Tenaga Pengajar AF7 Keterlaluan?

9 Apr

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Pengkritik bengang tugasan mereka diganggu ketika konsert AF minggu keempat

AKADEMI Fantasia (AF) bukan program terbaru kerana sudah tujuh tahun menjadi program tetap di Astro Ria sehingga pernah mencetuskan fenomena.

Peminat program itu dari musim pertama hingga terkini tentu sudah arif dengan selok belok dan hala tujunya yang bertujuan mencari seorang penghibur. Namun apa yang berlaku minggu lalu, Astro Ria seakan-akan cuba mengelirukan penonton setianya apabila menegaskan matlamat asal program berkenaan yang sebenarnya tidak perlu untuk diperjelaskan lagi.

Ketika konsert minggu AF ketujuh minggu lalu, tenaga pengajar bangun dan mencelah untuk menjelaskan dengan lebih terperinci matlamat program itu sebaik saja dua pengkritik tetap Adlin Aman Ramlie dan Edrie Hashim dan dua pengkritik undangan yang bukan calang-calang orang dalam dunia nyanyian iaitu Amy Search dan Datuk Siti Nurhaliza selesai menjalankan tugasan mereka.

Tindakan dua tenaga pengajarnya yang bangun dan memberi penerangan kepada penonton serta pengkritik ketika konsert berlangsung dilihat sebagai satu tindakan yang kurang wajar.

Akibat daripada ‘campur tangan’ itu, kritikan empat pengkritik yang dianggap tidak keterlaluan semakin mendatar seakan-akan hilang mood selepas dibidas dua tenaga pengajar berkenaan.

Bagaimanapun, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul mempertahankan tindakan dua sambil mendakwa gelagat tenaga pengajar AF7 itu tidak menjejaskan tugas pengkritik program ini.

Adlin yang menjadi pengkritik AF selama tiga tahun berturut-turut berkata, insiden yang pertama kali berlaku itu seharusnya tidak terjadi. “Saya tidak rasa mereka patut muncul ketika konsert. Mereka mempunyai masa selama seminggu bersama pelajar, sepatutnya waktu itu digunakan sebaik-baiknya untuk menurunkan ilmu kepada pelajar AF7.

“Kalau betul mereka tidak berpuas hati dengan kritikan kami, adalah lebih baik mereka berjumpa kami secara berdepan. Bukannya dengan cara begitu,” katanya.

Amy Search juga sependapat dengan Adlin apabila beliau juga kurang setuju dengan tindak tanduk tenaga pengajar itu yang kononnya diberikan ‘lampu hijau’ oleh Astro untuk berbuat demikian.

Menurutnya, dia berbesar hati apabila konsert minggu keempat itu dijadikan tribute untuknya dan Datuk Siti Nurhaliza dan gembira apabila turut diundang sebagai pengkritik tetapi langsung tidak berniat untuk menjatuhkan pelajar melalui kritikan diberikan.

“Saya mengkritik bukan untuk menjatuhkan mereka tetapi demi kebaikan mereka. Saya hanya ingin memberitahu kepada pelajar apa yang kurang dan boleh diperbaiki.

“Saya juga duduk di kerusi pengkritik untuk memberi kata semangat di mana kriteria yang perlu ditekankan untuk mereka menjadi bintang,” katanya yang sedikit kecewa dengan apa yang berlaku malam itu.

Bagi Edrie pula tindakan dua tenaga pengajar itu menyebabkan mood untuk mengkritik sedikit terganggu selepas gangguan berkenaan.

“Memang mood saya sedikit terganggu. Saya faham matlamat AF untuk mencari seorang bintang penghibur tetapi vokal juga penting dalam pertandingan ini. Takkanlah saya mahu memilih seorang penghibur yang tidak boleh menyanyi,” katanya.

Sementara itu, Datuk Siti Nurhaliza pula berkata, dia hanya ingin berkongsi apa yang dimiliki sepanjang lebih sedekad bergelar penyanyi. Namun pada masa yang sama penyanyi itu menghormati tindakan tenaga pengajar berkenaan kerana ia mungkin elemen perlu ada dalam sebuah program realiti.

Khairul Mizan pula berkata, peluang tenaga pengajar untuk menyatakan hujah mereka itu sememangnya dirancang musim ini. Katanya, itu adalah elemen sebuah program realiti.

“Ada satu konsep dalam AF yang sebenarnya masih belum jelas lagi di kalangan penonton mengenai hala tuju program ini. AF mencari bakat serba boleh dan bukannya sebuah pertandingan nyanyian.

“Penonton kita bertambah setiap tahun, jadi kita perlu memperjelaskan mengenai konsep program kita kerana ada di antara penonton baru kita yang masih tidak tahu mengenai program ini,” katanya.

Qhaud bernasib baik

PERSEMBAHAN mantap Zizi dan Rubisa yang mendapat pujian daripada juri ternyata tidak mampu menyelamatkan dua peserta wanita ini apabila jari menjadi juri.

Zizi yang menyanyikan lagu Aku Dah Bosan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton tabah menerima kenyataan disingkirkan. Manakala peserta dari Kota Marudu, Sabah, Rubisa Tiasin yang memukau dengan lagu Tiada Lagi pula ternyata tidak dapat menahan sebak.

Siaran yang terganggu ketika Qhaud membuat persembahan sehingga dikehendaki menyanyikan semula lagu Di Taman Teman mungkin hikmah buat anak muda berusia 25 tahun ini apabila terselamat daripada penyingkiran walaupun kedudukannya sering di tangga terbawah.

Sementara itu, keseluruhan persembahan pada konsert minggu keempat menunjukkan sedikit peningkatan terutama daripada pelajar wanita yang berjaya membawakan lagu milik penyanyi Amy Search dengan baik sekali. Manakala peserta lelaki pula tidak menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: