Shahira Teruja Dipilih Pengacara

19 Mar

>>Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

KEHANGATAN Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08) semakin terasa apabila penganjur mengumumkan nama artis yang bakal mengacarakan acara berprestij itu, kelmarin.

Turut diumumkan pada majlis sidang akhbar ABPBH08 di Grand Salon, Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan itu barisan artis yang akan menyampaikan anugerah dan melakukan persembahan.

Selepas beberapa tahun ABPBH menggandingkan pengacara wanita, tahun ini dua nama tidak asing dalam industri seni tempatan, Sharifah Shahira dan Adlin Aman Ramlie dipilih untuk mengemudi acara terbesar itu.

Sebelum ini, isteri pelakon Ijoy Azhari itu pernah mengendalikan acara sama bergandingan dengan Raja Azura dua tahun lalu manakala tahun lalu Raja Azura digandingkan dengan Fauziah Ahmad Daud. Raja Azura juga pernah digandingkan dengan Anita Sarawak.

Sementara Adlin sudah membuktikan kemampuannya mengendalikan acara besar ketika mengacarakan Anugerah Skrin akhir tahun lalu digandingkan dengan Nurul Syuhada.

Ditemui sebaik acara selesai, Shahira yang kini mengandung tiga bulan mengakui teruja apabila sekali lagi menerima tawaran daripada penganjur untuk mengendalikan ABPBH08.

“Ini kali pertama saya bekerja dengan Adlin. Walaupun pertama kali digandingkan, rasanya kami tidak akan menghadapi masalah kerana Adlin juga berpengalaman.

“Selaku pengacara, saya akan cuba menjadi diri sendiri dan selebihnya memastikan acara berjalan lancar dan mengikut skrip diberikan. Cuma saya harap jangan berlaku kesilapan.

“Maklum saja, saya ini kuat latah, bimbang nanti terlepas cakap. Begitupun, perkara itu selalunya menjadi bahan lawak kepada penonton kerana ia keluar secara spontan,” katanya.

Shahira yang akan menggayakan baju ciptaan Michael Shu pada malam kemuncak pada 12 April nanti, tidak ditemani Adlin ketika sidang media berlangsung.

 

 

Sementara itu beberapa penyanyi popular sudah memberi pengesahan akan menghangatkan lagi pentas ABPBH08 yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highland, Pahang seperti Datuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Faizal Tahir, Jamal Abdillah serta penyanyi muda sedang meningkat naik seperti Aizat, Diddy, Siti Sarah, Ayu, Farah Asyikin dan Stacy. Pada majlis itu, Faizal juga muncul dengan imej baru berambut pendek.

Bagi Farah Asyikin, dia menganggap peluang mengadakan persembahan pada malam ABPBH08 sebagai medan terbaik untuk mengetengahkan bakatnya kepada umum.

“Saya akan mendendangkan lagu single pertama daripada album baru, Hello. Dengan peluang diberikan ini, saya mahu memberikan persembahan terbaik.

“Sebelum ini ramai orang mengenali saya menerusi lagu didendangkan, tetapi jarang melihat persembahan yang saya lakukan. Antaranya persembahan di majlis penganugerahan yang pernah saya buat di Anugerah Planet Muzik.

“Begitupun saya berasakan impak bakal diperoleh daripada persembahan dilakukan di ABPBH08 lebih besar kerana ia menjadi tumpuan dan menghimpunkan warga seni dari semua cabang,” katanya.

Turut menarik perhatian apabila penganjur turut mengumumkan segmen persembahan lagu 60-an dan untuk itu penggiatnya seperti Datuk A Rahman Hassan, Jeffrydin dan L.Ramlee diberi penghormatan untuk bersama-sama menggegarkan pentas ABPBH08.

Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Siapa Bilang Aku Tak Sayang, L.Ramlee terharu apabila penganjur ABPBH08 menghubunginya untuk mengadakan persembahan bersama rakan seangkatan seperti Jeffrydin dan Rahman Hassan.

“Saya benar-benar terkejut kerana dijemput mengadakan persembahan pada majlis besar. Apatah lagi irama 60-an jarang diketengahkan dalam acara seperti ini. Pada saya, apabila mereka menjemput saya ia satu penghormatan,” katanya.

Pada waktu sama, penyanyi yang kini sudah 12 tahun pencen dan menetap di Kepala Batas, Pulau Pinang belum memutuskan lagu popularnya yang mana bakal didendangkan nanti.

Ramai artis popular turut dijemput menyampaikan trofi kepada pemenang 16 kategori dipertandingkan pada malam bertemakan Sentuhan Tenun itu termasuk pasangan pengantin baru, Que Haidar / Linda Jasmin, Mawi/ Ekin dan Lis Dawati bersama Fauzi Nawawi.

Turut disenaraikan, Saidah, Sairah, Maya Karin, Zizie Ezette, Lisa Surihani, Farid Kamil dan Fizo Omar. Majlis gemilang ABPBH08 akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio rasmi, Hot FM bermula jam 9 malam.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: