Anuar Zain Tak Mahu Tamak

6 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Biarlah dianggap cerewet asalkan hasilnya memuaskan hati

KETELITIAN dalam mencari yang terbaik untuk setiap hasil karyanya sering disalahertikan hingga ada beranggapan penyanyi kacak, Anuar Zain sebagai seorang yang cerewet dan sukar untuk dipuaskan.

Biar apa juga tafsiran, penyanyi berusia 39 tahun ini tidak gusar meminggirkan tanggapan yang kurang senang dengan ketelitiannya itu.

Melihat perkataan cerewet itu dalam konotasi positif, Anuar berkata, ia berkait dengan keinginan mahu memberikan yang terbaik kepada penggemarnya.

Kata penyanyi lagu Lelaki Ini itu, sebagai pengkarya dia perlu memainkan peranannya supaya khalayak menghargai apa yang dipersembahkan seterusnya mendokong perjalanan kariernya nyanyiannya supaya berpanjangan.

“Saya melihat itu sebagai penghargaan kerana saya mahu cemerlang dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Jadi mengapa perlu orang lain berasa hati kerana saya punya peranan untuk mengangkat karya kita di tahap lebih tinggi.

“Saya mungkin boleh berlebih kurang dengan memberi produk separa matang tetapi akhirnya yang bakal dipersalahkan adalah diri sendiri.

“Disebabkan itu saya kurang faham mengapa dikatakan cerewet sedangkan saya cuma berusaha memberikan yang terbaik kepada penggemar,” tepis Anuar mengenai tanggapan yang sering dilemparkan kepadanya setiap kali menghasilkan album terbaru.

Lelaki berbintang Aquarius ini menyelar sikap sesetengah pengkarya tempatan yang pantas melemparkan tanggapan negatif terhadapnya sedangkan mereka tidak pernah cuba memberikan ciptaan untuk dinilai.

Anuar berkata, sesetengah pencipta lagu gusar menyerahkan karya mereka kepadanya kerana bimbang akan ditolak sedangkan dia tidak pernah meletakkan sebarang standard atau kriteria tertentu dalam sesuatu ciptaan.

“Saya cuma mahukan ciptaan yang baik. Hanya itu. Saya turut memberikan tawaran kepada komposer tempatan, malangnya hingga hari ini belum mendapat apa-apa maklum balas. Tetapi apabila saya bekerjasama dengan komposer Indonesia ada yang melenting dan marah, sebaliknya mereka tidak berbuat apa-apa untuk membantu saya.

“Saya selesa bekerja dengan komposer luar kerana mereka lebih terbuka menerima pandangan dan pantas memberikan apa yang saya mahukan,” katanya yang baru mempunyai dua lagu, satu daripadanya ciptaan komposer tempatan, Kieran Kuek dan Indonesia, Nico Ajibandi untuk album terbarunya.

Pemilik nama penuh, Shahrul Anuar Zain ini berkata, apa yang penting karya yang dihasilkan harus menyentuh hati pendengar dan dia tidak pernah terfikir untuk mencari pengiktirafan pada majlis anugerah.

“Tidak mengapa jika album saya tidak layak dicalonkan untuk Anugerah Industri Muzik atau Anugerah Juara Lagu kerana apa yang penting, lagu nyanyian saya harus menyentuh hati pendengar,” katanya.

Bersyukur ketelitian dalam penghasilan album solo ketiga memberinya jualan selesa dengan lebih 31,000 salinan, Anuar berkata, dia cuba mencari nuansa baru dalam pembikinan album keempatnya.

Mengharapkan album itu dapat diimbangi antara sentuhan balada dan pantas, namun Anuar berkata, kebanyakan komposer cenderung memberikan ciptaan perlahan kepadanya.

Sesuatu yang pasti kata anak kelahiran Merlimau, Melaka ini, album itu akan memuatkan 10 ciptaan baru yang memberi kepuasan kepada penggemar yang lama mendambakan lagu terbaru daripadanya.

“Tenaga yang dicurahkan tetap sama sekali pun saya cuma merakamkan album mini. Jadi lebih baik saya memberikan album penuh.

“Sejak dulu lagi kita sering dimomokkan dengan idea album tidak boleh jual tetapi saya percaya kepada rezeki. Jika kita memberikan produk yang bagus, Insya-Allah, pendengar akan membeli biarpun mengambil masa untuk dipasarkan,” katanya yang tidak meletakkan sasaran bila album itu akan menemui peminat.

Sentiasa positif dalam merencana karier nyanyiannya, Anuar berkata, kebelakangan ini dia mula memperlahankan kemunculannya di khalayak kerana merancang untuk mengadakan sebuah konsert besar.

“Saya tidak tahu bila akan menjadi kenyataan, namun saya berharap ia dapat dilaksanakan tidak lama lagi. Saya sentiasa positif dalam apa yang dilakukan,” katanya mengenai usaha yang dicetuskan sejak tiga tahun lalu.

Kembali menjayakan Minggu Setiausaha

ANDAI tahun lalu Anuar menolak segala keseronokan menjayakan persembahan eksklusif sempena Minggu Setiausaha, April ini dia bersedia apabila bekerjasama dengan Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara untuk acara itu.

Akuinya, dia agak cerewet dalam persembahan di Kuala Lumpur kerana merancang untuk menjayakan sebuah konsert tidak lama lagi.

Katanya, dia tidak terdesak untuk menerima pelbagai tawaran diajukan kepadanya, sebaliknya cuma memilih untuk mengadakan persembahan di Pusat Konvensyen Sime Darby kerana ingin memberikan kepuasan kepada peminat.

“Kalau menerima tawaran lain pun, saya memilih untuk menjayakan persembahan di luar Kuala Lumpur. Saya tidak mahu disebabkan tamak, saya tidak sempat membuat persiapan rapi dan sudahnya semua yang datang tidak mendapat kepuasan. Itu yang saya cuba elakkan.

“Saya tidak percaya dengan prinsip menerima apa saja ketika masih diterima. Rezeki Tuhan itu di mana-mana. Saya mahu bertahan untuk jangka masa yang lama,” katanya.

Anuar berkata, persembahan pada 9 April itu nanti akan memperdengarkan himpunan lagu dipetik daripada album yang pernah dihasilkannya.

“Selain itu saya juga akan menyanyikan beberapa lagu daripada penyanyi lain. Cuma setiap kali mengadakan persembahan, peminat tetap mahukan saya menyanyi lagu daripada album terdahulu.

“Bentuk dan rangka persembahan sudah direncana namun semuanya bergantung kepada suasana pada hari acara. Saya cuma mahu berkongsi saat manis bersama mereka yang datang pada hari itu,” katanya yang akan diiringi Alwyn Santiago yang bertindak sebagai pengarah muzik.

INFO: Anuar Zain Nama Penuh: Shahrul Anuar Zain Tarikh Lahir: 15 Februari 1970 Asal: Kampung Simpang Merpati, Melaka Makanan Kegemaran: Berubah-ubah mengikut selera Minuman Kegemaran: Teh Tarik Warna kesukaan: Perang, biru, kelabu & merah Penyanyi Kegemaran: Ziana Zain, Dayang, Siti Nurhaliza, Whitney Houston Pelakon Kegemaran: Julia Roberts, Amy Mastura, Ellie Suriati Wanita Pilihan: Seseorang yang menerima dirinya sebagai Shahrul Anuar bukan Anuar Zain Visi Anuar : Mengembangkan karier seni ke peringkat lebih tinggi Pencapaian: Vokal Lelaki Pilihan (Anugerah Era 2005), Penyanyi Lelaki Paling Popular (Anugerah Planet Muzik 2005), Penyanyi Lelaki Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2004), Penyanyi Lelaki Paling Popular (Anugerah Planet Muzik 2004), Vokal Lelaki Pilihan (Anugerah Era 2003), Penyanyi Baru Lelaki Terbaik dan Penyanyi Lelaki Terbaik (Anugerah Industri Muzik 1999) Tempahan untuk persembahan makan tengah hari bersama Anuar Zain boleh dibuat dengan menghubungi 03-20893688 atau 3668.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: