bintang Paling Popular ialah bintang yang digilap daripada program realiti Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad, 26 atau nama komersialnya, Nabil Raja Lawak.

Nama dan populariti Nabil meningkat dengan mendadak dalam tempoh setahun berkecimpung sebagai anak seni. Setakat ini tujuh filem dilakonkan iaitu Sifu dan Tongga, Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Kecoh Betul, Notti, Pisau Cukur, Momok The Movie dan Eee…hantu.

Selain berlakon filem, Nabil yang hangat bercinta dengan pelakon Irma Hasmie ini juga melebarkan sayapnya sebagai pengacara dan terbaru gandingannya dengan Raja Azura dalam Ewah-Ewah.

Difahamkan, undian awal ABPBH08 membuktikan, Nabil menerima jumlah undian melebihi jumlah undi diterima Mawi bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular. Jika jangkaan itu tepat, gelaran yang dipertahankan Mawi sejak tiga tahun lalu akan beralih kepada Nabil, sekali gus melakar sejarah baru dalam anugerah berpestij ini.

Kejayaan ini sekali gus menjadikan Nabil artis komedi kedua berjaya selepas Saiful Apek bergelar Bintang Paling Popular.

Anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan ini juga berhadapan laluan mudah untuk mengetepikan artis kelahiran AF seperti Nubhan dan Riz. Begitu juga dua lagi calon, Aiman dan Fizo dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular.

 

 

Kemungkinan besar, Nabil juga bakal mengetepikan nama besar seperti AC Mizal, Afdlin Shauki, Saiful Apek dan Zizan Raja Lawak untuk Artis Komedi Popular.

Betapa hebat pun pengaruh besar Nabil dalam industri seni tanah air, dia lebih suka merendah diri dalam segala hal menyedari baru setahun jagung bergelar anak seni. Malah kata Nabil, dia juga tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang.

“Saya tidak terfikir pun untuk menjadi finalis pada acara berprestij itu. Sebenarnya, saya cuma jangka untuk tampil menjadi penyampai anugerah, tetapi sebaliknya nama saya dicalonkan dalam dua kategori sekali gus.

“Tapi jika menang nanti, saya tetap bersyukur dan menganggap ia bonus sekali gus menyuntik semangat untuk bekerja lebih keras lagi,” katanya.

Antara artis muda yang menyerlah dan memberi saingan sengit bagi kategori Artis Baru Wanita Popular

ialah bintang yang digilap dari AF, Stacy. Dia juga bersaing dengan empat lagi calon iaitu Ayu (OIAM), Lisa Surihani, Sari Yanti dan Scha.

Namun, dia berhadapan cabaran sengit kategori Penyanyi Wanita Popular kerana berhadapan dengan Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Mila dan Elyana. Bagi Stacy, sekadar dicalonkan dalam senarai Top 5 dalam ABPBH 2008, sudah cukup bermakna buatnya.

“Saya tidak mengharap kemenangan untuk Penyanyi Wanita Popular kerana semua sedia maklum, Siti sukar digugat artis lain.

“Saya juga bersaing dengan ramai bakat baru yang tidak kurang hebatnya untuk Artis Baru Wanita Popular. Kalau menang, ia rezeki tapi kalau kalah, saya akan bekerja lebih keras lagi untuk pencalonan tahun depan,” katanya.

Seorang lagi calon yang tidak boleh dipandang ringan untuk Artis Baru Wanita Popular ialah pelakon yang popular menerusi drama Kaisara, Sari Yanti.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang kerana saingan kategori ini hebat belaka,” katanya.

Kategori penyanyi Duo/Berkumpulan Popular menyaksikan penguasaan band indie tempatan seperti Estranged, Hujan dan Meet Uncle Hussain. Ketiga-tiga band ini mempunyai kekuatan dan pengikut tersendiri.

Kemunculan pelakon kacak kelahiran Singapura, Aaron Aziz untuk Pelakon TV Lelaki Popular juga tidak boleh diperlekehkan. Aaron berhadapan calon berpengalaman Rosyam Nor dan pelakon popular lain, Que Haidar, Aqasha, Ashraf Muslim dan Fahrin Ahmad.

Ashraf yang popular dalam Puaka Ning Rapik dan drama bersiri Yusuff juga tidak boleh dipandang ringan dan mampu menggugat Rosyam yang menggungguli kategori ini sejak 2004. Manakala untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Rosyam mengungguli kategori itu selama tujuh kali sejak 1997.

Sementara itu Siti yang kini mempertaruhkan bingkisan album terbarunya Lantera Timur, dijangka terus mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular yang sudah sedekad dalam gengamannya.

Apapun kontroversi yang pernah dikaitkan dengan Siti ternyata tidak menggugat populariti isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini sekali gus mengetepikan dengan mudah semua calon lain.

Kategori Pelakon Filem Wanita Popular pula menyaksikan persaingan tiga nama besar dalam industri lakonan, Erra Fazira, Vanidah Imran dan Maya Karin berbanding dua calon baru, Liyana Jasmay dan Sharifah Amani.

Laluan artis kontroversi, Fasha Sandha untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular nampaknya tidak mudah kerana kemunculan artis yang lebih segar dan laris ketika ini seperti Diana Danielle.

Manakala kehadiran Saiful Apek sekali lagi dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dikatakan boleh menggugat peluang Rosyam Nor untuk mengungguli kategori berkenaan ini.

Untuk Artis Komedi Wanita Popular, kehadiran muka baru, Amyza Aznan, Norkhiriah, Ruminah Sidek dan Sheila Mambo sukar menggugat penguasaan Sheila Rusly yang mengunggulinya sejak 2003. Hanya Kenchana Dewi dicalonkan kali kedua.

Rasanya sukar bagi peminat mengundi pemenang baru kerana memikirkan hadiah lumayan menanti mereka sebaliknya lebih selamat memilih pemenang tahun lalu. Saban tahun ABPBH menyaksikan keputusan sama mungkin kerana sikap berhati-hati pembaca.

Aznil Nawawi juga mengungguli kategori Pengacara TV Lelaki Popular sebanyak lima kali. Tahun ini Aznil bersaing dengan senarai tradisi, AC Mizal, Faizal Ismail dan Ally Iskandar. Aznil juga dicalonkan untuk Penyampai Radio Lelaki Popular.

Fara Fauzana pula dijangka berhadapan laluan mudah untuk mengungguli Pengacara TV Wanita Popular dan bakal mengulangi kejayaan tahun lalu untuk Penyampai Radio Wanita Popular yang dirampasnya dari Linda Onn yang mengungguli kategori itu enam tahun berturut-turut sejak 2001.

Kategori Penyanyi/Artis Nasyid Popular pula menyaksikan nama besar dalam industri nasyid, Rabbani, Hijjaz dan Raihan berhadapan saingan muka baru, Akhil Hayy dan Aiman.

SENARAI FINALIS ABPBH08

1. Pengacara TV Lelaki Popular
* AC Mizal
* Ally Iskandar
* Aznil Hj Nawawi
* Faizal Ismail
* Faizal Tahir

2. Pengacara TV Wanita Popular
* Abby Fana
* Cheryl Samad
* Fara Fauzana
* Juliana Evans
* Nurul Alis

3. Pengacara Radio Lelaki Popular
* AG
* Aznil Hj Nawawi
* Faizal Ismail
* Khairil Rashid
* Kieran

4. Penyampai Radio Wanita Popular
* Abby Fana
* Fara Fauzana
* Leya
* Linda Onn
* Nana

5. Artis Komedi Lelaki Popular
* AC Mizal
* Afdlin Shauki
* Nabil
* Zizan
* Saiful Apek

6. Artis Komedi Wanita Popular
* Amyza Aznan
* Kenchana Dewi
* Noorkhiriah
* Ruminah Sidek
* Sheila Mambo

7. Artis Baru Lelaki Popular
* Aiman
* Fizo
* Nabil
* Nubhan
* Riz Artis

8. Baru Wanita Popular
* Ayu OIAM
* Lisa Surihani
* Sari Yanti
* Scha
* Stacy

9. Penyanyi/Artis Nasyid Popular
* Akhil Hayy
* Aiman
* Hijjaz
* Raihan
* Rabbani

10. Penyanyi Berkumpulan/ Duo Popular
* Estranged
* Fabulous Cats
* Hujan
* Meet Uncle Hussain
* M Nasir & Malique

11. Penyanyi Lelaki Popular
* Adam
* Aizat
* Amy Search
* Mawi
* Nubhan

12. Penyanyi Wanita Popular
* Elyana
* Jaclyn Victor
* Mila
* Siti Nurhaliza
* Stacy

13. Pelakon Filem Lelaki Popular
* Farid Kamil
* Que Haidar
* Rosyam Nor
* Rusdi Ramli
* Saiful Apek

14. Pelakon Filem Wanita Popular
* Erra Fazira
* Liyana Jasmay
* Maya Karin
* Sharifah Amani
* Vanidah Imran

15. Pelakon TV Lelaki Popular
* Aaron Aziz
* Aqasha
* Ashraf Muslim
* Fahrin Ahmad
* Rosyam Nor

16. Pelakon TV Wanita Popular
* Abby Abadi
* Diana Danielle
* Dynas
* Fasha Sandha
* Rita Rudaini

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: