ABPBH2008: Peluang Pupuk Silaturahim

10 Mar

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

SEBAHAGIAN daripada artis berposing sakan di hadapan bas tajaan Sinarmas.

Siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke Pasir Gudang bagaikan sebuah percutian keluarga

TIDAK terasa seperti sebuah siri jelajah, keseluruhan perjalanan edisi kedua Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 ke Pasir Gudang, Johor Bahru bagaikan sebuah percutian keluarga. Inilah masanya artis dari bidang berbeza berkenalan dan seterusnya menjadi sahabat baik walaupun ada di antara mereka pertama kali bersua muka.

Bukan saja artis, malah keluarga artis yang mengikuti siri jelajah ini juga tidak kekok bergaul sesama sendiri.

Umpamanya ibu Sheila OIAM dan ibu kepada pelakon baru yang sedang meningkat naik, Fizo Omar turut menjadi sahabat baik, malah mereka sempat membeli-belah bersama-sama sementara menantikan anak masing-masing menyelesaikan tugas bertemu peminat.

Ibu Fizo yang pertama kali menyertai penjelajahan seperti ini cukup seronok kerana dapat melihat sesuatu yang baru, walaupun terpaksa bersesak-sesak dengan ribuan peminat. Sementara anak bujangnya Fizo pula kecewa kerana tidak dapat menyertai rakannya menaiki bas pulang ke Kuala Lumpur memandangkan dia membawa kenderaan sendiri ke Johor Bahru.

Apakan tidak seronoknya, sepanjang perjalanan dari Hotel Seri Malaysia yang menaja penginapan finalis ABPBH 2008 ke Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang yang memakan masa kira-kira 40 minit, Fizo terhibur dengan gelagat rakannya seperti Along dan Angah (Raja Lawak), Kenchana Dewi, Nubhan dan Ikhwan Hot FM yang sempat lagi berkaraoke meskipun perjalanan yang singkat.


ENTAH apalah pertanyaan seorang peminat sehingga membuatkan Diddy sekadar tersenyum saja.

Malah dalam perjalanan menikmati makan malam selepas siri jelajah berakhir, mereka masih lagi sempat berkaraoke walaupun jarak perjalanan yang tidak sampai 15 minit. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pasir Gudang juga cukup menghiburkan.

Jika pelakon Ashraf Muslim tidak lekang dengan mikrofon ketika ke Sungai Petani tempoh hari, tempatnya diganti oleh Sheila OIAM yang menyanyikan hampir 30 lagu bermula dari awal perjalanan sehinggalah tiba di Johor Bahru.

Dari tingkat atas, Sheila sibuk menyanyikan lagu penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza, dia kemudian beralih ke tingkat satu bas Sinarmas kerana ruang bawah menyediakan tempat karaoke yang lebih selesa. Bagaimanapun, suara Sheila langsung tidak terjejas meskipun menyanyikan berpuluh-puluh lagu.

Menjadi satu-satunya bunga dikerumuni kumbang, Sheila sering menjadi bahan sakat antara Along dan Angah yang berebut-rebut untuk menambat jiwa gadis berusia 19 tahun itu. Lebih melucukan apabila kedua-duanya juga cuba menambat hati ibu Sheila yang menemani anak gadisnya.


“MOGA bayi kita nanti comel macam ni yang bang?” Mungkin itu kata Rosma kepada Khai.

Ternyata ibu Sheila seorang yang cukup sporting melayan kerenah Along dan Angah yang suka mengusik.

Jika Sheila ‘gilakan’ mikrofon untuk menyanyi, Along pula ‘gila’ menjadi pemandu pelancong hingga tidak berhenti-henti bercakap.

Artis yang tidak menyertai aktiviti berkaraoke pula terhibur dengan filem Cicak-Man 2 yang dipasang sepanjang perjalanan di tingkat atas bas. Pendek kata, masing-masing mempunyai aktiviti untuk

dilakukan sepanjang perjalanan.

Bilik menunggu sementara menantikan persembahan masing-masing sekali lagi menjadi tempat mereka

mengusik sesama sendiri. Jika sebelum ini Along dan Angah kerap mengusik Sheila, kali ini Nubhan pula yang sibuk mengusik anak dara ND Lala.

Ruang itu juga menjadi tempat artis berkongsi pelbagai cerita mengenai karier masing-masing dan tempat untuk berkenalan lebih rapat antara artis lama dan baru. Keakraban tidak hanya terjalin antara artis tetapi juga dengan semua yang mengikuti siri jelajah ini termasuklah kru Sinarmas yang tidak dipinggirkan artis, sebaliknya mereka berkawan baik.

Bagi pendatang baru, mereka menganggap siri jelajah ini sebagai platform yang baik untuk mengukuhkan hubungan sesama artis yang tidak pernah ditemui sebelum ini. Selain itu mereka juga mengambil kesempatan ini bertemu peminat buat pertama kali sebagai membalas jasa peminat yang memberikan sokongan.

Corat coret

Walaupun berhadapan kehilangan ahli keluarga terdekat, artis yang dicalonkan dalam kategori Artis Komedi Wanita Popular, Kenchana Dewi tetap memberikan sokongan kepada ABPBH 2008 kerana sudah berjanji dengan penganjur.

Lagu Hilang milik Diddy bagaikan menghantui artis yang menyertai siri jelajah ini. Antara yang terpengaruh dengan lagu itu ialah Fizo, Sheila, Along dan Angah.

Biarpun sedang mengandung empat bulan, Rosma begitu berani menggayakan platform. Khabarnya Khai berkali-kali menasihati isteri kesayangannya kerana bimbangkan keselamatan Rosma tetapi tidak diendahkan penyanyi comel itu.

Angah Raja Lawak rupanya berkebolehan menyanyi. Dia boleh menyanyikan lagu Mahakarya Cinta milik penyanyi Faizal Tahir dengan cukup baik.

Tunang Diddy yang kebetulan berada di Pasir Gudang, sempat meluangkan masa bertemu dengan Diddy meskipun cuma sekejap.

Jika tunang Diddy datang ke Pasir Gudang untuk bertemunya, Zila tunang kepada Along Raja Lawak menggunakan 3G untuk melepaskan rindu kepada tunang tersayang.

Oleh kerana terbabit dengan penggambaran drama, Fizo terpaksa membawa ibu dan adik untuk menemaninya memandu supaya tidak kebosanan.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: