Kembara Ke Zaman Perjuangan Nabi

11 Mar

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
SAAT kewafatan Rasulullah s.a.w pada akhir babak pementasan Sirah Junjungan II – Tahajud Cinta ternyata meninggalkan kesan mendalam kepada penonton hingga ada yang menitiskan air mata. Tambah sahdu mendengar lagu Arab disampaikan Raja Pop, Jamal Abdillah serta penampilan istimewa, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Mesej yang ingin disampaikan cukup jelas dan kualiti persembahan lebih baik berbanding pementasan pertama tahun lalu.

Pementasan kedua ini berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya dan turut diiringi pemuzik orkestra kebangsaan. Sejarah kehidupan bangsa Arab Quraisy ketika zaman jahiliah seperti perilaku yang tidak bermoral dan menyembah berhala disampaikan dengan ringkas namun mudah difahami.

Mematuhi syarat ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu babak menyembah berhala tidak menunjukkan rupa sebenar begitu juga watak Rasulullah, Siti Khadijah dan juga sahabat.

Set kaabah, patung Lata dan Uzza, rumah Muhammad dan Khadijah, kota Makkah dan Madinah, set perang Abrahah, Badar dan Uhud, mimbar serta tempat perbincangan orang Muslim, membawa penonton seperti berada di kota Makkah pada zaman silam.

Penggunaan set yang digambarkan seperti di Makkah pada zaman Rasulullah, sedikit sebanyak membantu mood pelakon dan penonton.

Watak dijayakan barisan pelakon seperti Ahmad Yatim sebagai Abu Talib, Mazlan Tahir (pencerita dan suara Muahammad), Vanidah Imran (Khadijah), Aman Graseka (Usman), Wong Sip Nen (Umaiyah Khalaf), Taiyuddin Bakar (Bilal) cukup berjaya. Paling meninggalkan kesan, Rebecca Nur Islam dengan watak wanita kejam (Hendon).

Di samping itu, ia membariskan pelakon bukan Islam seperti Jesse Lim dengan watak Najdi/ Abrahah/ Washi, Jeganthan (Nabih/ Abu Sofyan) dan Wong Sip Nen (Umaiyah Khalaf).

Sebagai negara yang majoriti masyarakatnya beragama Islam, teater dakwah menceritakan kisah Rasulullah ini dilaksanakan atas tanggungjawab pengarah yang juga penulis skripnya, Erma Fatima untuk dipertontonkan kepada generasi muda.

Ini sesuai dengan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Wahdah Pemangkin Khaira Ummah (Penyatuan Pemangkin Umat Terbaik).

 

 

Erma ketika ditemui selepas pementasan berakhir berkata, masih ada beberapa masalah kecil yang perlu diatasi menerusi teater itu. Begitupun, dia bersyukur kerana dapat mementaskan teater berkenaan walaupun berdepan beberapa halangan.

“Teater ini membabitkan soal hati dan kasih kepada Rasulullah dan Allah. Saat yang indah itu diceritakan dan dikongsi bersama penonton. Dengan menyuntik segala elemen penghayatan seperti gembira, takut dan yang paling ditekankan adalah kesedihan terutama babak kewafatan Rasulullah.

“Segala yang dipaparkan lebih menjurus kepada peristiwa penting pada zaman pemerintahan Rasulullah apabila ada beberapa peperangan penting yang sudah termaktub dalam al-Quran.

“Sebenarnya ini malam kedua kami mementaskan teater ini selepas mementaskannya dengan raptai penuh dan dewan dibuka secara percuma untuk tontonan orang ramai pada malam sebelumnya.

“Masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Saya bersyukur kerana mempunyai pasukan yang kuat. Malah kami bekerja dalam satu pasukan.

“Pihak Istana Budaya juga banyak membantu. Kami bimbang jika ada yang salah faham pada hari pertama pementasan. Begitupun, pementasan itu berjalan lancar,” katanya.

Menurutnya, setiap malam persembahan, pasti ada kekurangan atau kelebihan apabila dia sendiri tidak akan duduk sebagai penonton sebaliknya pengarah pentas atau sebagainya.

Dia mengakui kru pementasan berkenaan masih bertatih dan persembahan mungkin lebih baik daripada hari ini atau hari ini pasti lebih baik daripada hari esok.

Sambil memaklumkan walaupun mendapat jaminan sokongan daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dia masih kecewa apabila melihat pada sudut penjualan tiket yang agak lembap.

“Setakat ini memang ada jemputan dan tiket yang ditempah syarikat korporat tetapi penjualan tiketnya agak perlahan. Sekurang-kurang penjualan tiket berkenaan dapat membantu menampung pembayaran pemuzik, kelengkapan pakaian, mekap dan keperluan lain,” kata Erma.

Dia turut mengimpikan mementaskan teater berkenaan diadakan di Kelantan supaya dapat ditonton Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat. Impian itu bukan disebabkan faktor politik sebaliknya perasaan kagumnya terhadap ulama terkenal dari pantai timur itu.

“Memang saya hendak sangat Sirah Junjungan di bawa ke Kelantan. Saya mahu mendengar pandangan beliau dari kaca mata ulama mengenai pementasan ini. Saya dimaklumkan, beliau menghantar wakil setiausaha politiknya menyaksikan pementasan ini.

“Saya memang mengagumi beliau. Malah ia langsung tidak ada kena mengena dengan faktor politik. Pementasan ini juga bukan untuk dipolitikkan.

“Rasulullah bukan milik mana-mana ahli politik tetapi buat semua orang. Tidak ada salahnya jika individu yang bukan beragama Islam datang menyaksikan pementasan ini. Saya lagi seronok apabila melihat orang yang bukan Islam datang menontonnya,” katanya.

Sementara itu, Vanidah Imran yang memegang watak isteri kesayangan Rasulullah, Siti Khadijah mengakui berasa gemuruh pada pementasan pertama teater berkenaan walaupun hanya membabitkan babak menggunakan suara.

“Saya berbesar hati kerana dapat memegang watak penting dalam hidup Rasulullah. Orang tidak nampak wajah saya, segala emosi digambarkan menerusi suara. Soal hanya menggunakan suara dalam pementasan ini saya tidak kisah. Bagi saya ia tetap sebagai satu penghormatan.

“Walaupun menggunakan suara, saya tetap perlu menghayatinya dengan betul dan sesuai supaya mesej yang hendak diberikan sampai kepada penonton.

“Saya hanya bergantung kepada kehendak pengarah (Erma Fatima) memandangkan rujukan agak sukar dan kurang. Menjadi sebahagian daripada pementasan ini sudah memberi kepuasan buat saya,” katanya.

Teater berkenaan dipentaskan sehingga 22 Mac ini. Selain Jamal (9 hingga 14 Mac) dan Siti Nurhaliza (18 hingga 20 Mac) pementasan turut menampilkan nyanyian daripada penyanyi popular, Mawi (21 Mac) dan Amy Search (22 Mac).

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: