Tak Patah Semangat Walaupun Sambutan Dingin

13 Mar

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

MAZLAN Tahir mengungkap susur galur perjalanan hidup Rasulullah SAW dengan berkesan.

Eirma Fatima mahu terus angkat teater muzikal Islam agar sama hebat seperti pementasan komersial

BARANGKALI apa yang dipersembahkan Eirma Fatima menerusi teater muzikal Islam, Sirah Junjungan – Tahajud Cinta keluar daripada arus komersial yang selama ini menguasai senarai pementasan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Biarpun pementasan itu adalah usaha kedua pengarah wanita berhati waja ini selepas musim pertama berlabuh, tahun lalu ternyata khalayak masih belum menerima sepenuhnya kehadiran genre muzikal itu sekali pun ia mengangkat perjalanan hidup kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.

Sambutan dingin dengan penjualan tiket yang perlahan, terutama pada minggu pertama pementasan tidak pernah mematahkan semangat Eirma.

Sebaliknya, pengarah berani itu akan terus mengangkat teater muzikal Islam menjadi sebuah pementasan besar dan berdiri kukuh sama hebat seperti pementasan komersial lain.

Senyum hambar Eirma datang bersama kekuatan dan keutuhan jiwanya untuk menyebarkan mesej suci Islam. Eirma bertekad, biar apa juga halangan ditempuhi perjuangan menegakkan agama harus diteruskan sekali pun tubuh kecilnya tidak mampu menanggung dugaan.


SET pentas yang diperkemaskan memberi impak dalam pementasan kedua teater arahan Eirma Fatima.

Pementasan pertama yang berlangsung pada 9 Mac lalu, bersempena sambutan Maulidur Rasul mendapat dokongan Tabung Haji berjaya menyuntik semangat baru kepada Eirma.

“Tajaan yang diberikan Tabung Haji memberikan saya ruang untuk bernafas kerana wang itu dapat membayar pemuzik, penata gaya serta pereka set. Ia memberi sedikit kelegaan membuatkan semuanya berjalan lancar biarpun pada awalnya situasi pementasan ini berada dalam keadaan ‘nazak’.

“Saya berterima kasih kepada banyak pihak terutama Istana Budaya yang menghulurkan pelbagai bantuan untuk melancarkan pementasan Sirah Junjungan – Tahajud Cinta.

“Kami semua bekerja umpama sebuah keluarga besar dan semangat yang mereka tunjukkan membuatkan kami kuat, biarpun terlalu banyak tekanan terpaksa dilalui untuk kembali merealisasikan pementasan ini,” katanya ketika ditemui selepas pementasan, Isnin lalu.

Bagai ada sedikit jalur cahaya dalam kesuraman perjalanan pementasan itu kerana persembahan Sirah Junjungan – Tahajud Cinta pada 14 Mac ini ditempah oleh Exco Kebudayaan Kerajaan Negeri Selangor.

Satu permohonan Eirma, pembabitan pemimpin pembangkang tidak dipolitikkan kerana Rasulullah SAW milik semua umat Islam tanpa mengira fahaman dan perbezaan parti politik.

“Besar harapan saya jika pementasan ini turut disaksikan penonton bukan Islam supaya mereka dapat melihat serta memahami mengapa Nabi Muhammad SAW begitu dekat dan istimewa di hati umat Islam.

“Sirah Junjungan – Tahajud Cinta bukan naskhah untuk dipolitikkan kerana ia untuk semua yang ingin mengimbas sejarah perjuangan Rasulullah dalam menegakkan agama hingga tertubuhnya Darul Islam di Madinah,” katanya.

Eirma berkata, ingin sekali dia membawa pementasan itu ke Kelantan supaya dapat ditonton Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Saya ada mengundang beliau menonton pementasan ini, malangnya kerana komitmen lain jemputan itu tidak dapat dipenuhi.

“Sirah Junjungan – Tahajud Cinta bukan berkisar soal politik disebabkan itu saya ingin sekali mendengar reaksi serta komen beliau mengenai pementasan ini.

“Saya menghormati Tuan Guru Nik Aziz sebagai seorang ulama dan kerana itu saya berharap beliau dapat melontarkan pandangannya mengenai usaha ini,” katanya.

Berbicara mengenai pementasan kedua ini, Eirma bersyukur kerana semuanya berjalan lancar biarpun mempunyai ruang waktu terhad untuk latihan penuh.

Pementasan pertama musim kedua kata Eirma, masih mempunyai kecacatan, namun dia berpuas hati kerana semua tenaga produksi yang terbabit memberikan komitmen terbaik mereka.

“Kami cuma mempunyai dua malam untuk latihan penuh namun alhamdulillah kerana malam pementasan sebenar semuanya berjalan baik sedangkan pada hari latihan, kami berdepan sedikit masalah hingga pementasan terpaksa dihentikan selama 10 minit,” katanya.

Tahajud Cinta Eirma untuk Rasulullah

BERBANDING musim pertama yang disifatkan Erma agak ‘kosong’ dan longgar, pementasan musim kedua Sirah Junjungan – Tahajud Cinta lebih padat dengan pergerakan jalan cerita yang dipadatkan serta disokong 12 set pentas yang membantu menghidupkan jalan cerita.

Tahajud Eirma kepada Rasulullah disampaikan lewat skrip yang bergerak berdasarkan perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW hingga detik wafat yang mengundang rindu, malah meruntun air mata penonton yang menghayati perjalanan pementasan itu.

Eirma bertuah kerana teater ini dilatari oleh barisan pelakon hebat yang menterjemahkan sejarah hidup Rasulullah dengan baik, dibantu set pentas yang ringkas namun memberi kesan di hati khalayak.

Sekalung penghargaan wajar diberikan kepada pelakon baru, Rabecca Nur Al-Islam yang merealisasikan watak Hendon dengan berkesan sekali.

Watak yang pernah dijayakan pelakon hebat, Ellie Suriati itu dibawakan Rabecca dengan penuh penghayatan, malah dia tidak janggal biarpun Sirah Junjungan – Tahajud Cinta adalah aksi pertamanya di pentas teater.

Penghargaan juga wajar diberikan kepada barisan pelakon bukan Islam seperti Wong Sip Nen, Jeganathan dan Jesse Lim atas komitmen mereka dalam pementasan ini.

Watak kecil namun mempunyai peranan besar dalam hidup Rasulullah dibawakan Vanidah Imran sebagai isteri baginda, Siti Khadijah menuntut cabaran kerana hanya lontaran suara menceritakan segenap rasa yang dilaluinya.

“Saya perlu melontarkan rasa menerusi dialog dan ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan kerana ia tidak dapat diserlahkan dengan ekspresi wajah.

“Di situ cabaran besar kerana gambaran mengenai Siti Khadijah saya berikan berdasarkan pembacaan serta penghayatan mengenai karektor dirinya.

“Biarpun watak kecil namun teater ini memberi kepuasan kerana banyak perkara yang perlu dibuat dengan teliti. Ia memberikan cabaran dan pada masa sama, mengasah semula skil lakonan selepas sekian lama tidak beraksi di pentas teater,” kata Vanidah.

INFO: PEMENTASAN Sirah Junjungan – Tahajud Cinta yang berlangsung sehingga 22 Mac turut menyaksikan penampilan penyanyi terkenal seperti Jamal Abdillah dari 9 hingga 14 Mac, Datuk Siti Nurhaliza (18-20 Mac), Mawi (21 Mac) dan Amy Search (22 Mac). Tiada pementasan pada 15 hingga 17 Mac.

Tiket dijual pada harga RM30, RM50, RM80, RM100 dan RM150 boleh diperoleh menerusi talian 03-41498600/03-41428035 atau menerusi sirah@yayasansenikarya.com.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: