Konsert Penuh Penghayatan

4 Mar

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

MAWI (kiri) dan Siti memberikan persembahan mantap.

Nama besar dalam dunia seni tanah air bersatu dan mengalukan puji-pujian ke atas Rasullullah SAW

JARANG sekali kita dapat melihat nama-nama besar dalam industri hiburan tanah air berkongsi pentas dalam sebuah konsert berkonsepkan keagamaan. Namun pada malam Sabtu lalu bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam, Konsert Sinar Maulidurrasul 1430H mereka membuktikan atas nama cinta pada Junjungan Mulia, Nabi Muhammad SAW, perbezaan itu sanggup diketepikan.

Walaupun ini adalah kali kedua konsert anjuran Rabbani Productions (M) Sdn Bhd (RPSB) diadakan, namun keterujaan untuk menyaksikannya berlipat ganda kerana bukan mudah untuk melihat empat finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008), iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Mawi, Rabbani dan Amy Search bergabung suara sambil mengalunkan puji-pujian ke atas Rasulullah SAW

Menepati janji mereka sewaktu sidang media lalu, persembahan yang memakan masa lebih dua jam itu berjaya mencapai objektifnya iaitu untuk membawa perhatian penonton untuk mengenali dengan lebih dekat lagi ikon kepada umat Islam di seluruh dunia itu.

Biarpun mengetengahkan konsep kerohanian, namun penganjur bijak menjadikan konsert itu supaya menarik untuk ditonton dan dihayati apabila ia menggabungkan elemen tazkirah, nyanyian dan persembahan multimedia.

Selama dua jam berada di perut stadium berkenaan, bagaikan tidak terasa dek kerana hiburan yang disajikan.


BARISAN artis popular tanah air mewarnai Konsert Sinar Maulidur
Rasul 1430H.

Dalam berhibur, penonton turut dihidangkan dengan tazkirah ringkas tetapi penuh bermakna. Tersentuh hati dan ada juga yang mengalirkan air mata apabila penceramah terkenal, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood, tampil di atas pentas untuk berkongsi cerita mengenai kehidupan awal baginda, perjuangannya serta saat-saat terakhir sebelum baginda wafat.

Dan tarikan utama konsert ini pastinya tertumpu kepada Amy, Siti dan Mawi, yang buat pertama kalinya berkongsi pentas untuk menyanyikan lagu bercorak ketuhanan. Tepukan gemuruh bergema apabila vokalis kumpulan Search ini tampil menyanyikan lagu Tiada Lagi.

Namun Amy tetap Amy, walaupun berpakaian jubah, namun imej rugged yang begitu sinonim dengannya tetap terserlah.

“Saya akui suasana konsert kali ini agak berbeza dengan semua konsert yang pernah saya adakan sebelum ini. Begitupun, penghayatan ketika membawakan sesebuah lagu itu adalah penting supaya penonton dapat memahami mesej yang hendak disampaikan itu.


TAZKIRAH ringkas Siti Nor Bahyah mengenai perjuangan Rasulullah
SAW membuatkan ramai penonton menitiskan air mata.

“Ia juga memberikan pengalaman berbeza kerana ia bagaikan satu hijrah buat diri saya. Apapun, saya bangga apabila konsert ini mendapat sambutan penonton,” kata Amy ketika ditemui pada sidang media sejurus selepas konsert itu berakhir.

Persembahan Siti tidak menghampakan

Turut tidak menghampakan adalah persembahan nyanyian Siti yang menyampaikan lagu berjudul Ketika Cinta, yang dipetik dari album runut bunyi filem Perempuan Berkalung Sorban. Lagu itu disampaikan Siti secara duet bersama Rabbani.

“Ini adalah kali pertama Siti menyampaikan lagu untuk peminat di sini dan tidak salah rasanya Siti membawakan lagu tema filem dari Indonesia itu kerana ia membawa mesej yang selari dengan konsep konsert malam ini. Lagipun Siti sudah berbincang dengan Ustaz Asri dan dia pun sudah memberi persetujuannya,’ kata Siti yang juga pencipta asal lagu itu.

Lagu lain yang turut dinyanyikan malam itu termasuklah Al-Jannah oleh Mawi, Al-Mu’allim (Akhil Hayy),Mana Milik Kita, Munajat dan Intifada (Rabbani) serta Kudus Sinarmu (Siti Nurhaliza). Manakala lagu Salamun Salam (Akhil Hayy), Saksi (Mawi) dan Mentari Merah di Ufuk Timur (Amy) disampaikan penyanyi itu secara

duet dengan kumpulan nasyid popular itu.

Sambil melahirkan rasa puas hatinya mengenai kejayaan konsert itu, selaku penganjur, Ustaz Asri berkata kejayaan itu takkan diraih tanpa hasil kerjasama penaja dan juga artis yang membuat persembahan.

“Tanpa sokongan penaja iaitu TM, penyiar rasmi iaitu TV3 dan juga artis malam ini, saya rasa tak mungkin konsert ini akan berjaya seperti ini. Contohnya, Siti walaupun baru saja kematian ayahandanya namun dia masih mampu memberikan persembahan yang cukup hebat.

“Insya-Allah, kalau masih mendapat penaja, pasti konsert ini akan diadakan secara tahunan. Dan tak mustahil, konsert ini akan menampilkan artis yang sama yang mungkin akan dipanggil Kumpulan Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul pada masa akan datang,” seloroh Asri sambil disahut tawa oleh tetamu yang hadir.

Jelas Asri lagi sebagai penganjur, apa yang lebih dititikberatkan adalah penonton mendapat manfaat daripada konsert itu di samping menikmati hiburan.

“Maka sebab itu kami menterjemahkan kitab berzanji dalam bahasa Melayu supaya penonton lebih memahami dan mampu menghayati apa yang terkandung di dalam kitab itu,” ujarnya.

Konsert tajaan Telekom Malaysia Berhad (TM) ini dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim. Hadir sama, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman, bekas Naib Presiden Pasaran Produk TM, Datuk Mohd Taib Hassan dan Pengurus Besar Kumpulan Hal Ehwal Korporat Media Prima Berhad, Badariah Jalil.

Dikendalikan oleh pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Fenda, konsert ini diakhiri dengan selawat ke atas Nabi.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: