Interaksi: Pengalaman Saja Tak Memadai

4 Mar

Oleh ELRAFAEI SAPI

Rap

SELAMA tiga malam berturut-turut sejak 27 Februari lalu, penghibur terkenal M Nasir mengadakan konsert solonya yang mengambil pentas berprestij, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Biarpun hanya tiga malam, konsert Alam Muzik M Nasir berjaya kerana menambat ramai peminat untuk hadir hingga tiket untuk tiga hari itu habis dijual lima hari menjelang konsert berlangsung. Akhbar kumpulan New Straits Times Press (NSTP) menjadi rakan media dan penganjur bersama konsert ini.

Pada usia 52 tahun, aura muzik M Nasir yang bergelumang dengan dunia seni lebih tiga dekad masih kuat. Mereka yang berpeluang menyaksikan konsert ini memberi respons positif dan berpuas hati dengan persembahan diberikan.

Alam Muzik M Nasir cukup luas daripada pop rock kepada inang, joget, keroncong, jaipong dan irama padang pasir hinggalah muzik funky, segalanya dikeluarkan dalam konsert selama dua jam itu. Barisan pemuzik diketuai Aznan Alias (Nan) juga gitar utama, Mohd Hanafi Handan (gitar kedua), Jay Jay (bass), Zulkifli Mahat (piano), Ahmad Firdaus Mahmud (keyboard), Ujang (dram), Mohar (seruling), Pa’ang (perkusi) dan Hamzah Hashim (perkusi kedua) juga menjadi tulang belakang kehebatan konsert ini.

Berbanding konsert solonya sebelumnya, kali ini dianggap istimewa kerana diberi peluang mengadakan konsert di IB. Sebenarnya peminat mengharapkan lebih banyak konsert solo artis tempatan diadakan di IB kerana kita mempunyai ramai penyanyi hebat seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sheila Majid, Jamal Abdillah dan Anuar Zain.

Sebelum ini, Jamal berpeluang beraksi solo di IB manakala penyanyi lain, Sharifah Aini dan juga Siti Nurhaliza. Namun, di sebalik peluang penyanyi untuk mengadakan konsert di IB, apa yang menjadi persoalan apakah kriteria sesuai bagi melayakkan penyanyi itu menggunakan lokasi di sana sebagai pentas persembahan. Ini kerana pemilihan penyanyi sesuai difikirkan faktor penting kerana ia memberi impak pada nilai prestij lokasi.

Bagi mendapatkan pandangan mengenai kejayaan konsert M Nasir dan soal persembahan artis yang layak untuk mengadakan konsert, wartawan Rap, ELRAFAEI SAPI (ahmadelrafaei@hmetro.com.my) menemu bual pengarah muzik terkenal, Ramli Mohd Salleh atau Ramli MS yang turut berkesempatan menonton konsert Alam Muzik M Nasir baru-baru ini.

SOALAN (S): Anda karyawan seni yang turut hadir menyaksikan konsert M Nasir. Apa komen anda mengenainya?

JAWAPAN (J): Sebenarnya sudah lama saya tidak menonton konsert M Nasir. Kali terakhir adalah Konsert Akar Manifestasi Akustika M Nasir yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 1995. Bagi peminat, mereka menantikan persembahan ini kerana M Nasir sudah lama tidak membuat konsert bertaraf besar.

Saya sendiri mahu menyaksikan konsert M Nasir kali ini kerana inti pati yang terdapat dalam persembahannya menarik minat saya untuk hadir. Walaupun pelbagai komen diberikan kepada M Nasir, saya fikir persembahan kali ini tidak boleh dibandingkan dengan konsert sebelumnya.

Persembahan di IB dengan persembahan di kawasan terbuka seperti di stadium adalah berbeza dari aspek sistem bunyi dan konsep persembahan. Pastinya, jika persembahan itu menggunakan orkestra atau lebih ramai pemuzik terbabit, ia mampu menjadi lebih hebat.

Namun, saya tidak pula mengatakan konsert M Nasir kali ini tidak berjaya kerana dia tetap mempunyai konsep persembahan tersendiri. Itu cara dia. M Nasir percaya dengan kekuatan 10 pemuzik yang mengiringi persembahannya mampu memberi kepuasan kepada penonton.

S: Ada peminat beranggapan persembahan M Nasir tidak sesuai diadakan di IB kerana faktor lagu dan konsep persembahan. Apakah anda bersetuju dengan pandangan ini?

J: Pada saya, konsert M Nasir kali ini seperti tidak sepadan dengan lokasi dan konsep persembahan. Maksud saya, konsert ini seperti mempunyai pagar yang membataskan penonton untuk dekat dengannya. Bukan salah konsep atau lokasi itu sendiri tetapi persembahan ini difikirkan lebih sesuai jika diadakan di lokasi terbuka seperti stadium.

Apa yang dapat kita lihat, kebanyakan lagu M Nasir yang disampaikan kali ini adalah rancak dan ini mengundang penonton untuk menari sama dengannya. Bagaimanapun, apabila penonton berada di lokasi di Istana Budaya, pergerakan mereka terbatas. Apapun, itu hak M Nasir untuk membawakan konsep persembahan sebegitu. Secara keseluruhan, konsert ini tetap menghiburkan cuma kemeriahan kepada penonton tidak dapat dirasai sepenuhnya.

S: Konsert yang menggunakan persembahan secara orkestra dikatakan lebih menghiburkan dan berjaya berbanding bilangan pemuzik yang sedikit? Apakah ini benar?

J: Tidak semestinya muzik orkestra menjadi faktor kejayaan sesebuah konsert. Ia sepatutnya dirujuk pada perjalanan cerita yang ingin disampaikan dalam persembahan itu. M Nasir mempunyai jalan cerita yang menarik minat penonton untuk hadir.

Selalunya penyanyi yang ingin membuat persembahan seperti konsert memerlukan lagu yang banyak tetapi tidak semestinya ia menjadi faktor kejayaan. Itu pentingnya pengarah muzik yang bertanggungjawab dalam menyusun persembahan supaya menjadi persembahan menghiburkan.

Jika difikirkan, Istana Budaya sepatutnya mempunyai kelengkapan instrumen muzik yang hebat sama seperti persembahan teater untuk membuatkan khalayak berasa selesa ketika menonton. Apabila faktor sistem visual dan audio yang mempunyai kualiti tinggi, penonton akan memberikan fokus kepada kepuasan yang mereka mahukan.

Untuk sesebuah persembahan sebesar ini, bilangan pemuzik perlu diberi perhatian. Jika menggunakan khidmat orkestra untuk persembahan, ia dinilai lebih baik.

S: Apakah kriteria penyanyi yang sesuai untuk mengadakan konsert di Istana Budaya?

J: Saya fikir jika seseorang penyanyi itu mempunyai pengalaman selama tiga tahun dengan enam album dan mempunyai 60 lagu hits, dia layak untuk mengadakan konsert sebegini. Bagaimanapun, jika penyanyi itu mempunyai pengalaman hampir 10 tahun tetapi hanya mempunyai dua lagu hits, dia juga tidak layak untuk mengadakan konsert.

Apa yang ingin saya tekankan di sini, soal penyanyi mana yang layak membuat konsert di IB bukan hanya bergantung kepada pengalaman menyanyi tetapi pencapaian karier seni seperti mempunyai jumlah lagu hits yang banyak. Seperti M Nasir, dia layak untuk mengadakan persembahan di IB kerana dia mempunyai banyak lagu hits yang popular sejak lebih tiga dekad lalu hingga diminati generasi kini selain ada inti pati yang diperlukan untuk sesebuah konsert.

Peminat yang hadir mahu menyaksikan dia menyanyikan kembali lagu hitsnya. Malah hakikatnya untuk tiga malam persembahan pada malam itu, dia sebenarnya tidak cukup untuk menyanyikan semua lagu hitsnya. Pastinya, penonton turut mahu menyaksikan persembahan yang mempunyai kelainan agar dapat memberi kepuasan.

S: Apakah anda juga terfikir untuk mengadakan konsert dan mungkin mengajak beberapa penyanyi popular bersama anda suatu hari nanti?

J: Saya tidak layak untuk membuat konsert lagi. Untuk mengadakan konsert, persiapan perlu dibuat rapi. Apa yang perlu diberi keutamaan adalah faktor kewangan untuk membiayai kos seperti pemuzik dan lokasi. Ini pentingnya penaja untuk membantu dalam merealisasikan impian mengadakan sesebuah konsert.

Persiapan konsert juga memerlukan satu pasukan yang cukup seperti mahu menerbitkan filem. Apabila peminat mahu menonton persembahan secara langsung, ia perlu dibuat secara kreatif dan penyanyi bukan sekadar menyanyi. Jika persembahan penyanyi itu sama, lebih baik peminat itu mendengar lagu dari album penyanyi itu.

S: Senario kini menyaksikan konsert artis tempatan sukar mendapat sokongan penaja berbanding artis luar. Seperti M Nasir, walaupun dia penghibur terkenal dia juga berhadapan masalah penaja. Apakah punca permasalahan ini?

J: Artis kita sebenarnya terlalu banyak pendedahan ketika mengadakan persembahan. Kebanyakan persembahan ini adalah percuma. Ini mengakibatkan tiada nilai eksklusif kepada penyanyi itu untuk mengadakan persembahan seperti konsert yang memerlukan peminat membeli tiket.

Peminat hanya sanggup membayar harga tiket jika persembahan itu jarang ditonton. Bagi situasi M Nasir, saya juga tidak tahu kenapa konsertnya kali ini gagal mendapatkan penaja. Sikap penaja sebegini membuatkan saya sedikit kesal.

Akibat tiada penaja untuk konsert M Nasir, ini membayangkan artis tempatan masih sukar untuk mendapat sokongan penaja. Lebih mencabar kerana M Nasir adalah penyanyi popular tetapi gagal mendapatkan penaja. Ini turut memberi kesan kepada penyanyi lain yang akan mengalami nasib yang sama.

S: Apakah nasihat atau harapan anda pada konsert artis tempatan?

J: Bagi penyanyi yang berasakan dia berkeinginan untuk membuat konsert seperti M Nasir, dia harus fikir dulu apakah dia layak. Paling kurang, seorang penyanyi harus mempunyai 20 lagu hits sepanjang masa untuk menjadikan konsert itu berjaya.

Seperti M Nasir, dia mempunyai inti pati persembahan yang membuatkan peminat mahu menyaksikan konsert. Pada pengamatan saya, ada beberapa penyanyi yang layak membuat konsert. Saya sendiri jika ditanya, siapakah artis yang layak membuat konsert, saya akan sebut nama M Nasir dulu.

Untuk persembahan di IB, ia perlu mempunyai muzik yang gah dan mampu membuatkan penonton terpegun dan paling penting terhibur. Lokasi di IB tidak salah untuk mengadakan konsert tetapi seperti konsert M Nasir, ia difikirkan kurang sesuai diadakan di sana. Mungkin jika M Nasir mahu mengadakan konsert selepas ini, lokasi seperti Stadium Negara lebih sesuai.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: