Seni Tenun Diangkat Tema Malam ABPBH 2008

17 Mar

SERI KEMBANGAN: Seni warisan Melayu terus dimartabatkan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 apabila acara penuh berprestij itu mengangkat seni tenun sebagai tema pada malam kemuncak yang akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, 12 April ini.

Selepas seni batik yang diangkat sebagai tema pada edisi ke-21, ABPBH 2008 yang bertemakan Sentuhan Tenun bakal menyaksikan selebriti filem, televisyen dan radio memperagakan rekaan berasaskan songket pula.

Pengerusi Pengelola ABPBH 2008, Hanizam Abdullah, berkata pemilihan seni tenun sebagai tema acara kemuncak dilihat amat bertepatan dalam usaha mengangkat warisan tradisi negara ke tahap lebih tinggi.

“Semoga dengan keberanian ABPBH 2008 ini, ia memberikan persepsi baru terhadap seni tenun atau songket. Selama ini, pakaian berasaskan songket dianggap sesuai untuk sesetengah acara saja. Diharapkan dengan usaha murni ABPBH, penggunaan songket akan lebih meluas di kalangan masyarakat kita,” katanya.

Hanizam yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian berkata demikian ketika ditemui pada majlis mengumumkan tema, pengacara serta artis yang akan mengadakan persembahan pada malam kemuncak ABPBH nanti.

Kata Hanizam, bagi memberikan kelainan kepada acara kemuncak itu juga, pelakon Adlin Aman Ramlie dan Sharifah Shahira dipilih sebagai pengacara.

“Kedua-duanya diyakini dapat menghidupkan lagi suasana pada malam berkenaan dengan gaya pengacaraan mereka yang bersahaja,” katanya.

Sementara itu, seramai 18 selebriti akan menaiki pentas sebagai penyampai anugerah. Antaranya ialah Amy Mastura, Ayu Raudah, Farid Kamil, Fizo Omar, Lisa Surihani, Mawi dan Ekin, Maya Karin, Saidah dan Saerah, Nora Danish, Norish Karman dan Zizie Ezette.

Acara persembahan pula bakal menyaksikan gabungan artis baru dan lama termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Datuk A Rahman Hassan, Faizal Tahir, Aizat, Hujan, Diddy, Siti Sarah, Ayu, Stacy, Jamal Abdillah, Jeffrydin, L Ramlee, Farah Asyikin dan Kristal.

Turut diumumkan ialah penganjuran Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH 2008 membabitkan 25 pereka tempatan. Ia diadakan buat kali kedua selepas kejayaan penganjurannya pada edisi sebelum ini.

ABPBH 2008 yang mempertandingkan 16 kategori membabitkan pelakon, penyanyi, pelawak, penyampai radio dan pengacara televisyen akan berakhir pada 12 April ini di Genting Highlands.

Pemenang setiap kategori dan Bintang Paling Popular adalah berdasarkan undian pembaca Berita Harian/Berita Minggu bermula 19 Februari lalu sehingga 3 April ini. Bagi kategori pembaca, pemilihan pemenang dibuat berpandukan slogan terbaik, bukan undian tepat.

Pemenang Bintang Paling Popular akan memandu pulang kereta Nissan Sylphy 2.0L berharga RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, barang kemas Rafflesia bernilai RM150,000 tajaan Rafflesia The Pearl Centre, set perabot bernilai RM30,000 tajaan Empire Classic Furniture Sdn Bhd dan pakej penginapan bernilai RM8,000 tajaan Palace of the Golden Horses.

Sementara pembaca bertuah pula memenangi kereta Nissan Grand Livina 1.8L berharga RM94,000 dan barang kemas Rafflesia bernilai RM50,000.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: