Debaran Berjalan Dengan Selebriti

9 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Dua pemenang GBB gementar menunggu saat berjalan di permaidani merah

MASING-MASING tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila diumumkan pemenang hadiah utama peraduan Gemilang Bersama Bintang (GBB) siri satu dan dua, yang diadakan sempena penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.

Apatah lagi, kemenangan itu membolehkan Siti Hawa Mohd, 35, dan Rohani Abu Hassan, 25, turut mengecap kegemilangan apabila mereka berpeluang melintasi permaidani merah bersama penyanyi, pelakon, pengacara dan penyampai popular tanah air.

Lalu, apabila Rohani mengatakan dia tidak lalu makan memikirkan perkara itu, tiada siapa yang mampu menyalahkannya kerana peluang sehebat itu belum mampu dimiliki sebarangan orang. Tuah lebih menyebelahi wanita dari Terengganu ini apabila penyertaannya dalam peraduan GBB siri kedua menarik perhatian juri.

“Saya tidak menghantar banyak borang ketika menyertai peraduan siri kedua berkenaan, kerana tidak sempat berbuat demikian. Saya hanya boleh menghantar borang yang lebih bagi peraduan terakhir, iaitu bagi memilih calon akhir ABPBH 2008. Namun, rezeki nampaknya lebih menyebelahi saya kali ini,” katanya ketika ditemui di Butik Michael Shu, di Bukit Bintang.

Dia dan Siti Hawa berkunjung ke butik pereka terkenal itu baru-baru ini untuk mencuba pakaian yang bakal digayakan pada malam kemuncak ABPBH 2008 yang akan berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands, Ahad ini, jam 8.30 malam. Acara berkenaan disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio Hot FM.

Rohani yang sudah berkeluarga itu mengaku dia amat gementar apabila memikirkan detik berjalan sebaris dengan artis terkenal pada acara permaidani merah.

Katanya, dia bimbang jika kakinya tersandung sewaktu memperagakan rekaan cantik pereka terbabit, dek rasa gemuruh yang menyelubungi.

Meminati bidang lakonan, Rohani memberitahu, dia juga pernah menyertai Personaliti Celcom Harian Metro, beberapa tahun lalu.

Manakala pemenang siri pertama, Siti Hawa pula berkata, usahanya menghantar banyak borang penyertaan nyata berbaloi apabila dipilih sebagai pemenang peraduan berkenaan. Selain peluang melintasi permaidani merah, kedua-dua pemenang juga menerima set barang kemas tajaan Rafflesia.

“Saya mengikuti perkembangan ABPBH sejak empat tahun lalu. Sungguh tidak disangka, pada tahun kelima, saya sendiri dapat sama-sama memeriahkan acara berkenaan,”ῠkatanya yang hadir ke sesi mencuba pakaian itu bersama suami, Yaakob Kassim serta tiga puteranya.

Kata suri rumah yang meminati Datuk Siti Nurhaliza ini, dia banyak berhutang budi pada suami yang membantunya mereka slogan terbaik untuk peraduan itu.

Siti Hawa dan Rohani memang kelihatan begitu teruja sewaktu mencuba gaun ciptaan Michael, petang itu. Masing-masing saling memuji penampilan menarik mereka selepas mengenakan pakaian pilihan.

Sambil tersenyum, Rohani tidak ketinggalan cuba menggayakan cara berjalan agar tidak kekok apabila tiba ke acara sebenar.

Siti Hawa yang kini menetap di Bangi pula tidak sabar untuk mengenakan gaun biru bersulam manik di bahagian dada pada acara kemuncak nanti, serta mengecap detik gemilang bersama bintang di Kota Keriangan.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: