Lagu Isabella Dalam Versi Hip Hop

11 Mar

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
LANGKAH berbeza, tetapi haluan di bidang seni tetap sama. Begitulah boleh diumpamakan Joe Flizzow, 30, dan Malique. Akui Joe atau Johan Ishak, 30, pertemuan dengan Malique baru-baru ini membawa kepada satu perbincangan untuk kembali atas nama Too Phat tetapi bukanlah dalam masa terdekat kerana dia sendiri mahu memberi perhatian terhadap kelahiran album The President.

Begitu juga Malique yang khabarnya rancak mempromosikan album solonya bertumpu di pasaran luar.

Sekalipun sibuk dengan projek solo masing-masing, mereka sepakat mencari masa yang sesuai untuk merakamkan album bersama atau sekurang-kurangnya kembali menemui peminat dengan single terbaru.

“Gabungan ini memerlukan masa yang sesuai mungkin pada 2010 kerana seperti diketahui ramai, Malique sudah berkahwin dan akan bergelar bapa tidak lama lagi. Komitmennya tinggi bukan terhadap karier saja tetapi juga keluarga,” katanya.

Sedikit tersasar daripada konsep Too Phat, The President yang diterbitkan syarikat rakaman Joe sendiri, Kartel Records memperkenalkan elemen baru dalam muzik hip hop selain proses rakamannya memanfaatkan kecanggihan teknologi muzik masa kini.

Lapan daripada keseluruhan lagu menggunakan teknik muzik 808s yang diperkenalkan penyanyi rap, Timberland dan ia membabitkan kos sangat lumayan.

Menyuntik kelainan, jejaka yang mendapat jolokan Jay Z Malaysia ini kerana memiliki iras wajah suami kepada Beyonce Knowles itu, bekerjasama dengan ramai artis antarabangsa.

Antaranya, pemenang Singapore Idol, Hady Mirza & TerryTyeLee (Singapura), rapper dihormati ramai KRS-One dan Jin (Amerika Syarikat) ,Thaitanium (Thailand), Joeniar Arief (Indonesia) termasuk rock ikon, Amy Search dan Phlowtron juga dari Malaysia.

Ditanya, tindakan merakamkan semula Isabella lalu memilihnya sebagai single, Joe tanpa berselindung mengakui cukup meminati lagu itu.

“Kalau tidak silap album itu dilancarkan pada 1989 dan saya ada satu kenangan yang masih utuh dalam ingatan sehingga hari ini.

 

 

“Masa itu saya dimasukkan ke hospital bagi menjalani pembedahan dan kerana minat sangat lagu Isabella, saya mengulang kaset Fenomena hampir 300 kali.

“Kejayaan Search yang mencipta fenomena di Indonesia selain beberapa nama diketahui umum iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Sheila Majid memberi inspirasi kepada saya.

“Lantas saya bertemu Amy untuk meminta keizinan mengadakan kolaborasi dan merakamkan semula Isabella. Malah, hasrat itu turut disokong abang Yazid.

“Mereka terutama Amy tidak lokek berkongsi ilmu dan menceritakan pengalamannya untuk berjaya dalam nyanyian dan sebagai usahawan. Ini membuakkan keinginan saya mengikuti jejak langkahnya,” katanya.

Ketika sesi sidang media berlangsung, Joe sempat menjelaskan mengapa dia memilih The President sebagai judul album.

Menyangkal ada kaitan dengan kejayaan presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat, Barrack Obama, sebaliknya judul menjelaskan keinginan untuk menjadi individu yang berpengaruh dalam arena muzik hip hop.

“Ini album pertama saya dan segala kos ditanggung sendiri. Memilih judul The President kerana saya ingin memaklumkan kepada masyarakat semua orang layak menjadi presiden.

“Sekalipun bukan sebagai pemimpin negara tetapi mereka boleh menjadi pemimpin dalam syarikat. Presiden bagi saya adalah individu yang mampu membuatkan orang lain mendengar pandangannya serta menerima perubahan yang dilakukan.

“Harapan saya terhadap album ini, adalah untuk membangunkan semula hip hop ‘scene’ yang seakan-akan tidak aktif sekali gus menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: