Zon Abie: Beri Peluang Tiara Jalankan Tugasnya

14 Mar

Oleh Abie Abdullah

Rap
ASSALAMUALAIKUM! Ramai di kalangan kita yang suka sangat berprasangka buruk, mudah menjatuhkan hukum dan skeptikal tak tentu pasal. Biarpun angin sekadar bertiup sepoi, lagak mereka bagaikan tukang ramal, menjangkakan ribut taufan pasti membadai.

Pembuka bicara Zon Abie ini saya cuba sesuaikan dengan pemilihan Datin Seri Tiara Jacquelina sebagai Pengetua AF7 yang baru diumumkan Isnin lalu. Banyak kontradiksi timbul apabila ramalan tukang tilik tadi tidak mengena langsung, walau senipis kulit bawang.

Pelbagai pandangan timbul, kebetulan yang terpandang oleh saya banyak negatif. Baik di saluran @15 mahupun Internet yang menjadi tempat manusia melepas ketidakpuasan hati masing-masing dan tidak kurang juga cakap-cakap di kopitiam.

Dalam erti kata lain, mereka tak setuju dengan pelantikan itu. Mungkin mereka fikir, mereka lebih layak menentukan siapa yang layak duduk di kerusi Pengetua AF7. Perlu diingat juga yang Malaysia negara demokrasi, sesiapa saja boleh bersuara asalkan tidak tergolong dalam puak pelampau.

Belum sehari pengumuman pemilihan tonggak Puteri Gunung Ledang dilakukan Astro, sudah ramai menyatakan pandangan. Bagaikan ternanti-nanti untuk memberi komen dan saya percaya, kalau bukan nama Tiara yang naik sekalipun, komen tetap komen sebab ramai bijak pandai di luar sana.

Sebaik saja nama itu yang bakal mengetuai AF7, ramai yang meroyan kerana mereka tidak melihat perspektif positif. Sebenarnya yang meroyan dan meraban ini menggambarkan AF sememangnya mempunyai peminat dan pemerhati besar.

Bagaimanapun, komen itu seolah-olah tidak memberi ruang kepada Tiara untuk membuktikan kebolehannya. Belum sehari pun, mereka sudah mencemuh. Paling ramai mempertikaikan bakat nyanyian dan muzik Tiara yang kononnya tidak setara dengan beberapa calon Pengetua AF7 yang disebut-sebut sebelum ini.

Sesetengah mereka ada juga bertanyakan saya, siapa yang saya suka berada di kerusi itu? Jawapan saya – saya tidak ambil pusing pun hal itu kerana saya percaya Astro akan pilih yang terbaik untuk program terbitannya, itu yang pertama dan kedua ‘mencungkil’ bakat seni orang kita.

Selaku orang bercakap melalui tulisan ini, senang saja saya katakan. Kalau Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-50 itu gagal melakukan tugasnya dengan baik, pasti ada kritikan panas dan andainya penyanyi Asmaradana itu berjaya melakukan transformasi, dia layak diberi pujian.

Seperti dimaklumkan di atas, selaku penerbit yang sudah enam tahun melangsungkan kepelbagaian gimik dan kejutan untuk penonton AF, Astro perlu lebih kreatif untuk mencari kelainan. Pun begitu, kelainan pastilah dibuat selaras dengan keperluan program itu sendiri.

 

 

Saya percaya, Astro takkan mahu ‘membunuh AF7’ melalui kelainan yang mereka cari. Jadi, sudah tentu pemilihan Tiara selain daripada kelainan untuk musim ini, Astro mempunyai percaturan sendiri untuk melihat AF7 semakin menarik daripada yang terdahulu. Insya-Allah!

Astro juga seperti penyiar lain yang mahu melahirkan bintang baru dari stesen masing-masing. Jenama itu perlu ada kerana era kini era mencari bakat, walaupun kita tahu bakat itu sendiri belum tahu ke mana destinasi masing-masing selepas tamat bergelar peserta realiti TV.

Berilah peluang kepada Tiara untuk bernafas. Yang penting, jangan musnahkan larva dalam kepompong yang sedang bergayut di ranting sebelum ia bertukar menjadi rama-rama cantik bakal terbang di halaman kita.

Saya percaya orang akan mengecop saya sebagai pro-Tiara. Terpulang, kerana saya tahu meletakkan posisi diri sebagai penulis.

Saya menyokong pelantikan Tiara selaku Pengetua AF7 biarpun ramai mempertikaikan dan cuba mengelirukan khalayak masyarakat akan kredibilitinya hanya kerana dia tidak mempunyai latar masa yang panjang sebagai penyanyi atau tidak memiliki vokal sehebat Datuk Siti Nurhaliza.

Tidak perlu saya melihat zaman KitKat Clubnya dulu, cukup dengan kesungguhannya membina filem Puteri Gunung Ledang sehingga naskhah itu semakin dihargai di Panggung Sari, Istana Budaya buat tiga musim serta P Ramlee The Musical selama dua musim.

Barangkali ada yang tidak setuju, pementasan ini menjadi ukuran, tetapi saya percaya kesungguhan Tiara dalam membuat apa saja, pasti ada tanda aras baru yang tercipta.

Bukan saja yang kita lihat di atas pentas, malah saya melihat daripada aspek pemasaran, publisiti dan belakang tabir. Tiara ada kesungguhan dan kreativiti itu yang menghalanya kepada kualiti.

Tidak perlu untuknya mempunyai trofi Anugerah Industri Muzik hanya untuk menjadi pengetua di akademi muzik kerana tidak semua komposer boleh menyanyi dengan baik, tidak semua pengkritik lagu tahu pasal muzik dan tidak semestinya pengulas filem mampu buat filem.

Bak kata Pengurus Kanan Astro Ria, Khairul Mizan Shagul: “Kalau ada yang tanya mengapa Tiara kerana dia bukan penyanyi, saya rasa dia juga ada banyak kelebihan.”

Bagi saya, lebih penting adalah pengurusan pembentukan pelajar AF7 nanti sebagai artis yang benar-benar layak dipanggil artis dan berhala tuju.

Bukan bermakna lepasan AF sekarang tiada yang berjaya, cuma pandang sendiri berapa kerat yang menjadi penyanyi? Kalau nasib baik pun menjadi pelakon untuk teruskan survival sebagai artis dan selebihnya terpaksa akur dengan hakikat semasa yang memaksa mereka balik kampung.

Tujuh syarat diletakkan Tiara untuk menjadikan transformasi sebuah peralihan yang jitu. Bagaimanapun, kita merancang, Tuhan yang lebih tahu mana yang terbaik untuk kita.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: