Tomok, Nine Jelas Bersinar

17 Mar

Oleh Elrafaei Sapi

Rap
BIARPUN dikenali sebagai penyanyi sebelum ini, rezeki tidak berpihak pada Norafizah Mohammad Yassin atau Pija apabila tersingkir pada konsert keempat program realiti One In A Million musim ketiga, Jumaat lalu.

Pija, yang juga juara program realiti Mentor musim pertama, dikatakan memiliki vokal mantap, nyata gagal memikat hati penonton yang mengundi menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Juri tetap, Paul Moss dan Syafinaz Selamat berpendapat penyingkiran Pija adalah lumrah program realiti TV yang meletakkan keputusan di tangan penonton untuk memilih peserta kegemaran mereka.

Pija, yang sepatutnya menyampaikan lagu Satu Harapan nyanyian asal Jaclyn Victor pada malam itu, menyatakan dia terpaksa akur dengan keputusan dibuat penonton.

“Saya sudah cuba memberikan persembahan terbaik pada setiap minggu, tetapi saya tidak boleh buat apa-apa apabila penonton bertanggungjawab dalam menentukan kedudukan peserta menerusi SMS,” katanya.

Rakan Pija, Amylea, yang juga finalis Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), masih meneruskan cabaran dengan menyampaikan lagu popular kumpulan Estranged, Yang Pernah pada konsert minggu ini.

Namun, dia dikritik kerana persembahan tidak konsisten antara genre jazz dan rock.

Komen Syafinaz, Amylea perlu menentukan arah tuju genre yang sesuai dengan dirinya.

“Kita bukan mahu mencari penyanyi yang boleh menyanyi pelbagai genre lagu, tetapi penyanyi itu perlu pastikan satu genre yang sesuai dengan diri dan buat yang terbaik. Saya bukan tidak suka dengan cara Amylea, tetapi dia harus perbaiki masalah itu,” katanya.

Pemenang imuniti minggu ketiga, Aweera, turut berhadapan masalah ketika menyanyikan lagu kumpulan Sofaz, Janjiku. Persembahan kali ini menampakkan dia seperti lupa lirik pada permulaan lagu.

 

 

Bagaimanapun, Aweera menafikan dia lupa lirik, tetapi menghadapi masalah kerana tidak dengar muzik ketika membuat persembahan.

Namun, dia tetap kecewa kerana gagal memberikan persembahan baik kali ini.

Komposer Fauzi Marzuki yang turut hadir sebagai juri jemputan menasihatkan Aweera menjiwai lagu dengan mendalam untuk memberikan persembahan lebih baik pada masa akan datang.

Bagi peserta Esther dan Fify, pemilihan lagu ciptaan komposer Aidit Alfian gagal menyerlah kehebatan masing-masing.

Esther menyampaikan lagu popular Datuk Siti Nurhaliza, Dialah Di Hati manakala Fify dengan Kalis Rindu (Elyana). Persembahan kedua-dua penyanyi itu dikritik seperti mengikut gaya penyanyi asal.

Namun, kegagalan mereka itu bukan atas kesilapan sendiri, tetapi Aidit terlebih dulu memberi nasihat kepada kedua-dua penyanyi ini agar tidak terlalu mengubah melodi lagu asal. Syafinaz memberi teguran kepada komposer itu kerana sepatutnya peserta diberi lebih kebebasan untuk menyampaikan persembahan mengikut cara sendiri.

Nyata, kelemahan pada persembahan Amylea, Aweera, Esther dan Fify memberi peluang pada Tomok untuk menyerlah dengan persembahan lagu La La La Kerjalah, nyanyian asal kumpulan Meet Uncle Hussain.

Tomok berjaya membawa lagu itu dengan gaya sendiri yang berbeza dengan versi asal.

Paul menyatakan Tomok berjaya mengubah rentak lagu asal mengikut cara sendiri manakala Syafinaz menyifatkan persembahan Tomok menyeronokkan.

Fauzi juga menyukai persembahan Tomok, tetapi memberi nasihat agar lebih berhati-hati pada aspek pitching atau nada suara.

Untuk persembahan Nine dengan lagu Aku Dan Kamu, vokalis kumpulan Coco ini turut diminati tiga juri kali ini. Paul berkata, Nine mampu menyampaikan lagu itu dengan menarik walaupun Fauzi berpendapat Nine masih belum menampakkan cara nyanyian sendiri.

Syafinaz pula memuji persembahan Nine sebagai berjaya menarik perhatian ramai peminat wanita.

Turut mendapat perhatian juri dan penonton di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam adalah Simon yang menyanyikan lagu Generasiku.

Kata Syafinaz, persembahan Simon lebih agresif berbanding minggu sebelumnya dan Fauzi menyukai cara tersendiri peserta ini.

Bagaimanapun, peserta Ridzuan atau Rizu yang mendendangkan lagu Cinta, dinasihatkan Syafinaz agar lebih fokus pada nada tinggi dan rendah. Begitu juga dengan Anith yang mempertaruhkan lagu Anuar Zain, Mungkin dianggap Syafinaz satu percubaan yang berani.

Fauzi pula memberikan penekanan pada pitching manakala Paul berharap penyanyi ini masih di sini pada minggu seterusnya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: