Borak Paknil: Lara Dunia Hiburan

8 Mar

metahad@hmetro.com.my

Rap
ASSALAMUALAIKUM! Mungkin ramai menyangka dunia hiburan adalah mewah dan berprestij. Atas sebab itu ramai ibu bapa menggalakkan anak masuk pelbagai pertandingan yang dapat menjanjikan ruang dalam industri ini.

Ada juga sanggup menyorong anak yang sepatutnya ada di bangku sekolah untuk pelbagai uji bakat. Kadangkala Paknil tengok terlebih sudu daripada kuah.

Namun atas rasa ingin menikmati keindahan populariti dan kekayaan yang dirasakan melimpah di pentas persembahan ini, tidak hairan ada ibu bapa sanggup bersubahat dengan anak untuk ponteng sekolah.

Alahai! Rugi rasanya kalau sampai jadi begitu. Jadi penyanyi atau pelakon bila-bila masa boleh dikejar selepas pengajian tamat nanti tapi kalau belajar ditinggalkan, sukar juga nak kejar balik.

Lagipun dalam dunia serba maju ini, industri hiburan memerlukan penggiat yang lebih celik pengetahuan dan akademik. Apabila makin ramai meninggalkan sekolah dan menyertai hiburan, industri ini akan ada di takuk lama.

Penggiat seni masih jadi peserta yang tidak berilmu dan dipandang remeh oleh penggiat industri lain. Paknil bukan memandang rendah pada penggiat yang tidak berpelajaran tinggi, tapi Paknil rasa menjadi tanggungjawab pula untuk menggalakkan anak belajar setinggi mungkin dan kemudian membuat pilihan seandainya bidang ini yang ingin diceburi nanti.

Mungkin ramai menyangka nasib mereka akan sebaik Datuk Siti Nurhaliza yang memulakan karier dalam bidang seni ketika di bangku sekolah. Cerita Siti boleh dianggap satu dalam seribu. Sukar mendapat peluang dan bakat sehebat Siti sehinggakan rezekinya mencurah sebegitu rupa.

Paknil percaya ramai ibu bapa merasakan sejarah Siti akan berulang pada anak mereka. Memang kita tak nampak tuah manusia seperti taji ayam, tetapi ini adalah risiko tinggi.

Harus diingat, yang kita perjudikan adalah masa depan anak kita. Kesilapan kita akan menggadai masa depan mereka.

Bukan tujuan Paknil nak menakut-nakutkan anak yang baru nak berjinak-jinak dalam bidang seni serta ibu bapa tetapi percayalah, kami di bidang ini bukan sesenang disangka. Biar Paknil ceritakan pengalaman Paknil dan beberapa sahabat Paknil akan realiti dunia hiburan yang disangka intan ini.

Paknil terbabit dalam bidang ini agak lewat juga pada kira-kira usia Paknil menghampiri 30 tahun. Ketika itu Paknil berkeluarga dan ada anak. Waktu bekerja Paknil tidak sama seperti ketua keluarga lain. Paknil juga terpaksa gadaikan masa bersama keluarga semata-mata untuk melakukan kerja di bidang pengacaraan.

Ketika ekonomi negara gawat sekitar 1997/98, periuk nasi ramai artis tergugat, termasuk Paknil. Paknil tiada pekerjaan tetap dan terpaksa hidup mengharapkan duit daripada akaun simpanan.

Begitu juga dengan pelakon dan penyanyi. Mereka terkapar-kapar mencari sesuap nasi. Ada yang terpaksa berniaga makanan kerana itulah satu-satunya perniagaan yang menguntungkan ketika itu.

Seorang demi seorang juga bungkus kain baju balik kampung. Lebih menyedihkan bila ada cerita yang rumah tangga artis dilanda kemelut gara-gara krisis kewangan.

Mungkin ada juga mengandaikan keadaan kini berubah kerana suasana ekonomi tidak seperti 10 tahun dulu. Biar Paknil berterus terang. Kehidupan golongan kami tidak banyak berubah.

Masih ramai lagi hidup seperti ayam; kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Masih ramai terpaksa ikat perut gara-gara tiada sumber kewangan tetap. Kejadian ini bukan membabitkan pendatang baru saja, tetapi lebih menyedihkan ada antara mereka adalah senior!

Lebih teruk jika artis terbabit hanya ada satu kemahiran dan tiada kepandaian akademik dan kebolehan lain yang boleh disandarkan.

Paknil bukan ingin menakutkan, tetapi makin ramai rakan seangkatan Paknil mula merubah haluan kerjaya mereka. Ada yang menjual kereta, insurans, berniaga kecil-kecilan dan apa saja yang menjanjikan pendapatan bulanan tetap.

Walaupun cinta di bidang seni masih tebal, mereka akur bahawa cinta saja tidak memadai untuk mengisi perut mereka dan keluarga.

Mengapa agaknya ini masih berlaku? Harus diingat, peluang di bidang ini semakin kecil kerana potongan kek direbut oleh jumlah penggiat yang semakin bertambah. Pasaran bakat kita pun tidak sebesar mana hinggakan tawaran bakat mengatasi permintaan. Apabila ini berlaku, kadar harga ditentukan oleh pasaran menjadi bertambah rendah.

Hanya segelintir berjaya menyenaraikan diri di ‘papan utama’, yang mana mereka boleh menentukan harga khidmat. Selebihnya terpaksa akur dengan penentu harga pasaran yang tidak menampakkan anjakan ke posisi lebih baik.

Yang menyanyi terpaksa menghadapi suasana pasaran album yang suram. Penyanyi lebih gemar melahirkan single daripada album penuh kerana jualan album belum boleh menjanjikan pulangan yang dapat menampung kos penerbitan.

Harapan mereka single itu dapat meledakkan nama mereka sebelum album penuh menyusur atau mengapungkan nama mereka dalam bidang nyanyian. Yelah, takut pula bila nama tenggelam, sukar membuat ‘come back’.

Cetak rompak jangan ceritalah. Paknil yang tak terbabit secara langsung pun dah penat bercakap, apa lagi rakan artis yang bergantung hidup dalam bidang ini. Karier mereka hampir lumpuh dikerjakan penyangak cetak rompak.

Itu belum lagi cerita bersaing dengan muzik dari luar gara-gara negara kita mengamalkan dasar langit terbuka. Siapa saja boleh masuk dan menangguk kekayaan di bumi ini dan bawa pulang imbuhan ke negara mereka.

Daripada segi bayaran berlakon pula, tidak ramai pelakon dapat menuntut bayaran setanding populariti dan kebolehan mereka. Mereka sering tewas pada alasan produser bahawa penerbitan mempunyai bajet rendah.

Mereka juga tewas kerana ramai pelakon lain akur dengan bayaran yang ‘ciput’ ini demi ‘survival’.

Keadaan menjadi lebih malang apabila penentu harga bayaran tidak lagi terletak di tangan mereka. Atas desakan hidup dan saingan berganda, bakat kelas A dilayan sama dengan bakat baru yang kualiti lakonan belum terbukti.

Paknil nak bawa pembaca ke situasi lebih perit iaitu ke dalam kehidupan penggiat seni veteran kita. Artis veteran makin terpinggir dan jika masih aktif pun, permintaan ke atas khidmat mereka semakin mengecil.

Ada penyanyi veteran dilupakan atau meninggalkan terus dunia hiburan. Mereka mungkin lebih senang hidup dengan bantuan anak yang dewasa berbanding menikmati kemanisan sumbangan mereka pada bidang seni.

Jika artis veteran di Barat kini berehat dan hidup mewah hasil kerja mereka selama ini, artis veteran kita pula makin letih menantikan pembelaan nasib mereka.

Bayaran khidmat mereka tidak setimpal dengan pengalaman dan kebolehan, tetapi mungkin kerana cintakan bidang ini atau terhimpit dengan tuntutan kehidupan, mereka akur dengan bayaran murah luar akal ini.

Industri hiburan kita ini harus berpaksikan profesionalisme. Penggiat seni tidak boleh selama-lamanya memberi alasan bertahan untuk berjuang atas nama cinta semata-mata. Kehadiran mereka harus diakui dan diiktiraf atas dasar kehebatan. Atas dasar merit.

Arus bayaran imbuhan pada penggiat juga tidak semestinya menongkah atau terbalik seperti kini. Kini yang muda lebih dihargai, yang tua diperlekehkan. Kini yang baru lebih disanjungi, yang lama dilupakan. Kini juga yang hijau lebih ditatang, sedangkan yang lebam birat dengan pengalaman terpaksa mengemis meminta pekerjaan.

Paknil sekadar mampu membuka mata dan minda semua di bidang ini yang mana sekali gus untuk dijadikan panduan manual bagi yang baru ingin berjinak dalam bidang ini.

Harus Paknil sedarkan ibu bapa yang masih beriya-iya ingin anak mereka menjadi artis atas dasar tarikan kewangan dan kekayaan bahawa tidak semua yang berkelip di persada seni kita ini sebenarnya berlian. Takut nanti apabila sudah terbabit baru kita tahu ia sebenarnya hanya kilauan cahaya di atas kaca!

Rupa-rupanya di balik kilauan itu ada juga yang mengemis sesuap nasi, meminta-minta, menagih kasihan, merayu bantuan, mengharap simpati dan bertahan hanya atas nama CINTA pada persada seni. Berbaloikah? Hanya kami yang sudah lama di sini sebagai jauhari yang kenal manikam dunia hiburan yang tahu lara cinta kami.

Realiti ini yang Paknil ingin kongsi kali ini. Pesan akhir Paknil, kesenangan Siti dan Mawi hari ini bukan cermin sebenar kesenangan dunia hiburan secara keseluruhan. Mereka antara insan bertuah yang mana tuah itu tidak semua boleh memilikinya. Wassalam.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: