Penghargaan Untuk KM Sarawak

3 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Anugerah Perdana Seniman Malaysia berlangsung di Kuching bermula esok

KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bakal menerima penghargaan tertinggi iaitu Anugerah Khas P Ramlee dalam Anugerah Perdana Seniman Malaysia 2009 yang berlangsung di Kuching, Sarawak selama tiga hari bermula esok.

Anugerah Khas ini adalah antara 18 anugerah yang akan diberikan kepada individu yang aktif menyumbang pelbagai aktiviti seni tanah air sepanjang hayatnya.

Pemilihan Abdul Taib dibuat kerana beliau adalah antara peminat setia Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee kerana sehingga hari sentiasa berusaha mencari, memulihara, menyimpan dan menjaga dengan baik hampir semua koleksi lagu dan filem yang dihasilkan oleh karyawan terbilang tanah air itu.

Anugerah Perdana Seniman Malaysia 2009 adalah anugerah dwi-tahunan anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman). Sebelum ini, anugerah itu pernah berlangsung di Kuala Lumpur dan Kangar, Perlis. Ia dianjurkan bagi memberi penghargaan dalam usaha memartabatkan industri seni tanah air.

Presidennya, Datuk Mustapha Maarof berkata, selepas dipersetujui oleh semua ahli jawatankuasa penganugerahan, persatuan bersepakat untuk mencalonkan Abdul Taib sebagai penerima anugerah tertinggi itu yang baru diperkenalkan tahun ini.

“Beliau bersetuju untuk menerimanya. Abdul Taib boleh diibaratkan sebagai ‘perpustakaan bergerak’ kerana mempunyai pengetahuan cukup luas mengenai seniman agung itu, malah mempunyai hubungan rapat dengan Allahyarham ketika hayatnya.

“Tidak cukup dengan itu, beliau turut dikatakan mempunyai himpunan sebahagian besar salinan filem lakonan dan arahan P Ramlee termasuk Harimau Si Tora-Tora yang dicarinya sejak sekian lama.

“Difahamkan, semua koleksi itu tersimpan rapi di kediamannya di Demak Jaya, Kuching dan mana-mana tetamunya yang bertuah akan di undangnya untuk sama-sama menonton filem berkenaan,” katanya yang bakal dihadiri seramai 170 delegasi dari Semenanjung.

Selain Anugerah Khas P Ramlee, Anugerah Perdana Seniman Malaysia 2009 turut memperkenalkan 18 kategori lain iaitu 11 anugerah untuk Pencapaian Cemerlang Artis Semenanjung, Pencapaian Cemerlang Anak Tempatan Sarawak (5), Pencapaian Abadi (1) dan anugerah tertinggi Anugerah Khas P Ramlee (1).

Antara nama calon yang disebut-sebut bakal menerima salah satu anugerah itu ialah Mustapha sendiri, Datuk Siti Nurhaliza, Rosyam Nor, Anita Sarawak, Norman Abdul Halim dan David Teo.

Menurut Mustapha, penerima anugerah ini berdasarkan beberapa kriteria yang dipersetujui ahli jawatankuasa penganugerahan seperti pencapaian dari dalam dan luar negara.

“Seniman akan memberi penganugerahan ini kepada sesiapa saja anak seni baik yang berada dalam arus perdana mahupun bergerak secara sendiri (underground) kerana bagi kami semuanya dilakukan untuk meningkatkan industri seni kita.

“Asalkan mereka pernah menerima apa saja penganugerahan sebelum ini dari dalam mahupun luar negara,” katanya.

Sementara itu, malam kemuncak yang bakal berlangsung pada di Stadium Perpaduan, Kuching pada 5 April nanti turut menyusun pelbagai acara menarik bagi persembahan artis.

“Dengan tema Baru dan Lama, persembahan malam itu akan digabungkan membabitkan artis lama dan baru yang akan membuat persembahan.

“Ada empat segmen persembahan bakal menghiasi perjalanan Malam Kemuncak APSM 2009 merangkumi acara pembukaan yang menampilkan persembahan kebudayaan etnik tempatan.

“Ia disusuli segmen kedua iaitu medley daripada kumpulan orkestra dari Sarawak yang akan memainkan lagu-lagu bagi mengenang segala sumbangan dan jasa Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee. Antara persembahan solo yang bakal dinantikan seperti Anita Sarawak,” katanya.

Selain persembahan nyanyian, kelainan pada tahun ini adalah persembahan berkonsep teater Impak Maksima yang bakal menjadi satu segmen tumpuan penonton pada malam kemuncaknya.

Ia juga akan membabitkan penyanyi seperti Fabulous Cats, Zarina Zainoordin, Dina (Malaysia Idol) dan ramai lagi. Pada 6 April pula, delegasi akan dibawa mengunjungi Perkampungan Budaya bagi melihat keunikan budaya masyarakat Sarawak.

Antara barisan seniman dan seniwati veteran yang dijangka hadir nanti ialah Hashimah Yon, Zaiton, Momo Latiff, Wahid Satay, Neng Yatimah serta Zaini Sattar.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: