Memadai Sebagai Pencabar Hebat

8 Apr

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Jaclyn Victor

Jaclyn akui bukan mudah menundukkan Siti Nurhaliza

JARANG untuk seorang artis bukan Melayu mendapat kepercayaan dan sokongan peminat berbangsa Melayu sehingga menembusi senarai Top 5, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama beberapa tahun berturut-turut tetapi Jaclyn Victor antara yang berjaya membuktikannya.

Walau dicemuh kerana sering kali tampil seksi dan pernah kehadiran tatu di tubuhnya dipertikaikan, penyanyi yang baru mencipta nama sebagai pelakon itu ternyata memiliki peminat setia yang tidak kenal erti bosan untuk menyokongnya.

Mungkin selama tiga tahun dicalonkan dalam kategori sama, Penyanyi Wanita Popular, tahun depan bakal menyaksikan namanya tercatat dalam satu lagi kategori iaitu Pelakon Wanita Popular pula. Siapa tahu lakonan mantapnya sebagai Bavani dalam filem Talentime arahan Yasmin Ahmad bakal membawa permulaan baru kepada Jac.

Benar terlalu awal untuk memperkatakan mengenainya, namun lakonan mantap Jac wajar diberikan pujian. Buat seorang pelakon baru sepertinya yang tidak pernah mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan, watak Bavani ditangani Jac dengan cukup berkesan.

Kata wanita itu ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini, ada yang menghampirinya dan berkata mereka melihat Bavani bukannya Jaclyn dalam filem berkenaan.


JACLYN anggun dengan rekaan terbaru Khairi.

“Maklum balas yang saya terima selepas tayangan kepada media cukup memberangsangkan. Bagi saya, Talentime adalah satu pengalaman baru yang amat saya hargai.

“Kerja yang saya lakukan amat berbeza sekali dengan nyanyian. Malah saya tidak berasakan saya boleh berlakon, latihan selama dua bulan setengah untuk menghayati watak Bavani cukup memberi kesan dan ia satu pengalaman menarik sepanjang 12 hari menjalani penggambaran,” kata Jac yang tidak meletak harapan tinggi untuk menundukkan Datuk Siti Nurhaliza yang turut dicalonkan dalam kategori sama.

Penyanyi berusia 31 tahun yang memilih sentuhan pereka muda Khairi Sufi untuk ke malam kemuncak ABPBH 2008 pada 12 April nanti berkata, bergelar Top 5 sudah memadai baginya, namun sesuatu yang tidak disangkakan kerana peminat masih utuh menyokongnya meskipun hampir tiga tahun dia tidak muncul dengan buah tangan terbaru.

Hanya bersandarkan kepada tiga buah single, Satu Harapan, Dambaran Cinta dan duetnya bersama TNL menerusi lagu Ipoh Mali, Jac berjaya menempa tiket ke final. Selain Siti, tiga penyanyi lain iaitu Mila, Stacy dan Elyana juga adalah pencabar terdekatnya.

“Seandainya trofi Penyanyi Wanita Popular menjadi milik saya, tentu sekali saya berasa gembira dan terkejut. Bagaimanapun saya dapat merasakan Siti sekali lagi akan menjadi milik trofi itu tetapi populariti penyanyi lain juga tidak boleh dipandang remeh, saya tidak memaksudkan diri saya tetapi pencabar yang lain.

“Bagi saya Top 5 pun sudah memadai, sekurang-kurangnya peminat masih ingat pada saya walaupun sudah hampir tiga tahun tidak membikin album,” katanya yang anggun dengan set mutiara South Sea warna putih dari Rafflesia The Pearl Centre bernilai lebih RM 400,000.

Oleh kerana agak lama tidak hadir dengan album, Jac tidak sabar menantikan kehadiran buah tangan terbarunya yang dijangka menemui peminat pertengahan tahun ini.

Album berkonsepkan pop yang seratus peratus memuatkan lagu dalam bahasa Melayu itu membabitkan komposer popular tempatan antaranya Aubrey Suwito, Sharon Paul, Panji, Syed (Nitrus), Gjie (6xith Sense) dan Anjang (Jinbara).

Pertama kali bakal menyarungkan rekaan Khairi Sufi, sempena ABPBH 2008, Jac berkata kali ini dia memilih gaun potongan pendek agar tampil berbeza. Manakala pemilihan warna juga berbeza tahun ini apabila penyanyi bersuara lantang itu tidak lagi mahu rona menjerit untuk digayakan pada malam penuh kilauan itu sebaliknya rona klasik menjadi pilihan Jac kali ini.

Gaun paras lutut

SERING kali tampil dengan gaun potongan duyung, kali ini graduan Diploma Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memilih gaun paras lutut untuk Jac.

Kata Khairi yang pertama kali bekerjasama dengan Jac, idea berkenaan tercetus hasil perbincangan bersama. Khairi sudah lama menyimpan hasrat untuk menaja Jac sejak penyanyi itu muncul dalam Malaysian Idol lagi.

Bermula dari itu dia memasang impian menghasilkan gaun untuk digayakan Jac pada acara anugerah. Namun setelah bertahun menanti akhirnya Jac menyatakan persetujuan untuk mendapatkan khidmat Khairi.

“Aura Jac sebagai seorang penyanyi dan cara pembawaan Jac ketika bergaya di permaidani merah adalah salah satu sebab kenapa saya tertarik kepadanya.

“Jac bukanlah seorang yang cerewet. Dia tahu apa yang dimahukan, oleh kerana sering bergaya dengan gaun labuh dia meminta saya reka sesuatu yang berbeza pula kali ini.

“Jadi untuk ABPBH 2008 ini, saya memilih potongan loceng paras lutut untuknya. Sementara warna pula dia mahukan sesuatu yang klasik jadi saya memilih warna plum dengan menggunakan fabrik satin dan songket. Jac tidak sukakan sifon dan saya juga tidak menggunakan songket sepenuhnya kerana songket susah untuk dikacau dan boleh merosakkan fabrik jika tersalah potong,” katanya yang turut menghasilkan rekaan untuk Amyza Adnan.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: