Sayu Kenang Nasib Sirah Junjungan

17 Mar

Oleh Nor Akmar Samudin

Rap
MENYAMBUT hari kelahiran yang ke-41 pada 14 Mac lalu tiada yang dipinta Fatimah Rahmad atau Erma Fatima kepada Yang Maha Esa melainkan ingin membaiki kekurangan diri dan usahanya memperjuangkan syiar Islam menerusi karya seni diberkati.

Katanya, apabila orang bertanya azamnya pada sambutan tahun baru dan hari jadi, dia hanya mampu terdiam kerana tidak pernah ada azam.

“Saya hanya ingin terus membuat kerja kebajikan dan meningkatkan amalan terhadap Allah. Dengan melakukan banyak kerja kebajikan, ia memberi ketenangan kepada saya.

“Saya bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang rapat dan bahagia. Setiap tahun pasti Umie (Aida) akan membuat kejutan untuk hari jadi saya.

“Ingatkan kali ini Umie akan buat kejutan pada hari jadi itu sendiri, rupanya dia sudah merancang sehari lebih awal pada 13 Mac. Saya terharu kerana Umie, emak dan adik-beradik lain tidak pernah melupakan hari jadi saya,” katanya.

Akui Erma, Umie memang handal dalam hal ‘mengenakan’ orang. Tahun lalu dia mengadakan majlis hari jadinya yang ke-40 di McDonald’s.

“Saya katakan kepadanya, apalah dah tua macam ini sambut hari jadi di ‘tempat budak-budak’. Alasannya, dia mahu saya menikmati kembali alam remaja yang sudah lama ditinggalkan.

“Apabila tiba hari jadi adik-beradik yang lain, kami akan meraikannya juga sebagai tanda kasih. Bapa dah tiada, hanya tinggal emak dan adik-beradik.

“Sebagai anak sulung, saya bertanggungjawab merapatkan silaturahim dan hubungan persaudaraan antara kami. Saya juga bertuah mempunyai suami dan anak-anak yang memahami minat saya,” katanya.

Untuk hari jadi Erma tahun ini, Umie buat kejutan dengan membawa kek ke pentas Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 13 Mac lalu. Sebaik persembahan teater Sirah Junjungan 11-Tahajud Cinta melabuhkan tirainya, Umie dan ibu mereka, Asmah Ali; adiknya, Betty; rakan baiknya, Zahida Rafik; produser Zaiton Mohd Jiwa dan Raja Azmi Raja Sulaiman, beramai-ramai ke pentas itu.

 

 

Datuk Siti Nurhaliza turut sama memeriahkan kejutan itu. Bersama penonton yang hadir, mereka menyanyikan lagu ‘Allah Selamatkan Kamu’. Ternyata Erma cukup terharu menerima kejutan yang tidak disangka itu.

Sesudah Erma memberi taklimat kepada pelakon dan kru Sirah Junjungan pada malam itu, mereka berkumpul beramai-ramai sekali lagi di sudut luar IB sambil berbual dan menikmati kek cawan ditempah Zahida.

Dalam kegembiraan menyambut hari jadi itu, Erma sayu mengenangkan Sirah Junjungan kurang sambutan. Sejak pementasan kali pertama tahun lalu dan yang dipentaskan tahun ini, tiada yang mahu menaja.

Malah pementasan membariskan artis yang mempunyai nama besar, Siti, Amy Search, Jamal Abdillah dan Mawi belum mampu menarik penonton memenuhi kerusi di dewan itu.

“Segala usaha sudah saya lakukan namun jualan tiket sangat perlahan, tetapi ia tidak mematahkan semangat saya kerana jika dikenang perjuangan Rasulullah s.a.w menyebarkan ajaran Islam lagi susah.

“Lalu saya dapat rasakan halangan yang diterima ini sedikit saja dibandingkan dengan Baginda.

“Saya akan terus menerbitkan teater dan drama berteraskan ajaran Islam.

“Usaha ke arah itu berputik tiga tahun lalu. Insya-Allah tahun depan saya akan terbitkan teater Islamik lagi tetapi cerita lain,” katanya.

Dalam penerbitan drama pula, Erma menghasilkan Tetamu Allah, Qasidah Buat Laila, Nur Kasih Di Jabal Rahmah, Khalifah dan Tasbih Cinta.

“Itulah sedikit sumbangan saya kepada agama Islam. Saya yakin Allah akan membantu. Saya tak faham kenapa apabila buat benda yang baik, masyarakat sebangsa dan seagama kurang menyokong. Teater ini bukan memberi tarbiah kepada sesiapa tetapi menceritakan sejarah Nabi Muhammad s.a.w.

“Pernah penganut agama Buddha mengadakan pementasan mengenai agama itu dan saya tengok setiap malam tempat persembahan itu penuh. Tetapi ‘orang kita’ susah benar hendak datang apabila kita buat cerita mengenai Islam, perjuangan Rasulullah dan sahabat baginda.

“Saya teringin buat drama dan pementasan berlandaskan Islam selepas tengok banyak sangat drama bercorak sebegitu dari Indonesia disiarkan di televisyen negara ini.

“Sebelum ini kebanyakan program Islam yang ada di negara kita berbentuk ceramah.

“Bagaimanapun, saya rasa nilai murni yang ditonjolkan dalam agama Allah ini lebih mudah difahami apabila ia disampaikan dalam bentuk seni termasuk drama,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: