Calon Bintang Popular?

10 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff & Serimah Mohd Sallehuddin
bhnews@bharian.com.my

SITI dan Saerah akan menggayakan busana Rizman dan Ruzaini pada malam kemuncak ABPBH 2008.

Lebih sedekad di persada seni, masih ramai peminat sayangkan Siti

UNTUK mengekalkan kedudukan sebagai penyanyi wanita disukai ramai bukanlah mudah. Paling tidak, setiap kali album dikeluarkan, perlu ada lagu yang benar-benar memikat hati peminat atau pendengar.

Tidak cukup dengan itu, imej dan pekerti yang baik harus juga dipertahankan. Selebihnya, mungkin faktor nasib memainkan peranan. Sekurang-kurangnya itulah kata kebanyakan artis yang sudah lama memakan garam.

Bagaimanapun wanita jelita dari Kuala Lipis ini sudah membuktikan, dia mampu melakukannya selama lebih sedekad iaitu sejak 1996. Malah sejak tahun itu sehingga hari ini, belum ada penyanyi wanita yang mampu menggugat kedudukan istimewanya dalam dunia seni. Ramai juga penyanyi wanita lain yang dikatakan bakal menjadi pengganti, tetapi wanita bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ini kekal berkuasa di persada seni.

Bukan di kalangan penyanyi wanita saja namanya dijulang, bahkan penyanyi ini pernah menguasai kedua-dua dunia lelaki dan wanita buat beberapa lama sehingga kehadiran bintang Akademi Fantasia, Mawi. Sejak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1996 sehingga ABPBH 2001, Siti menjulang trofi Bintang Popular sebanyak lima kali. Dia sekali lagi merampas kedudukan itu daripada Rosyam Nor (ABPBH 2002) dan Saiful Apek (ABPBH 2003) pada ABPBH 2004.

Tentunya pencapaian yang bukan kecil untuk seseorang artis mengungguli takhta Bintang Paling Popular sebanyak enam kali. Sehingga kini, dalam sejarah 21 kali penganjuran ABPBH, hanya wanita bersuara lunak ini yang berupaya melakukannya.


SITI akan membuat persembahan, manakala Saerah akan menyampaikan trofi.

Bukan sekadar itu saja, kerana beliau turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjulang trofi Penyanyi Wanita Paling Popular selama 11 tahun berturut-turut. Sejak ABPBH 1996, dia belum pernah melepaskan trofi itu ke tangan penyanyi wanita lain. Bukan kehendaknya, namun peminat bagai sukar sekali hendak menidakkan kemampuan Siti menguasai undian yang diberi.

Tahun ini, mampukah penyanyi yang baru saja muncul dengan album Lentera Timur itu mengekalkan anugerah yang sama apabila pencabar baru seperti Stacy, Mila dan Elyana turut bersaing?

Usah dilupa pada Jaclyn Victor yang pernah menewaskan Siti pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-14 dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik. Tentunya persaingan yang dikira sengit, menyaksikan peminat penyanyi baru dan lama ini cuba menentukan siapakah antara mereka lebih masyhur di persada muzik negara.

Siti sendiri, seperti tahun-tahun sebelumnya, tidak pernah meletakkan harapan yang menggunung setiap kali namanya dicalonkan ke peringkat akhir anugerah itu, yang menyerahkan kuasa ke tangan peminat sepenuhnya.

“Setiap kali Siti dicalonkan sehingga ke peringkat Top 5, setiap kali itulah Siti melihatnya sebagai tanda kepercayaan diberikan peminat kepada Siti. Siti sendiri tidak boleh hanya duduk berdiam diri apabila peminat meletakkan harapan di bahu Siti. Maknanya, Siti perlu bekerja keras untuk memastikan karier Siti sentiasa mahu ke hadapan dan peminat sendiri mendapat kepuasan daripada hasil kerja Siti lakukan.

“Menerusi ABPBH, peminat diberi peluang sepenuhnya untuk memilih artis popular kesukaan mereka. Begitupun, peminat hari ini amat bijak kerana mereka tidak memilih begitu saja.

“Apa saja pilihan dilakukan, ia berteraskan hasil kerja kita sepanjang tahun berkenaan. Lalu, sebagai penyanyi bertanggungjawab, kita harus sentiasa ada keinginan untuk terus memantapkan kerjaya, bukan hanya untuk peminat malah untuk kebaikan industri seni itu,” ujar Siti ketika ditemui sewaktu menjayakan persembahan Sirah Junjungan – Tahajud Cinta di Istana Budaya, baru-baru ini.

Siti tidak lupa untuk berterima kasih kepada peminat yang nyata tidak henti-henti menghulurkan sokongan padu kepada dirinya, dalam apa juga situasi yang dihadapi.

“Peminat tidak perlu risau seandainya rezeki tidak menyebelahi Siti pada kali ini. Begitu juga sekiranya Siti sekali lagi menaiki pentas menerima trofi, kerana perkara paling penting ialah Siti akan terus memberikan sumbangan dalam dunia seni,” kata penyanyi Di Taman Teman ini.

Pada acara kemuncak ABPBH 2008 yang akan berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands, 12 April ini, isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini tentunya akan menaiki pentas utama di hadapan ribuan peminat yang dijangka memenuhi arena. Untuk mengatakan dia menaiki pentas menerima trofi, pasti masih terlalu awal. Yang pasti, Siti akan berada di atas pentas untuk menghiburkan penonton dengan persembahannya.

Selain Siti, bakal menggegarkan Arena of Stars dengan persembahan mereka ialah Anita Sarawak, Jamal Abdillah, Faizal Tahir, kumpulan Kristal, Hujan, Aizat, Siti Sarah, Stacy, Farah Asyikin, Diddy, Ayu Damit, L Ramlee, Jeffrydin dan Datuk A Rahman Hassan.

“Maaflah, Siti belum boleh bercerita mengenai konsep persembahan dan lagu yang akan didendangkan nanti kerana semua itu masih pada peringkat perbincangan lagi,” katanya yang turut menerima ‘kejutan’ tersendiri apabila suami tercinta muncul tiba-tiba sewaktu berlangsungnya sesi fotografi.

Peluang Saerah untuk menyerlah

SEBAGAIMANA kakaknya, Saerah juga akan menaiki pentas ABPBH 2008. Bukan sebagai penyanyi buat persembahan, sebaliknya dia dan seorang lagi kakaknya, Saida, diberikan amanat sebagai penyampai anugerah pada malam penuh gemilang itu.

“Tentu sekali peluang yang diberikan penganjur ini satu pengalaman yang bererti buat saya kerana inilah kali pertama saya ke pentas untuk menyampaikan anugerah sebagai artis.

“Ia peluang yang begitu dihargai kerana ramai lagi artis berharap dapat mengambil bahagian dalam acara sebesar ini. Jadi, saya amat berbangga apabila artis baru seperti saya dan Saida terpilih,” kata Saerah.

Pada malam kemuncak ABPBH 2008 itu nanti, bukan hanya Saida dan Saerah yang akan menyerikan majlis sebagai penyampai trofi. Mereka akan disertai barisan selebriti lain seperti AG Hot FM, Amy Mastura, Ayu Raudhah, Eizlan Yusoff, Farid Kamil, Fizo Omar, Kieran, Lisa Surihani, Lis Dawati, Fauzi Nawawi, Mawi, Ekin, Maya Karin, Nora Danish, Norish Karman, Que Haidar, Linda Jasmine, Rozita Che Wan, Umie Aida dan Zizie Ezette.

Menyentuh perkembangan kerjaya muziknya, wanita peramah ini berkata, dia kini dalam proses menyiapkan album duo bersama Saida, yang diterbitkan oleh syarikat rakaman SNP Sdn Bhd.

“Mengikut perancangan, album kami akan berada di pasaran sekitar Jun ini. Ia bakal memuatkan lapan lagu, dengan masing-masing mempunyai dua lagu secara solo. Tiga lagi lagu dirakam secara duet, manakala sebuah lagu akan menyaksikan kami tiga beradik,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: