Fragmen: Saluran Muzik Aktif Suburkan Karya Tempatan

1 Apr

Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my

RTM Muzik Aktif (RMA) yang disiarkan menerusi saluran Astro 180 adalah satu permulaan positif stesen penyiaran nasional yang kini sedang giat ke arah proses penyiaran pendigitalan.

Kalau melihat industri muzik secara keseluruhan, kewujudan RMA ini boleh dianggap sebagai satu bentuk sumbangan kerajaan secara tidak langsung terhadap industri muzik tanah air.

Ia bukan saja menyemarakkan perkembangan muzik tanah air, tetapi juga dapat menyuburkan semula pembikinan muzik video tempatan. Ini juga penting dan perlu diberikan perhatian kerana perkembangan muzik tanah air kita semakin suram.

Tidak banyak stesen TV yang berminat untuk menyiarkan klip video penyanyi tempatan secara kerap dan tetap. Ini bukan bererti kita hendak menolak kemasukan pemuzik atau lagu-lagu dari luar.

Kita terima lagu luar dengan hati terbuka. Tetapi kita sudah ada banyak saluran sama ada di TV atau radio yang memberi ruang luas dan sebaik-baiknya kepada pemuzik dan lagu-lagu import sehingga ada ketikanya muzik tempatan menjadi terpinggir.

Jadi, adalah wajar kalau saluran Muzik Aktif ini dikhususkan untuk penyiaran muzik atau lagu-lagu daripada karyawan tempatan saja. Sesuatu yang baru, kalau diulang siar beberapa kali, ia boleh menjadi sedap didengar dan popular. Siapa sangka lagu Budi Bahasa nyanyian Datuk Siti Nurhaliza boleh popular sedangkan itu bukanlah sebuah lagu komersial. Namun, itulah bukti menunjukkan apa saja lagu kalau dimainkan dengan kerap oleh stesen radio atau TV, lama-kelamaan ia boleh diterima oleh pendengar.

Ketika ini, walaupun Astro ada tiga saluran yang boleh dikatakan khusus menyiarkan klip video muzik iaitu Hitz, V Channel atau MTV, tetapi semua saluran ini tidak memberi peluang langsung untuk menyelitkan klip video muzik tempatan.

Sebaliknya, banyak klip video penyanyi antarabangsa yang kadang-kadang terlepas pandang seolah-olah tidak ada pemantauan langsung dari aspek kandungannya sehingga muncul pelbagai aksi yang erotik atau berbaur seks sehingga tidak ada mengena langsung dengan lagu yang disampaikan.

Oleh itu, kemunculan RMA ini memang sangat dialu-alukan. Apa yang menarik RMA tidak pilih kasih kerana semua genre muzik disiarkan di saluran ini.

Daripada genre muzik urban kepada tradisional. Ini memang sesuatu yang wajar kita puji kepada RTM, khususnya kepada saluran RMS itu sendiri. Negara kita juga kaya dengan khazanah muziknya. Selain muzik moden atau kontemporari, banyak lagi muzik etnik daripada pelbagai kaum di negara ini boleh diketengahkan.

Kita kena melihat muzik dari aspek komersial saja, tetapi patut juga meletakkan muzik sebahagian daripada warisan dan budaya. Anehnya, semakin kita maju dan semakin banyak stesen radio serta TV muncul, ruang untuk mengangkat muzik tradisional sebagai warisan dan budaya menjadi semakin terhad. Bahkan boleh dikatakan tidak diberikan ruang langsung.

Oleh itu, menerusi RMA ini, kita percaya ia boleh menjadikan satu proses untuk rakyat atau penonton generasi muda lebih menghargai dan memahami nilai artistik yang wujud dalam muzik tradisional tanah air. Oleh itu, penting juga kepada RTM supaya bekerja sama dengan pihak tertentu untuk mendapatkan bahan visual yang memaparkan persembahan muzik tradisional ini.

kita juga yakin RTM juga boleh menyediakan genre muzik retro berdasarkan kepada koleksi simpanan program hiburan terbitannya sejak tahun 70-an hingga sekarang.

Dalam erti kata lain, inilah masanya RTM menggunakan segala kelebihan yang dimiliki untuk membuktikan bahawa stesen penyiaran nasional ini boleh menampilkan persembahan yang bermutu dan terbaik kepada penontonnya.

Kita mengharapkan RMA akan terus kekal sebagai saluran yang mengangkat martabat muzik tempatan. Apa yang kita khuatir ialah RTM cepat sangat mengubah sesuatu yang sudah diterima oleh penonton atas alasan pembaharuan. Perubahan itu memang penting tetapi ia memerlukan perancangan yang teliti dan paling utama jangan tergesa-gesa.

Misalnya, suatu ketika dulu RTM mempunyai beberapa nama slot yang cukup terkenal di hati penonton seperti Drama Minggu Ini (DMI), Panggung RTM dan Hiburan Minggu Ini (HMI). Itu semua patutnya dilihat sebagai sebahagian daripada jenama RTM. Apabila hendak menonton drama di RTM, penonton tidak menyebut judul drama tetapi menyebut nama slot iaitu Drama Minggu Ini.

Mencipta nama slot baru memang mudah tetapi untuk menjadikan ia kekal di hati atau dalam ingatan penonton mengambil masa lama, kadang-kadang antara 10 hingga 15 tahun. Sayangnya apabila nama slot itu sudah sebati di hati penonton, ia ditukar pula atau dibuang begitu saja.

Sehingga hari ini, kita berasakan belum ada slot di RTM yang betul-betul kuat dan popular seperti mana nama Drama Minggu Ini, Panggung RTM dan Dunia Jam 10.

Berbalik kepada RMA, dari semasa ke semasa, saluran ini bukan sekadar mengetengahkan karya muzik sedia ada, tetapi juga turut menyiarkan ciptaan terbaru, khususnya daripada pengkarya muda.

Ini penting supaya dunia muzik tempatan terus berkembang subur selain segar. Saluran RTM Muzik Aktif harus berdiri di atas imej dan identiti serta prinsipnya yang tersendiri. Paling penting ia tidak mudah terikut-ikut dengan aliran dan tuntutan semasa yang hanya mahu yang baru saja, manakala muzik lama diabaikan begitu saja.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: