Zubir Dikenang Pelopor Lagu Puisi

10 Mar

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

SERAUT wajah yang kini menjadi kenangan bersama himpunan lagu puisi dan kemanusiaan yang akan terus menjadi siulan.

Masih gigih tubuhkan koperasi industri muzik walaupun dalam keadaan uzur

SEKUJUR tubuh kaku yang bersemadi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, petang Jumaat lalu akan terus dikenang oleh sahabatnya atas sumbangan besar dan jasanya kepada pembangunan industri seni.

Hadir insan seni bernama Zubir Ali, 59, tidak mendambakan sanjungan, jauh sekali mencari populariti namun tiada siapa dapat menafikan pengaruh besar yang dibawa anak kelahiran Alor Setar, Kedah pada 18 Oktober 1949 itu kepada industri hiburan tempatan.

Allahyarham Zubir Ali akan terus dikenang sebagai pelopor lagu puisi, malah nyanyiannya bersama kumpulan Harmoni lewat lagu popular seperti Penantian, Doa, Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang selain Balada Seorang Gadis Kecil menjadi khazanah berharga yang tidak mungkin dilupakan.

Langkah seninya tidak pernah bernoktah, malah ketika hayatnya menuju detik akhir, Allahyarham masih setia menumpahkan baktinya dengan merealisasikan penubuhan Koperasi Industri Muzik Malaysia (KOPIM).

Pengerusi Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Berhad (MACP), Habsah Hassan berkata, mereka kali terakhir bertemu dalam satu mesyuarat bersama Lembaga Pengarah badan itu, sekitar dua minggu lalu dalam rangka akhir penubuhan KOPIM.

“Arwah pergi tak sempat menatap hasil usahanya ini kerana kelulusan menubuhkan KOPIM baru diperoleh, sehari sebelum pemergiannya.

“Semalam (Khamis) sepatutnya arwah bersama kami untuk satu lagi mesyuarat tetapi sudah memaklumkan arwah tidak dapat hadir kerana menjalani pembedahan.

“Arwah yang meyakinkan usaha penubuhan KOPIM sebagai sumber pendapatan tambahan untuk ahli MACP. Andai usaha ini berhasil, penghargaan sewajarnya diberikan kepada arwah kerana dia berusaha keras untuk memajukan karyawan negara,” katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Habsah berkata, perancangan untuk menubuhkan KOPIM berjalan agak pantas kerana idea mengenainya dikemukakan pada mesyuarat agung badan berkenaan pada Jun tahun lalu.

“Arwah bersungguh-sungguh memperkenalkan kami kepada mereka yang berpengalaman serta mengetahui selok belok mengenai penubuhan koperasi ini.

“Daripada situ kami melakukan kajian untuk menjadikan usahanya itu sebagai satu realiti. Sememangnya jasa Allahyarham cukup besar dan tidak mungkin dilupakan oleh penggiat seni,” katanya.

Keakraban antara mereka berdua terjalin sekian lama, malah bertambah rapat apabila kedua-duanya menyertai MACP.

Disebabkan terlalu akrab, arwah pernah berseloroh mereka berdua menubuhkan syarikat juri profesional lantaran kekerapan diundang menjadi juri untuk pelbagai pertandingan nyanyian.

“Sebagai kawan, arwah seorang yang jujur malah dia tidak pernah menolak sebarang pelawaan walaupun ketika itu, keadaan kesihatannya tidak mengizinkan. Arwah tidak pernah menunjukkan kesakitannya, namun melihat kepada perubahan fizikal kami tahu arwah semakin lemah namun semangatnya tetap kental untuk bersama meneruskan perjuangan.

“MACP kehilangan seorang ahli yang begitu dedikasi tetapi saya percaya, Allah menjanjikan tempat yang mulia untuk insan sebaik arwah Zubir,” katanya.

Sementara itu, komposer Johari Teh yang mengenali arwah hampir 30 tahun mengakui, Allahyarham Zubir seorang yang mudah didekati dan tidak lokek menumpahkan ilmu.

Malah, katanya, ketika merakamkan album hampir 60 peratus daripada lirik yang dimuatkan diilhamkan oleh Allahyarham dan kebetulan Johari memang menyukai hasil nukilan yang puitis serta sarat makna.

“Arwah seorang yang berterus terang. Jika boleh melakukan sesuatu, arwah bersedia memberikan tenaganya tetapi jika sebaliknya, arwah akan memberitahu tanpa berselindung.

“Saya banyak belajar mengenai penulisan lirik dengan Allahyarham dan jika hayatnya masih ada, saya percaya banyak lagi yang mampu diberikannya kepada industri,” katanya.

Johari berkata, antara pesanan arwah yang masih tersemat dalam ingatannya adalah supaya meneruskan usaha untuk merealisasikan penubuhan KOPIM.

“Sudah lama perancangan itu ada namun hanya selepas bersama arwah, baru usaha ini dapat dilaksanakan. Arwah yang membawa kami bertemu kenalannya yang berpengalaman dengan pengendalian koperasi hingga akhirnya mendapat kelulusan penubuhan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Ketika perbincangan, arwah memberitahu dia tidak dapat ikut kerana kurang sihat dan berpesan supaya kami meneruskan usaha penubuhan KOPIM kerana arwah sudah menunjukkan jalannya,” katanya.

Penulis lirik, Amran Omar mengakui pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada industri hiburan kerana arwah banyak berjuang menerusi penulisannya.

“Arwah banyak menyumbang untuk pembangunan lagu berbentuk kemanusiaan. Usahanya itu adalah sesuatu yang murni dan wajar diteruskan untuk menyemai budaya penulisan yang sarat mesej dan kata nasihat.

“Arwah senang didekati, malah kemesraannya tidak membuatkan saya terasa perbezaan usia antara kami kerana dia membawa pemikirannya untuk tenggelam bersama dalam sesuatu topik perbincangan,” katanya.

Sementara itu, novelis Zurinah Hassan pula menyifatkan Allahyarham Zubir sebagai seorang yang berani kerana cuba menongkah arus dengan merakamkan lagu puisi sedangkan ketika itu, pengaruh muzik pop kuat menguasai pasaran.

Allahyarham Zubir menghembuskan nafas terakhir jam 10.30 pagi, Jumaat lalu di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur apabila berdepan dengan komplikasi selepas menjalani pembedahan pemintasan jantung, seminggu sebelum itu.

Info:

Menubuhkan kumpulan Harmoni pada 1973 yang turut dianggotai Zulkifli Zakaria (Joei), Jasmine Adnan (Ogy) dan Roziah Ibrahim (Azie). Harmoni sering diundang mengadakan persembahan selingan untuk majlis deklamasi puisi anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) atau Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Ketika penubuhan, Zubir dan Joei tenaga pengajar di Institut Teknologi Mara (sekarang Universiti), manakala Ogy dan Azie pula pelajar di institusi pengajian yang sama.

Melihat mereka kerap mengadakan persembahan pentas, penggubah dan pemuzik, Zalikamari kemudian mempelawa Harmoni untuk merakamkan lagu. Pelawaan diterima dan pada 1980, lahir album Penantian terbitan Titra Musical dan diedarkan EMI.

Album itu memuatkan lagu seperti Penantian, Doa dan Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang – semuanya segar hingga sekarang. Sambutannya baik apabila dilaporkan mencatat jualan hampir 50,000 unit.

Tidak lama selepas itu, Harmoni muncul dengan album kedua berjudul Nyanyian Ombak. Bagaimanapun, selepas itu, kumpulan ini agak tenggelam biarpun nama mereka terkenal.

Suara hatinya menentang peperangan juga kerap dilaungkan dan dan antara lagu ciptaannya yang popular adalah Balada Seorang Gadis Kecil (1983) dan Tuan Presiden (2000) yang kerap disampaikan pada persembahan membabitkan forum atau festival yang disertai delegasi antarabangsa. Lagu Balada Seorang Gadis Kecil pernah memenangi anugerah Lagu Terbaik, Pesta Lagu Malaysia 1983.

Zubir pernah terbabit dalam penerbitan album kompilasi bersama Roslan Aziz untuk Ikhlas Tapi Jauh pada 1991. Album itu menampilkan ciptaannya berjudul Harga Diri dan turut disertai artis popular lain seperti Sheila Majid (kini Datuk), Afdlin Shauki, Zainal Abidin, Amir Yussof dan Azman Warren. Arwah turut merakamkan sebuah lagi lagu dalam album kompilasi, RAP ‘96 membawakan Siapakah Memberi Khabar.

Selepas 25 tahun tidak merakamkan album solo, Allahyarham kembali dengan album Zubir Ali ‘06 diterbitkan bersama oleh Julfekar, Life Records, Millennium Art dan Moza Publisher. Album nostalgia itu turut menghimpunkan 12 lagu termasuk dua bonus trek, Doa dan Balada Anak Desa yang dipetik daripada album terdahulu Zubir bersama kumpulan Harmoni.

Antara karya terakhirnya ditumpahkan dalam album terbaru Datuk Siti Nurhaliza, Lentera Timur apabila menulis lirik untuk dua lagu ciptaan Khairil Johari Johar iaitu Bulan Yang Mesra dan Rasa Antara Kita.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: