Aura Glamor

18 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Mila kagum apabila dirinya dilimpahi kilauan koleksi barangan mutiara Rafflesia

GADIS genit dengan liuk lintuk tubuh badan Mila Jirin comel serta diimbangi bakat, seakan-akan sebiji mutiara yang bersinar melimpahi aura glamor kehidupan penyanyi dan usahawan muda ini.

Lagu single pertama, Persis Mutiara yang didendangkan gadis kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang berusia 21 tahun ini menjadi lambang kepada dirinya dilimpahi kilauan batu mutiara tajaan Rafflesia The Pearl Centre petang hening minggu lalu.

Seolah-olah kagum apabila buat kali pertama disalut mutiara yang menaja Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Mila menyifatkan kualiti yang ada pada koleksi barangan Rafflesia begitu mewah dan bersesuaian dengan harga yang ditawarkan.

Selain hadir ke premis Rafflesia untuk mencuba koleksi mutiara hitam, Mila atau Noorsyarmila ini bakal menggayakan rekaan Nik Erwan Roseli yang turut menyertai pertandingan Anugerah Pereka Popular ABPBH 2008.

Kata Mila, sebelum ini dia pernah bekerjasama dengan pereka fesyen itu beberapa kali termasuk ketika berlangsungnya Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (Mifa) serta menerima tajaannya untuk pembikinan klip video tahun lalu.


FINALIS kategori Penyanyi Wanita Popular menggayakan koleksi mutiara Rafflesia.

“Tahun lalu, Nik ada menghubungi pengurus Mila dan dia pernah menyatakan hasrat menaja pakaian untuk ABPBH. Tetapi ketika itu, Mila sendiri tidak tahu akan layak sebagai Top 5 dalam kategori Penyanyi Wanita Popular.

“Demi menghargai keinginannya selepas diumumkan antara lima calon bagi kategori Penyanyi Wanita Popular, ingatan Mila terus kepadanya. Alhamdulillah akhirnya kami dapat bekerjasama.

“Selepas berpeluang memperaga busana rekaannya di Mifa, Mila dapati rekaannya cukup melekat di tubuh Mila yang genit ini. Dengan saiz badan Mila yang kecil, memang kesukaran mendapatkan pakaian yang sesuai tidak dapat disangkal lagi. Langkah terbaik untuk menyembunyikan kerendahan Mila ialah memakai gaun potongan pendek paras kaki berbanding potongan labuh,” katanya.

Menurutnya, dia ada melihat contoh rekaannya berkonsepkan rock tapi selepas membuat pertimbangan dengan pihak pengurusan, Maestro Talent & Management, gaun pendek ‘comel’ menjadi pilihan.


KOLABORASI Mila dan pereka fesyen, Nik Erwan Roseli dilihat serasi kerana sudah beberapa kali bekerjasama.

Katanya, bukan bermaksud tidak mahu mencuba gaya rock, cuma pihak Maestro bimbang dia tidak mampu membawa konsep itu.

“Paling penting, rekaan Nik tak akan terus membuatkan Mila jadi pendek lagi,” katanya manja.

Tahun lalu, Mila berjaya dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Popular ABPBH 2007, namun untuk kali ini, dia secara sejujurnya untuk tidak meletakkan harapan yang tinggi apatah lagi bersaing dengan nama hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza, Stacy, Jaclyn Victor dan Elyana.

Katanya biarpun berbunyi agak klise, sudah memadai apabila berada di peringkat top 5.

“Kalau ada rezeki untuk menang, Mila memanjat kesyukuran. Secara peribadi, Mila belum layak untuk berada di dalam kategori itu, malah banyak lagi pengalaman yang perlu Mila timba demi memantapkan kerjaya ini,” katanya merendah diri.

Cinta Mila kepada bidang perniagaan

DUA tahun merentas onak duri dunia seni, namanya acap kali menerima tempias kontroversi. Satu persatu kisah kurang enak hinggap ke sisinya seperti kisah cinta tidak kesampaian rakan seperjuangannya, Ebi, gosip dibela ‘sugar daddy’, menjadi perempuan simpanan dan masalah membabitkan seorang pereka fesyen.

Lumrah menjadi anak seni, anak sulung tiga beradik ini mengakui pernah menangis dan tersentak apabila gosip membabitkan dirinya mula tumbuh melata.

Seiring dengan kematangan yang diperoleh hari demi hari, Mila kini mengambil pendekatan memekakkan telinga kerana percaya gosip itu hanya mainan dunia seni.

“Menjadi kebiasaan apabila gosip itu mula tersebar, orang yang tidak tahu-menahu perkara sebenar akan mula mempercayai biarpun kebenaran hanya Tuhan yang tahu. Dulu apabila Mila dihentam, Mila akui tidak mampu mengawal emosi dan mudah tersentuh.

“Sekarang Mila sudah mula membiasakan diri dengan rencah dunia hiburan dan tidak terlalu mengambil peduli terhadap gosip liar. Mila tak boleh cepat melatah kerana orang yang suka kita jatuh pasti seronok kalau kita cepat mengalah. Apa yang datang kini ibaratnya seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri,” katanya positif.

Mila sambil berseloroh cinta hatinya kini hanyalah kepada perniagaan keluarganya, LuvMILA Corporation Sdn Bhd (LuvMILA) yang beroperasi sejak 0gos tahun lalu. Sebelum ini, Mila pernah mempunyai perkongsian saham dengan syarikat MC Voices & Stars Sdn Bhd, bagaimanapun Mila sudah menarik diri.

“Biarpun sudah tidak lagi bersama MC Voices & Stars, syarikat itu masih lagi bekerjasama dengan Maestro untuk beberapa projek yang dilaburkan.

“Mengenai perniagaan, alhamdulillah sambutan produk kosmetik dan makanan yang diterima amat menggalakkan. Mujurlah ibu bapa Mila banyak membantu menjalankan urusan di pejabat kami di Kota Damansara,” katanya yang sedang merancang pembikinan album kedua dan besar kemungkinan mengikuti keadaan pasaran dengan memasarkan single.

Dua lagu yang turut dinyanyikan Mila turut mendapat sentuhan nukilan lirik daripada Allahyarham Loloq iaitu Cintamu Sayap dan Sanubariku.

Penyanyi yang tak cerewet

SEMENTARA itu, pereka fesyen berkelulusan Diploma Grafik dan Ijazah Senireka Fesyen di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Shah Alam menyatakan rasa senang dapat bergandingan menaja busana kepada Mila. Malah, Nik Erwan Roseli turut menaja ibu mengandung, Dynas.

Pereka berusia 25 tahun ini berpendapat saiz genit yang dimiliki Mila membuatkan penyanyi itu cocok sekali menggayakan rekaan yang menampakkan dirinya comel.

“Mulanya saya mahu menggunakan kombinasi warna hitam dan coklat dengan sedikit sentuhan rock. Atas permintaan Maestro dan persetujuan semua pihak, akhirnya untuk menampakkan Mila comel, saya cetuskan idea dan ilham gabungan dua warna terang.

“Saya tiada masalah bekerjasama dengan sesiapa pun. Pada pandangan saya, Mila sangat sporting, berfikiran terbuka, tak cerewet dan boleh memberi pendapat. Apa yang penting gaya busana ini akan diperkuatkan dengan solekan dan dandanan rambut,” kata Nik Erwan Roseli.

Profil Mila

NAMA SEBENAR: Noorsyarmilla Jirin

TARIKH LAHIR: 23 Disember 1987

ASAL: Teluk Kumbar, Pulau Pinang

PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Teknik Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Air Hitam, Pulau Pinang

PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia musim ke-5 (AF5) dan Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007

ALBUM: Persis Mutiara

FILEM: Apa Kata Hati dan Lu Pikirlah Sendiri The Movie, manakala suaranya turut digunakan dalam filem muzikal Walt Disney, High School Musical yang dialih ke bahasa Melayu. Mila melakonkan watak Gabriella

PERNIAGAAN: Mengusahakan produk kecantikan, Luv Mila yang diselenggara Luv Mila Corporation Sdn Bhd (www.luvmila.com.my)

Info Nik Erwan Roseli

Rekaannya pernah digayakan pelakon dan penyanyi terkenal seperti Siti Sarah, Sharifah Aleya, Farawaheeda, Noryn Aziz, kumpulan Mendua, Milla AF5, Lisa Suriani, Irma Hasmie, The Fabulous Cats.

Untuk mendapatkan khidmat pereka muda ini, hubungi 016-2500935/017-2431482 atau emel nikerwanroseli@yahoo.com.my atau kunjungi laman blog http://www.nikerwanroseli.blogspot.com.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: