Solo Tapi Bukan Berpecah

4 Mar

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
PERINGKAT awal pembabitan Damian Mikhail Seet, 31, dalam dunia seni kurang dikenali sehinggalah menganggotai kumpulan VE dan menghasilkan lagu untuk kumpulannya, lima tahun lalu. Sejak itu, popularitinya naik mendadak dan kini karya ciptaannya menjadi pilihan artis terkenal.

Datuk Siti Nurhaliza pernah memberi kepercayaan kepada Damian menghasilkan lagu rancak Siti Situ Sana Sini yang turut dipilih sebagai single dalam album Transkripsi.

Kini Damian melangkah setapak lagi apabila muncul dengan single terbaru secara solo, Jelita. Kehadiran single ini menguatkan lagi dakwaan kononnya VE sudah berpecah.

Kata Damian, dia masih bersama VE tetapi projek solo sudah menjadi ‘trend’ biasa bagi artis berkumpulan di luar negara mahupun di negara jiran Indonesia.

“Semua anggota kumpulan Black Eyed Peas dan Destiny Child pernah muncul dengan album solo termasuk kumpulan Dewa sendiri apabila vokalisnya, Once pernah menghasilkan album solo.

“Bagi saya pendekatan ini adalah biasa. Sebenarnya saya masih bersama VE cuma masing-masing sibuk untuk membina kerjaya secara individu.

“Mudah-mudahan kami akan bergabung kembali untuk pembikinan album terbaru dengan semangat yang lebih kuat berserta kematangan dan idea yang segar selepas semua berjaya dengan bidang masing-masing,” katanya.

Aktif menerbitkan lagu untuk VE sebelum ini, Damian mengakui konsep muzik yang diketengahkan dalam Jelita tidak jauh berbeza dengan lagu VE.

Katanya, single Jelita dianggap sebagai salam perkenalan untuk projek solonya dan berharap dapat memperkenalkan kemunculannya sebagai penyanyi solo.

Lagu yang mula dikarang 14 Januari lalu dan memakan masa dua hari untuk disiapkan, disempurnakan liriknya oleh Cham juga anggota kumpulan VE.

“Saya sebenarnya tidak rancang pun untuk muncul dengan single sebaliknya keputusan ini terlintas secara tiba-tiba. Selepas menyiapkan muziknya, saya minta Cham buat lirik dan tidak sangka judul Jelita yang dipilih ‘ngam’ dengan muzik yang dihasilkan.

“Namun, cara Cham mengolah maksud Jelita ini agak menarik. Apabila sebut perkataan jelita, orang selalu tafsirkan atau kaitkan dengan wanita cantik tetapi dalam lagu ini mereka yang kurang cantik dari sudut luaran juga akan dipandang jelita jika memiliki hati mulia,” katanya.

Jelita yang semakin mendapat perhatian stesen radio tempatan, mula dipasarkan sejak beberapa minggu lalu dan mereka yang berminat mendapatkan single ini boleh membuat pembelian melalui laman web http://www.hishousemuzik.com atau muat turun di laman web gua.muzik.com.my.

Sementara itu Damian yang memeluk Islam penghujung Ogos tahun lalu mengakui hidupnya kini lebih bermakna apatah lagi selepas bertunang dengan gadis pilihan hati, Nadia Dayana Mohd Yahya, 21, pada bulan sama. Damian merancang menamatkan zaman bujang September tahun ini.

Katanya, keputusan memeluk Islam dibuat atas kerelaan hatinya kerana sudah tertarik dengan Islam ketika berusia 17 tahun.

“Saya berminat pada Islam sejak di tingkatan lima. Waktu itu saya ada seorang teman baik dan selalu ke rumahnya di Bangsar, Kuala Lumpur. Bapanya seorang yang warak dan selalu bercerita kepada saya kelebihan agama Islam.

“Kebetulan, saya memang suka baca dan mengkaji setiap agama. Namun, saya melihat Islam sebagai agama yang sempurna dan semua yang berlaku sudah pun termaktub dalam al-Quran.

“Saya mengambil masa agak lama untuk terima Islam kerana sebelum ini belum bersedia memandangkan kehidupan yang dilalui membuatkan saya rasa belum layak menjadi Muslim yang baik,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: