Impak Pereka Fesyen Malaysia!

4 Apr

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

Tampil istimewa, XY – Ikon Lelaki minggu ini menghimpunkan 10 pereka fesyen lelaki yang bakal menyemarakkan Fiesta Fesyen Berita Harian. Inspirasi rekaan mereka – songket dan tenun turut digayakan bintang pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008) kelak. Raikan aura fesyen mereka!

BUKAN mudah menghimpunkan 10 pereka fesyen tanah air dalam satu sesi fotografi kerana masing-masing bertungkus-lumus menyiapkan perincian terakhir rekaan bagi dua acara besar anjuran Berita Harian bulan ini.

Fiesta Fesyen Berita Harian yang bakal mewarnai pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya, lusa, serta majlis gala di Hotel One World, keesokannya, disusuli kemuncak ABPBH 2008 di Genting Highlands pada 12 April ini cukup memadatkan diari kumpulan pereka muda ini.

Namun, 10 pereka ini masih sempat meluangkan masa menjalani sesi fotografi eksklusif bersama XY – Ikon Lelaki. Ini membuktikan kesungguhan dan komitmen mereka dalam menyokong acara berprestij yang bakal disertai selebriti dan pereka fesyen tanah air.

Riuh studio fotografi di Balai Berita dengan kehadiran insan kreatif ini. Malah, suasananya persis kesibukan di pertunjukan fesyen. Namun, kali ini merekalah menjadi bintangnya!

Daripada topik harian hinggalah keresahan mengejar deadline – semua pereka berkongsi keseronokan menanti dua acara besar ini. Seharusnya, masing-masing mahu rekaan yang ditampilkan sempurna dan mencuri tumpuan tatkala digayakan di pentas catwalk.

Hatta Dolmat; Rizman Ruzaini; Calvin Thoo; Nazreen Idris; Hazwani Osman; Amir Luqman; Shegar; Nik Erwan Rosdi dan Zery Zamri – masing-masing berkongsi inspirasi rekaan dengan identiti fesyen Malaysia.

Inspirasi Hatta Dolmat

TERKENAL dengan rekaan penuh perincian, pereka fesyen berbakat besar, Hatta Dolmat tidak ketinggalan memeriahkan Fiesta Fesyen Berita Harian serta malam kemuncak ABPBH 2008. Kali ini, pereka fesyen kelahiran Kuala Sungai Baru, Melaka ini akan mereka pakaian Nurul Huda Abdul Wahab, Siti Sarah, Sheila OIAM dan Iz.

“Tema songket bukanlah halangan bagi saya kerana sebelum ini pernah menerapkan tema sama di sebuah majlis anugerah hiburan. Menjadi kebanggaan pereka fesyen kerana mampu menerapkan tema tradisi dalam menzahirkan rekaan pakaian,” kata Hatta yang sudah empat tahun terbabit dalam ABPBH selepas pertama kali mereka pakaian untuk Jacklyn Victor dan Fasha Sandha pada ABPBH 2005.

Kata Hatta, ABPBH adalah platform terbaik untuk pereka baru tanah air dalam mengembangkan bakat, seterusnya berorientasi dengan idea baru rekaan.

“Sepanjang terbabit dalam majlis anugerah ini, saya dapat melihat perkembangan positif penganjur yang tidak saja memberikan publisiti buat artis, pada masa yang sama turut memartabatkan industri fesyen tanah air.

“Ini dapat dilihat menerusi pembabitan artis dengan pereka fesyen termasuk Anugerah Best Dress yang diperkenalkan tahun lalu dan tahun ini pula dengan Fiesta Fesyen Berita Harian,” kata teruja.

Profil

Nama: Muhammad Hatta Dolmat

Umur: 27 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mata (UiTM), Shah Alam.

Pencapaian:

Juara Anugerah Pereka Fesyen Muda 2003.

Juara pertandingan akhir Trofi Pesona Pengantin 04/05.

Juara Anugerah Jarum Berlian 2005.

Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006: rekaan pakaian terbaik digayakan oleh Erra Fazira.

Anugerah Rekaan Pakaian Terbaik sempena Anugerah Bintang Popular 2007.

Juara kategori Ethnic Chic di Singapore Fashion Designer Competition 2007.

Naib juara Project Runway Malaysia 2007.

Gandingan duo Rizman Ruzaini

NAMA Rizman Ruzaini antara yang paling menonjol di kalangan pereka fesyen angkatan baru. Memilih konsep less is more menjadi antara trademark pereka fesyen muda ini. Lebih menarik, jika kebanyakan pereka fesyen bergerak solo, label Rizman Ruzaini menampilkan koloborasi dua pereka fesyen ini.

Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil yang bekerjasama menubuhkan label Rizman Ruzaini sejak lebih dua tahun lalu menggalas cabaran besar untuk ABPBH kali ini apabila mereka pakaian untuk penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.

Selain Siti Nurhaliza, pereka fesyen yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini juga akan berfantasi dengan rekaan untuk pelakon Fasha Sandha, Sari Yanti dan Siti Saerah.

“Secara peribadi, saya melihat adalah satu usaha baik ABPBH memilih tema songket yang mana mampu mengangkat martabat khazanah songket yang menjadi identiti negara.

“Menjadi tugas pereka fesyen mencipta sesuatu yang berbeza melalui tema begini. Apatah lagi songket adalah 100 peratus identiti Malaysia berbanding batik yang juga popular di Indonesia,” kata Rizman Nordin.

Wan Ruzaini turut memuji usaha membantu pereka fesyen tempatan mengetengahkan bakat pada majlis berprestij.

Profil

Rizman Ruzaini

Dipelopori dua pereka, Rizman Nordin, 24; dan Wan Ruzaini Wan Jamil, 24.

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Butik Rizman Ruzaini Creations beroperasi pada awal tahun ini.

Terbabit dengan perekaan fesyen sejak dua tahun lalu.

Artis yang pernah menggayakan busana Rizman Ruzaini antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira, Ning Baizura.

Pencapaian:

Terpilih sebagai lapan pereka terbaik untuk Pereka Busana Pengantin Malaysia Great Eastern Mall.

Peserta akhir pertandingan Jarum Berlian 2003.

Penerima anugerah busana terbaik Rafflesia 2008 melalui busana diperagakan artis Fazura

Terbabit dengan perekaan busana untuk artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Aura Calvin Thoo

SEJAK beberapa tahun lalu, ABPBH cukup sinonim dengan pereka fesyen tempatan, Calvin Thoo. Masakan tidak, pereka fesyen kelahiran Kuala Lumpur ini menjadi pilihan ramai selebriti popular tanah air. Pengalaman selama 13 tahun dalam industri fesyen meletakkan Calvin Thoo antara pereka fesyen disegani ramai.

Tahun ini, Calvin dipertanggungjawab mereka gaun malam bertemakan songket dan tenun untuk pelakon cantik Rozita Che Wan, Ayu Raudhah dan Marsha. Pentas ABPBH 2008 bakal menyaksikan kreativiti Calvin dalam memberi variasi pada songket dengan nafas baru.

Ditanya cabaran mengetengahkan songket dalam majlis anugerah berprestij seperti ABPBH, Calvin berpendapat, menjadi tanggungjawab pereka fesyen berfantasi dengan lakaran sebelum memberi impak besar melalui rekaan.

“Saya tidak mempunyai banyak masalah mengetengahkan songket. Sebelum ini, ramai pelanggan dari kalangan kenamaan dan kerabat diraja memilih elemen songket dan tenun dalam persalinan. Saya juga menerapkan kain songket ketika majlis persandingan Lisdawati sebelum ini,” katanya.

Profil

Calvin Thoo

Umur: 37 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) RMIT Australia.

Pencapaian:

Menimba pengalaman dalam bidang fesyen selama lebih 10 tahun di luar negara.

Memulakan label Calvin Thoo pada 2003.

Peserta peringkat akhir Piala Seri Endon Batik 2004.

Membuka butik Calvin Thoo pada 2005 di gedung beli-belah Lot 10, Bintang Walk, Kuala Lumpur.

Hasil rekaan Calvin diperagakan pada acara antaranya Minggu Fesyen Kuala Lumpur, Anugerah Fesyen Antarabangsa Malaysia dan Festival Fesyen Islam KL.

Seksi cara Nazreen

TERKENAL dengan rekaan seksi, pereka fesyen yang makin dikenali, Nazreen Idris mengakui agak sukar menerapkan identiti rekaan bertemakan songket dan tenun. Baginya, menjadi tanggungjawab pereka fesyen meletakkan prinsip dalam setiap rekaan.

“Meskipun kita cenderung mengetengahkan elemen feminin dan seksi dalam rekaan, unsur sebegitu tidak boleh diterapkan apabila menggunakan kain songket.

“Menjadi tanggungjawab seorang pereka fesyen meletakkan martabat tinggi songket yang menjadi identiti Malaysia,” kata Nazreen yang akan menyiapkan persalinan Linda Onn, Siti Saida dan Intan Ladyana di malam kemuncak ABPBH 2008.

Ditanya pendapat dirinya mengenai kain songket, secara peribadi pereka fesyen kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui penerimaan masyarakat makin meluas dalam mengangkat martabat songket sebagai budaya dan identiti Malaysia.

“Ketika menuntut dulu, saya memilih melakukan kajian mengenai kain songket. Sebab itu, saya cukup berhati-hati menggunakan kain songket untuk sebahagian daripada hasil rekaan kerana ingin memastikan martabat songket terpelihara,” katanya.

Profil

Nazreen Idris

Pendidikan: Diploma Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sri Iskandar, Perak.

Pencapaian:

Terbabit menyediakan busana untuk artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, pemenang tempat ketiga Animax Fashion Ability 2007.

Antara artis yang pernah mendapat sentuhan Nazreen: Datuk Khatijah Ibrahim, Anne Ngasri, Diana Danille, Linda Onn, Intan Ladyana, Siti Saida dan Faezah Elai.

Warna Zery Zamry

JIKA ramai pereka fesyen memilih perincian yang melengkapi rekaan pakaian, Zery Zamry pula sebaliknya. Pereka muda kelahiran Kelana Jaya, Selangor ini memilih warna sebagai tarikan rekaan. Seperti sebelumnya, pereka yang memiliki label butik Zery Zamry Couture ini akan menyiapkan adi busana penyanyi Elyana dan pelakon Norish Karman.

Mengetengahkan konsep minimalis, Zery berusaha memodenkan songket melalui rekaan.

“Sebagai pereka muda, menjadi tanggungjawab kami berusaha sebaik mungkin memastikan songket menjadi pilihan ramai. Apabila digayakan artis, ia setidak-tidaknya menjadi ikutan dan dilihat ramai orang. Apatah lagi, ABPBH cukup membantu pereka fesyen membina nama di Malaysia,” katanya.

Tiga tahun terbabit serius sebagai pereka untuk artis yang bertanding di ABPBH, Zery mengakui sambutan dan publisiti cukup membantu memeriahkan industri fesyen tanah air.

“Ya lah, artis dan pereka fesyen saling m
emerlukan dan secara tidak langsung ABPBH dilihat sebagai jambatan merancakkan lagi industri fesyen di Malaysia,” kata pereka berusia 25 tahun ini.

Profil

Zery Zamry

Pendidikan: Universiti Teknologi Mara (UiTM) pengkhususan Fesyen.

Pencapaian:

Anugerah Jarum Berlian 2006.

Finalis Project Runaway Malaysia.

Tranformasi Shegar

BERPENGALAMAN 12 tahun dalam bidang hiasan dalaman, Shegar Chandra Sekaran atau lebih dikenali sebagai Shegar kini menyahut cabaran dengan ‘terjun’ ke bidang rekaan pakaian. Tiga tahun dalam dunia fesyen, usaha itu tidak sia-sia apabila rekaannya mula diperkata umum.

Malah sempena ABPBH 2008, Shegar dipertanggungjawabkan mereka pakaian Cheryl Samad. Bukan kali pertama, koloborasi Shegar sudah cukup sinonim bersama pengacara terkenal itu.

Kata pereka berbakat berusia 36 tahun ini, beliau cukup teruja mengetengahkan tema songket lalu mengangkat martabat khazanah negara itu.

Baginya, songket jika disesuaikan dengan bentuk rekaan dan padanan fabrik lain mampu menterjemah hasil rekaan menarik dan bertaraf antarabangsa.

“Saya cenderung dengan rekaan potongan clean cut dan menggemari sesuatu yang simple. Justeru itu, saya akan memastikan rekaan Cheryl nanti dipengaruhi elemen begini,” kata Shegar.

Profil

Shegar Chandra Sekaran

Pendidikan: Ijazah dalam Hiasan Dalaman daripada Saito Akademi, Kuala Lumpur.

Pencapaian:

Beliau berkecimpung dalam dunia hiasan dalaman lebih 12 tahun tetapi mula berjinak-jinak dengan dunia fesyen sejak tiga tahun lalu.

Mulai tahun ini tekadnya untuk menyertai lebih banyak acara fesyen seperti Minggu Fesyen Kuala Lumpur dan Festival Fesyen Islam KL.

Terpilih sebagai pereka pakaian Anugerah Juara Lagu 2008 disifatkan antara pencapaian tertingginya dalam kerjaya sebagai pereka fesyen.

Sentuhan Nik Erwan

SESUATU yang istimewa cuba disampaikan pereka fesyen kelahiran Shah Alam, Selangor ini. Mengakui bakal menerapkan hingga 40 peratus kain songket dalam busana ciptaannya, Nik Erwan Roseli teruja kerana terbabit dalam dua acara besar bulan ini.

Fiesta Fesyen Berita Harian dan ABPBH 2008 menjadi medan terbaru buat Nik Erwan berfantasi dengan gaya dan hasil ciptaan cemerlang. Untuk acara berprestij ABPBH 2008, Nik Erwan mereka pakaian untuk pelakon Dynas, Mila Tini Hot FM dan kumpulan Fabulous Cats.

“Menambah lagi pesona rekaan, saya memilih warna terang yang akan digabungkan dengan warna songket. Begitupun, rekaan tidak harus terlalu menonjol dan sarat, sebaiknya biarlah lebih sederhana supaya nampak lebih anggun dan menawan.

“Majlis begini adalah platform terbaik buat pereka fesyen tanah air membina nama dan dikenali ramai. Pengalaman terbabit dalam ABPBH beberapa tahun kebelakangan ini nyata memberi impak besar untuk saya melebarkan bakat,” katanya yang bercadang untuk memasarkan pakaian ready to wear pada masa akan datang.

Profil

Nik Erwan Roseli

Kelulusan: Diploma dalam Jurusan Grafik; Ijazah dalam Jurusan Rekaan Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pencapaian:

Memenangi Anugerah Koleksi Terbaik pada Persembahan Akhir Peringkat Ijazah pada 2008.

Menyertai persembahan MIFA pada 2008.

Terbabit dalam Royal Of Art di One World Hotel 2008.

Menghasilkan pakaian untuk ramai selebriti termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Mendua Reality Television Gangstarz dan Sharifah Aleya.

Cabaran tersendiri Hazwani

BUKAN sekadar berfantasi rekaan gaun pengantin, Hazwani Osman juga boleh mereka pakaian lelaki, Justeru itu, ABPBH dan Fiesta Fesyen Berita Harian menguji bakat dalam menghasilkan rekaan untuk lelaki dan wanita.

Malah, Hazwani akan mencipta sesuatu yang berbeza buat Faizal Tahir dan Jamal Abdillah.

“Bukan senang untuk mencipta kelainan dalam pakaian lelaki. Tidak seperti wanita, rekaan lelaki harus disesuaikan dengan keadaan dan material yang digunakan termasuk jenis kain.

“Jika tidak kena dengan gaya, tema songket hanya akan menampakkan rekaan untuk lelaki seakan-akan pakaian rasmi pelayan di hotel,” akui Hazwani jujur.

Sambil memuji usaha mengetengahkan tema songket, Hazwani berkata menjadi tanggungjawab pereka fesyen tempatan dalam mengetengahkan nilai tradisi tempatan.

Profil

Hazwani Osman

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen (Kepujian) UiTM Shah Alam dan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Fesyen) UiTM Sri Iskandar, Perak.

Pencapaian:

Pakaian Terbaik Lelaki (Ijoy) Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007.

Finalis top 20 Mifa 2006.

Finalis Trofi Pesona Pengantin 2005.

Finalis Jusco Young Designer 2003.

Mereka pakaian selebriti seperti Nasha Aziz, Mawi, Fazura, Fara Fauzana, Faizal Tahir, Fazli Zainal, Mila, Diddy AF, Dafi, Awal Ashaari, Sharifah Shahira dan ramai lagi.

Sensasi rekaan Amir Luqman

AURA gaya pereka fesyen ini cukup terserlah. Itulah kelebihan pereka fesyen, Amir Luqman sehingga terpilih menjadi penata gaya rakaman televisyen bagi Miss Universe 2008, Dayana Mendoza. Di acara kemuncak ABPBH 2008, Amir akan merealisasikan sentuhan rekaan untuk calon Artis Baru Wanita Popular, Scha.

Kata Amir, dia gemarkan sesuatu yang berbeza di samping konsep seni dalam setiap rekaan. Meskipun itu, dia juga memastikan nilai kemelayuan diterapkan dalam rekaan pakaian.

“Tema songket adalah langkah permulaan dan usaha yang baik untuk memartabatkan khazanah negara. Diharapkan dengan usaha sebegini sekurang-kurangnya mampu mengetengahkan songket di peringkat antarabangsa.

“Apatah lagi, selebriti dan fesyen cukup sinonim dan menjadi kerjasama terbaik dalam mencipta kelainan. ABPBH dilihat landasan yang baik dalam kerjasama pereka fesyen tempatan dengan selebriti tanah air,” kata Amir yang juga pemenang tempat kedua Piala Seri Endon 2004.

Profil

Amir Luqman

Pencapaian:

Peserta akhir Piala Seri Endon 2005

Pemenang tempat kedua Piala Seri Endon 2004

Peserta akhir Star KL Fashion Week Designer Award 2005

KL Fashion Week 2006 – Berjaya Times Square

Stylo Fashion Festival 2008 – Pavilion Kuala Lumpur

Ahli Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA)

Ahli Persatuan Pereka Fesyen Bumiputra (BDA)

Isetan Young Designer Promo 2006

Penata gaya Miss Universe 2008 Dayana Mendoza untuk rakaman televisyen.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s