Bintang Idola Berita Harian : Umur Bukan Halangan

18 Mar

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my

PESERTA veteran, Mohd Jaafar (kiri) dan Kamal bersama peserta paling muda, Faris, menunjukkan nombor penyertaan Bintang Idola Berita Harian.

BIBH di Kuala Terengganu dapat sambutan amat menggalakkan

USIA emas mencecah 70 tahun bukan penghalang buat Kamal Buyong atau lebih dikenali sebagai Bob Kamal untuk menyertai Pertandingan (BIBH) yang diadakan sempena siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08) di pasar raya besar Mydin Mall, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Bapa kepada 12 anak itu yang memiliki kumpulan muzik digelar Alamanda adalah antara lebih 100 peserta yang mengambil bahagian pada pertandingan mencungkil bakat nyanyian anjuran Berita Harian itu, yang mana Kuala Terengganu menjadi lokasi ketiga daripada enam siri jelajah ABPBH 2008.

Kamal berkata, penyertaannya dalam pertandingan itu adalah atas dasar suka-suka bagi memberi suntikan semangat dan cabaran kepada golongan lebih muda daripadanya untuk mengetengahkan bakat nyanyian bagi memeriahkan lagi dunia hiburan tempatan.

“Pak cik masuk pertandingan ini suka-suka, untuk cuba nasib dan menggalakkan orang muda mengambil bahagian. Pak cik memang sering menyanyi di majlis orang kahwin dan buat persembahan di Terengganu Equestrian Resort (TER) secara tetap bersama kumpulan Alamanda.

“Pak cik bangga dengan usaha Berita Harian mengadakan program sebegini kerana kita memang ramai bakat terpendam yang boleh diketengahkan untuk industri hiburan tempatan,” kata pembaca setia Berita Harian itu yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang nyanyian.

Seorang lagi peserta warga emas ialah Mohd Jaafar Mohd Ali, 56 dari Batu Buruk, manakala murid darjah Dua Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, di sini, Faris Razali menjadi peserta termuda menyertai pertandingan itu.

Bagi Faris pertandingan itu diharap boleh menjadi landasan untuknya menunjukkan bakat nyanyian dimilikinya sebelum melangkah ke peringkat lebih jauh demi mencapai cita-cita menjadi penghibur terkenal negara seperti idolanya, Allahyarham Sudirman Arshad dan Datuk Siti Nurhaliza kelak.

Bagaimanapun, BIBH di Kuala Terengganu ini dimenangi oleh peserta dari Kedah, Noor Nazanil Farahan Mohd Hussin, 20, yang menerima hadiah tunai RM500. Tempat kedua dimenangi oleh Mohd Azfar Shuhaimi dari Dungun yang menerima wang tunai RM300, dan pemenang ketiga dengan hadiah wang tunai RM200 pula ialah Tuan Izat Izzuddin Tuan Abd Aziz dari Kuala Berang. Mereka juga menerima barangan dan sijil.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu, Wan Abd Hakim Wan Mokhtar. Turut hadir menyaksikan pertandingan BIBH ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Manja Ismail; Pengarah Urusan Mydin Mall, Murad Ali Mydin dan Pengurus Residen Sumai Suite Hotel, Ismail Mad Salleh.

Sementara itu, Pembantu Pengurus Pemasaran Perdagangan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Shamsaini Salim, berkata berbanding dua lokasi terawal iaitu Pasir Gudang, Johor dan Sungai Petani, Kedah yang mengadakan pertandingan BIBH sempena ABPBH 2008, Kuala Terengganu adalah lokasi yang mendapat sambutan paling hangat baik, daripada peserta dan pengunjung.

Katanya, selain BIBH yang diadakan bagi mencungkil bintang baru dalam industri hiburan tempatan, penganjur turut mengadakan aktiviti sampingan seperti peraduan Undi dan Menang, penjualan barangan cenderahati Berita Harian, peluang mengambil gambar dengan logo Berita Harian dan pameran koleksi gambar ABPBH.

“Kita berbangga kerana di Kuala Terengganu ini sambutannya paling baik setakat ini. Acara ini bukan saja membolehkan kita mempromosikan kemuncak ABPBH yang bakal diadakan di Genting Highlands nanti, malah juga mendekatkan Berita Harian dengan pembaca di seluruh negara.

“Seperti BIBH ini, ia sebuah program berkonsepkan rancangan realiti, cuma bezanya ia tidak disiarkan di televisyen, sebaliknya di surat khabar.

“Pertandingan ini diadili oleh juri seperti komposer terkenal Julfekar dan Rosli Mohalim (bekas gitaris Sweet Charity) dan diketuai Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah,” katanya.

Beliau berkata, daripada lebih 100 penyertaan, hanya 10 peserta terbaik akan terpilih ke peringkat akhir BIBH yang diadakan bermula jam 11 pagi ini sebelum melangkah ke pusingan akhir di lokasi penamat siri jelajah ABPBH 2008 di Klang Parade, Selangor.

Selain meraih hadiah wang tunai RM2,000 berserta hamper dan sijil, Juara Keseluruhan berpeluang mengadakan persembahan pada Malam Kemuncak ABPBH08 di Genting Highlands.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: